Tuesday, May 12, 2009




Pemikiran Islam dalam novel ‘Kuseru namamu kekasih’ karangan Maya Iris
Oleh Siti Nurulhuda Binte Abdul Razak



1.0 Pengenalan

Ilmu itu hanya dapat dikuasai setelah dibuat perenungan yang mendalam. Seandainya seseorang itu hanya membaca atau mendengar ilmu yang disampaikan tetapi tidak membuat perenungan yang mendalam, maka sia-sia sahaja masanya. Perenungan yang mendalam inilah yang dapat dikaitkan dengan kajian.


Bertitik tolak dari pemusatan pemikiran inilah maka penulis memilih untuk mengkaji dan membuat perenungan yang mendalam terhadap novel yang telah dipilih. Ini agar segala mutiara ilmu yang terkandung dalam novel ini dapat difahami dengan jelas dan membawa kemanfaatan terhadap generasi mendatang. Kayanya tamadun sesuatu bangsa itu dapat dinilai melalui sumbangan yang diberikan cerdik pandai dalam penglahiran karyanya.


Oleh itu, diharapkan dengan kajian ini penulis dapat mengemukakan sebanyak mungkin pemikiran Islam yang terkandung dalam novel karangan Maya iris ini bagi mengambarkan keintelektualan penulisnya. Keintelektualan inilah yang seterusnya membuktikan berkembangnya tamadun masyarakat Melayu seiring dengan kemajuan zaman.
Sebagaimana yang diketahui ramai, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Ideologi yang diserapkan oleh pemikiran itu jauh lebih bahaya. Mata pedang, hanya mampu membunuh dan setelah itu berakhir segalanya. Namun mata pena, semakin ia menikam semakin hidup segar ia dalam kehidupan seseorang. Seandainya salah tusukan maka rosaklah sesebuah masyarakat. Begitu besarnya impak mata pena. SubahanAllah.

2.0 Objektif Kajian

Pertama, menjelaskan secara ringkas perbezaan antara sastera Islam dan sastera yang berunsurkan Islam.
Kedua, menjelaskan perbezaan antara pemikiran dan pemikiran Islam dengan perincian yang agak mendalam\
Ketiga, menghuraikan pemikiran Islam yang terkandung dalam karya ’Kuseru Namamu Kekasih’.

3.0 Metodologi Kajian


Kaedah kajian yang diambil penulis adalah melalui kajian kepustakaan. Kajian ini berdasarkan sumber sekunder dan juga primer. Sumber primer yang diambil oleh pengkaji adalah novel ’Kuseru Namamu Kekasih’. Manakala sumber sekunder pula adalah dengan melihat beberapa hasil kajian sarjana lain yang turut melihat pemikiran Islam dalam karya-karya sastera yang dipilih mereka.


4.0 Sastera Islam dan Sastera yang Berunsurkan Islam

”Sastera Islam adalah sastera yang berdasarkan kitab-kitab Islam yangmenjadi rujukan umat Islam. Manakala sastera berunsur Islam adalah sastera yang menerapkan pemikiran Islam di dalam karya penulisan yang dihasilkan. Walaupun ada perbezaan konsep, namun kedua-dua sastera ini tetap dibuat berlandaskan sumber utama umat Islam iaitu Al-Quran dan Hadis. Berpandukan kepada sumber utama ini, seharusnya hasil sastera itu mengajak manusia kepada kebaikan dan kesejahteraan umat seterusnya ke arah tujuan hidup yang sebenar di dalam Islam. ” (Hassan Ali)[1]


5.0 Pemikiran dan Pemikiran Islam

Konsep Pemikiran

Pemikiran adalah sebagai fikiran atau idea yang wujud daripada golongan intelektual yang telah mengunakan akal dan fikiran dalam memikirkan sesuatu masalah, sama ada melibatkan diri atau di luar lingkungannya. Oleh sebab itu, golongan intelektual mempunyai daya fikir yang tinggi dan peka terhadap masalah yang timbul pada zaman itu yang mengancam kedudukannya sebagai individu dalam masyarakat. Mereka akan berusaha menggunakan pelbagai cara untuk merakamkan fikiran dan idea-idea mereka”
(S.Othman Kelantan, 1988)
Konsep Pemikiran Islam

” ...reaksi atau tindak balas yang bersifat intelektual terhadap persoalan-persoalan semasa yang timbul daripada pertembungan masyarakat Islam dengan pengaruh dan tamadun barat. Reaksi terhadap cabaran-cabaran yang dimaksudkan merangkumi cabaran luaran dan dalaman yang tumbuh dan berkembang di kalangan umat Islam sejak beberapa lama.”

”Yang dikatakan pemikiran Islam itu tidak pula setakat suatu tindak balas sahaja terhadap cabaran-cabaran semasa, baik dari dalam mahupun dari luar, bahkan sebagai suatu risalah dan dakwah menegakkan yang hak dan melenyapkan yang batil. Umat Islam seharusnya tidak sekadar menyambut atau bertindak sahaja apabila terdapat cabaran, bahkan yang lebih penting daripada itu ialah menyampaikan risalah kebenaran dengan menyeru ke arah yang makruf dan melarang yang mungkar. Maka terpulanglah kepada pihak lain untuk menyambut atau bertindak balas, sesuai dengan cabaran-cabaran yang dihadapkan kepada mereka.”
(Abdul Rahman Haji Abdullah, 1987)


Secara kesimpulannya dapat dikatakan bahawa yang dikatakan sebagai pemikiran itu adalah segala macam perkara yang dapat dihubungkan dengan penggunaan akal fikiran bagi mencari penghuraian ke atas perkara-perkara yang digolongkan sebagai masalah semasa.
Perbezaan antara pemikiran dan pemikiran Islam pula dapat dilihat daripada sumber pegangan pemikirnya dalam mengeluarkan sesebuah ideologi. Pemikir Islam umumnya akan berpegang pada Al- Quran dan Al-Sunnah tidak kira pada apa zaman jua pun. Pemikir lain, biasanya berpegang pada pemerhatian mereka ke atas keadaan sosial dan seringkali bermatlamatkan materialistik – justeru lahirlah fahaman modenisme, klasisisme, humanisme renaissance dan pelbagai lagi fahaman yang berorientasikan keduniaan.
Maka kerana itulah, usaha melahirkan pemikiran Islam ini perlu bagi menangani fikiran asing seperti yang disebutkan di atas tadi, ini agar umat Islam dapat diselamatkan daripada bahaya ancaman pemikiran yang sekaligus mencemar kesucian Islam. Pemikiran Islam sentiasa berkembang sesuai dengan peredaran dan perkembangan zaman. Sesuai dengan perkembangan intelektual manusiawi.

Namun begitu, pemikiran yang dibuat haruslah berdasarkan akal untuk merenung dan juga meneliti ayat-ayat Allah.

”Gesaan supaya patuh kepada perintah Allah swt. Berakhlak mulia, berfikir terhadap kejadian-kejadian alam ciptaan Allah dan seumpamanya adalah merupakan gambaran mengenai cetusan idea yang dilontarkan melalui al-quran, yakni disebutkan perkataan ya’qilu dalam 48 ayat, nazara dalam 30 ayat, dan tafakkara dalam 19 ayat. ”

(Ahmad Zaki And Latiff, Abd Nasir Hj. Musa, dan Mohd yusuf Yusak, 2001)

6.0 Sinopsis Novel

Novel kekasih kuseru namamu berlatar belakangkan suasana di Perth Australia. Sepanjang pembacaan akan terlihat dengan jelas kecintaan watak utamanya Rayyan, seorang gadis berusia 20’an tahun kepada kekasihnya yakni penciptanya. Kesabarannya membantu rakannya yang mempunyai konflik identiti yang berlagak seperti lelaki dan menukar nama kepada John daripada Jun Hanisah, puncanya adalah kerana dikecewakan oleh kekasih lama. Jun ditangkap basah tetapi kemudian diceraikan sejurus selepas diijabkabulkan.

Berbalik kepada cerita watak utamanya, Rayyan dilamar oleh Zaim, di saat mereka hampir bernikah suatu halangan besar telah memisahkan mereka. Menyentuh sedikit tentang Jun,dia telah jatuh cinta dengan seorang lelaki kristian, sewaktu dibawa berjumpa dengan ayah Mark, Jun secara tidak sengaja menyaksikan suatu kes pembunuhan. Pembunuhan itu rupanya suatu ritual daripada ajaran sesat yang dibawa oleh ayah Mark; seorang paderi kristian.

Demi memastikan atau menjaga keselamatan Jun Hanisah, Rayyan meminta Zaim, tunangnya, yang dulu pernah menjadi anggota polis untuk berkahwin dengan Jun. Ini kerana Rayyan percaya bahawa Jun akan dapat dijaga dengan baik oleh Zaim.
Memandangkan bapa Mark tidak berjaya menjejaki Jun Hanisah, Rayyan pula yang dijadikan tebusan untuk disoal selidik akan keberadaan Jun. Rayyan seterusnya dicampakkan ke bilik di bawah tanah dan diseksa. Di sinilah jelas tergambar keutuhan aqidah dan iman Rayyan walau nyawanya di hujung pisau, dia tetap dengan keimanannya. Novel ini berakhir dengan pengikut-pengikut ajaran sesat meletupkan diri beramai-ramai. Namun begitu Rayyan dapat diselamatkan oleh Mark.

7.0 Pemikiran Islam dalam Novel ’Kuseru Namamu Kekasih’

Bagi menjelaskan pemikiran Islam dalam novel yang dipilih ini penulis akan membahagikan perbincangan ini kepada dua bahagian yang menyentuh persoalan semasa yang dikeutarakan pengarang novel dan juga usaha dakwah yang dilakukan oleh pengarang. Pembahagian perbincangan ini adalah berdasarkan kata-kata Abdul Rahman Haji Abdullah sepertimana yang dinyatakan dalam penerangan mengenai konsep pemikiran Islam di atas.

7.1 Persoalan Semasa

Budaya ’Tomboy’ dan lesbian

Seperti yang dinyatakan dalam bahagian sinopsis, pengarang cuba mengetengahkan isu ’Tomboy’ ini melalui watak yang bernama Jun Hanisah. Diterangkan pengarang bagaimana fenomena ’tomboy’ ini berlaku dalam diri seseorang dalam hal ini, kekecewaan terhadap lelaki telah menyebabkan watak berkelakuan yang sedemikian. Berikut ialah kenyataan yang diberikan oleh watak Jun Hanisa bagi menerangkan puncanya seseorang wanita menjadi lesbian:
”Ada yang jadi lesbian kerana kecewa dengan lelaki,macam saya. Dan semasa kekecewaan itu tidak dapat dibendung perasaan, perempuan itumencari kelegaan pada perempuan lain. Kami dapati berkongsi rahsisa yang paling gelap dengan perempuan lain lebih senang daripada menceritakan rahsia itu kepada lelaki. Hanya perempuan yang betul-betul memahami perasaan perempuan yang lain. Ada juga yang sudah bersuami menjadi lesbian kerana tidak mendapat perhatian yang dikehendaki dari suaminya. Dan jika kebetulan perhatian yang dikehendaki itu boleh diberikan oleh perempuan lain, dengan mudah perempuan yang asalnya normal berubah menjadi lesbian.
(KuSeru Namamu Kekasih: 389-390)

Sebenarnya apa yang ditimbulkan pengarang ini hanyalah merupakan salah satu sebab mengapa seseorang wanita menjadi tomboy. Berikut diperturunkan beberapa sebab lain[2]:

1.Ada beberapa penyebab yang mendorong seorang wanita menjadi tomboy yang secara umum diantaranya adalah sebagai berikut: Kurangnya iman dan sedikitnya rasa takut kepada Allah, karena terjerumusnya seseorang kepada maksiat baik dosa kecil ataupun dosa besar merupakan akibat dari kurangnya iman dan lemahnya perasaan merasa diawasi oleh Allah Azza wa Jalla.
2.Pendidikan yang jelek, peribahasa mengatakan bahwa seseorang adalah anak bagi lingkungannya. Bila lingkungan tempat dia hidup merupakan lingkungan yang shaleh, maka diapun akan shaleh, kalau lingkungannya jelek maka diapun akan seperti itu. Seorang anak wanita yang hidup dirumah yang semrawut yang kosong dari pendidikan yang baik pada umumnya akan menyeret dia kepada berbagai penyimpangan.
3.Pengaruh media masa dengan berbagai bentuk dan jenisnya, baik tontonan, yang di dengar, ataupun bacaan. Di dalamnya berkembang dan tersebar pemikiran-pemikiran sesat dan penyimpangan yang akan menyesatkan para wanita dan mendorong mereka untuk melanggar norma agama dan prinsip-prinsip kebenaran.
4.Taklid buta, dia berpakaian dan berprilaku tanpa memahami dan mengetahui apa yang dia lakukan, juga tidak memikirkan manfaat dan madharaat-nya. Dia hanya sekedar ikut-ikutan kepada apa yang ada di sekitar dirinya, dari kawan-kawannnya dan dari para seniwati (artis atau bintang), sekalipun hal itu bertendengan tabiat kewanitaannya.
5.Kawan bergaul yang jelek, di antara hal yang tidak diragukan lagi adalah kawan bergaul yang mempunyai pengaruh besar dalam pribadi seseorang baik positif ataupun negatif. Sebagaimana sabda nabi Muhammad Shallallaahu alaihi wa Sallam : "Perumpamaan kawan bergaul yang saleh dengan kawan bergaul yang jelek seperti orang yang menjual minyak wangi dengan peniup pande besi (kiir). Panjual minyak wangi mungkin dia akan memberikan kepadamu atau kamu membeli darinya, atau kamu bisa mencium harumnya. Adapun peniup pande besi mungkin dia bisa membakar pakaianmu atau kamu mencium bau busuk darinya." (Muttafaq 'alaih).
6.Kurang percaya diri dan upaya menarik perhatian, sebagian wanita ada yang merasa kurang percaya diri dan berupaya menutup kekurangan itu dengan cara yang justeru menyeret mereka kepada keburukan yaitu menyerupai laki-laki dalam berperilaku, penampailan, pakaian dan sebagainya.

Dapat dilihat bahawa pengarang sememangnya bersungguh-sungguh dalam menerangkan isu Tomboy sehingga dicitrakan dengan terperinci bagaimana cara berpakaian seorang wanita yang dipanggil Tomboy iaitu cara mereka menyembunyikan lambang kewanitaan mereka. Serta diterangkan juga bagaimana seseorang harus bertindak dalam menghadapi tomboy sebegini, dan ini ditampilkan melalui watak utamanya; Rayyan yang tidak pernah memandang hina kepada Jun, malah secara halus membimbing temannya.

Dalam sebuah hadits shahih dari ibnu Abbas Radhiallaahu anhu dia berkata: "Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam telah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang berpenampilan seperti laki-laki (hari. Al-Bukhari). Laknat artinya terusir dan dijauhkan dari rahmat Allah Hadits lain yang juga diterima dan Ibnu Abbas ra dia berkata: "Nabi Shallallaahu alaihi wa Sallam telah melaknat kaum laki-laki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan laki-laki,"
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)


Pemikiran Islam yang ingin dilahirkan oleh pengarang di sini ialah, beliau menyeru agar setiap manusia itu tetaplah dengan fitrah kejadian mereka. Serta, pengarang juga ingin agar pembaca tahu bahawa orang yang berkelakuan sedemikian tidak seharusnya dibiarkan sahaja. Sebaiknya adalah membimbing mereka kembali ke jalan yang benar.

Gejala Gay

”...Sydney Gay and Lesbian Mardi Gras.perarakan yang juga dikenali sebagai Fat Tuesday, Shrove Tuesday, Pancake Day atauCarnival diadakan setiap tahun di Sydney. Selalunya perarakan dijalankan di Oxford street... Pengunjung yang bukan gay juga datang sekadar melihatapa yang berlaku”

”Kereta berhias yang menyertai perarakan ada yang cantik dan ada yang hodoh. Orang-orang yang menyerikan kereta berhias sukar dijangka sama ada mereka lelaki ataupun perempuan. Ada lelaki berpakaian seperti perempuan, ada perempuan berpakaian seperti lelaki. Malahan ada yang berpakaian separuh bogel baik lelaki mahupun perempuan.”
(KuSeru Namamu Kekasih: 142)

”Sebuah kereta berhias melalui hadapan mereka. Dua orang lelaki bertopeng hantu dan bertanduk di kepala seperti syaitan yang digambarkan oleh orang-orang kristian, melambai-lembai kepada orang ramai yangbersorak-sorak. Kemudian, salah seorang lelaki itu melakukan aksi yang menjelikkan kepada lelaki yang seorang lagi. Sorakan orang ramai bergempita kuatnya. Ada yang bersiul dan meniup trompet.”
(KuSeru Namamu Kekasih: 143)

”Sleaze Ball ialah pesta yang diadakan selepas perarakan Mardi Gras tamat. Selalunya pesta dimulai dengan konsert liar yang memekakkan telinga. Apabila sudah berada dalam suasana yang menggila, penonton juga menjadi liar tidak terkawal.

Mark menggelengkan kepalanya. Dia tidak pernah menghadiri Sleaze Ball. Tetapi dia dapat mengagak apa yang akan berlaku di penghujung pesta itu. Pati orang akan mabuk dan hilang kewarasan. Pasti orang akan dikuasai oleh nafsu. Dan ketika itulah pesta seks akan bermula. Dia tidak mahu Hanisa melihat pesta seks yang liar itu.”
(KuSeru Namamu Kekasih: 144-145)

”Kebayakkan penonton sudah terbaring di atas rumput. Ada yang terbaring kerana mabuk. Ada pula yag sedang melakukan seks bebas beramai-ramai.”
(KuSeru Namamu Kekasih: 146)

Begitulah antara perkara yang berkaitan dengan gay yang dipaparkan oleh Maya Iris. Dengan perincian yang sepenuhnya, pengarang membongkar satu persatu perkara yang berlaku. Ini ialah realiti yang seharusnya disingkap. Bukannya pengarang ingin bersikap lucah dalam karyanya tetapi perkara sebegini memualkan harus didedahkan agar umat islam merasa terpanggil sama untuk bersama-sama menangani isu gay ini. Isu Gay ini seharusnya mendapat perhatian umat Islam. Seandainya pesta gay secara besar-besaran telah pun diadakan di Sydney maka tidak mustahil bahawa ia mungkin juga akan diadakan di negara-negara lain. Ini tentu sahaja amat berbahaya, perkara sebegini akan merosakkan pemikiran umat Islam dan dapat memberikan pengaruh yang amat buruk.

Dengan bersandarkan nas al-quran sebelum memerincikan realiti kehidupan gay yang sebenar, jelas menunjukkan bahawa pengarangnya hanya menyatakan yang benar dan tidak lebih dari kebenaran serta ingin membangkitkan kesedaran kepada pembaca dengan cara memberikan kejutan penyajian fakta-fakta realiti sepertimana yang dinyatakan dalam petikan di atas.

”Patutkan kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu?) Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata ( secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan ini) jika betul engkau dari orang-orang yang benar.”
(Surah al-Ankabut: ayat 29)


Ajaran sesat dalam agama Kristian

Seringkali kita mendengar mengenai ajaran sesat di dalam agama Islam, ajaran ayah pin misalnya merupakan satu contoh ajaran sesat yang pernah hangat diperkatakan suatu masa dahulu. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa sebenarnya dalam agama lain juga wujud ajaran sesat. Itulah yang cuba ditimbulkan pengarang novel ini, pemerihalan ajaran sesat yang terdapat dalam agama Kristian dikupas satu persatu melalui watak yang bernama Swain; seorang paderi yang secara zahirnya kelihatan alim. Namun, dalam ’kewarakannya’ itu sebenarnya dia mempunyai kepercayaan bahawa dirinya merupakan Tuhan yang harus diagungkan pengikutnya.

”kerana sifat bongkak dan lupa siapa pencipta, Swain melantik diri sendiri sebagai tuhan, yang kononnya dirinya mempunyai kuasa mematikan dan membiarkan manusia hidup. Sungguh jelik dan keji kesesatan yang dilakukan oleh Swain.”
(KuSeru Namamu Kekasih:437)

Ajaran sesat yang dibawanya menuntut pengorbanan tiga nyawa. Setiap gadis Asia yang berjaya dibunuh orang suruhan Swain akan menerima habuan sekiranya mereka berjaya mendapatkan gadis Asia yang kuat pegangan agamanya maka semakin lumayanlah habuan yang bakal diterima.
Anehnya, pengikut paderi Swain ini terdiri daripada golongan yang terpelajar juga. Ajaran sesatnya ini berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai.

”Mereka hanya korban untuk ayah dinaikkan menjadi Tuhan. Ayah hanya perlukan tiga nyawa. Seorang untuk bapa Tuhan, seorang untuk anak Tuhan dan seorang untuk ruhul kuddus. Nyawa perempuan ini boleh lengkapkan syarat ayah menjadi Tuhan. Ayah boleh buat apa sahaja. Ayah boleh matikan sesiapa sahaja dan ayah boleh biarkan sesiapa sahaja terus hidup,”..
(KuSeru Namamu Kekasih:445)

”Satu letupan besar berlaku di gereja paderi Swain. Paderi Swain yang selama ini dalam pemerhatian polis disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Anjali Gupta berasal dari India dan Jun SangJee berasal dari Korea”
(KuSeru Namamu Kekasih:464)

”Mata Mark terpaku di kaca televisyen. Dia bagaikan tidak percaya dengan jenayah yang dilakukan oleh ayahnya sendiri. Ayahnya yang nampak alim dan warak dengan ajaran Kristian tergamak melakukan segala kekejaman itu. Pengikut-pengikut ayahnya ada terdiri daripada orang terpelajar juga bodoh sanggup meminuk Sianida sebelum diletupkan. Pasti mereka semua sudah tidak sedarkan diri ketka letupan berlaku.
(KuSeru Namamu Kekasih:465)

Pemikiran Islam yang cuba disampaikan pengarang di sini ialah, apabila jiwa seseorang itu kosong, dalam erti kata lain, aspek kerohanian yang tiada terisi, maka mudahlah bagi seseorang itu akan hanyut. Apabila mereka mula merasakan nikmat kebahagiaan yang diperoleh dengan pengisian rohani mereka akan mudah menurut perintah sungguhpun mereka dari golongan terpelajar. Maka dari itu pengarang menyelitkan tentang ajaran sesat yang terdapat dalam ajaran kristian bagi memberikan satu nafas baru terhadap perbincangan mengenai ajaran sesat. Namun, mesej yang sama tetap menjadi matlamat utama, iaitu, jiwa seseorang itu harus diisi dengan pengisian yang sebenar dan haq kerana pengisian inilah yang akan menentukan jalan kehidupan yang akan ditempuh seseorang. Cara yang baik untuk menentukan pengisian rohani yang haq ini adalah dengan menggunakan aka untuk membuat penilian

Perbandingan agama

Kini, semakin giat usaha dakwah dilakukan dan salah satunya ialah dengan cara perbandingan agama. Atau yang dikenali sebagai ’friendly comparative religion’, metod dakwah sebegini benar-benar memberi kesan yang mendalam. Seseorang mencuba untuk memahami agama lain bagi mencari persamaan sebagai cara menarik minat saudara yang berlainan agama untuk mendekati Islam. Serta dengan memahami agama lain, pendakwah akan dapat berhujah berdasarkan fakta yang terkandung dalam agama orang yang diajak berhujah, tidaklah pendakwah itu berbincang dengan skop pemikiran yang sempit. Berikut adalah beberapa contoh yang dipetik dari novel ’kuseru namamu kekasih’ bagi menunjukkan bahawa pengarang juga mempunyai daya fikir yang mengambil pendekatan perbandingan agama.
”...dongeng Sleeping Beauty, gadis yang tercucuk jarum dan tidur selama 100 tahun. Kelahiran Sleeping Beauty tidak disukai oleh pari-pari yang ke-13, dan pari-pari itu bersumpah akan membinasakan Sleeping Beauty. Dongeng ini ada persamaan dengan kisah kejadian Nabi Adam, di mana kesemua malaikat bersetuuju dengan Tuhan akan penciptaan Nabi Adam tetapi tidak Iblis. Dan Iblis berjanji akan memusnahkan manusia.”...

”Cerita dongeng Pinochio pula ada persamaan dengan kisah Nabi Yunus. Pinochio ditelan ikan paus, begitu juga Nabi Yunus. Dan akhirnya dengan berdoa kepada Tuhan, ikan paus memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai.”

Cerita Rip Van Winkle, iaitu lelaki yangtertidur di bawah pokok selama 20 tahun pula ada persamaannya dengan kisah ashabul kahfi , iaitu sekumpulan pemuda yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Persamaan dalam kedua-dua cerita ini, mereka tidur dengan bersama seekor anjing.
(KuSeru Namamu Kekasih:34-38)

Pemikiran Islam pengarang tidak boleh dikatakan liberal hanya kerana persamaan-samaan yang dilakukannya terhadap kisah-kisah yang terkandung di dalam al-Quran dengan dongeng yang dicipta mereka yang beragama Kristian.
Harus diingat bahawa kitab injil asalnya merupakan juga wahyu daripada Allah s.w.t yang diperturunkan kepada utusannya yang bernama Isa. Oleh itu, tidak hairan mengapa wujudnya persamaan dalam cerita-cerita berikut. Namun, yang pasti kini, kitab Bible yang ada kini, telah ditokok tambah manusia yang punya kepentingan tersendiri. Oleh itu, pengarang sebenarnya telah meluaskan horizon pemikiran Islam pembaca dengan mengemukan fakta-fakta sepertimana yang dipetik di atas.

Kes Buli

Kes buli yang terdapat dalam novel ’kuseru namamu kekasih bermula apabila watak Rayyan sewaktu zaman persekolahannya menegur nyanyian seorang temannya yang terkenal sebagai pembuli akibatnya, wajahnya dicakar oleh pelajar lelaki tersebut yang bernama Saifullah.
”Cuba cikgu tengok luka cakaran di muka anak saya. Begini cikgu, definisi buli ialah apabila yang lebih kuat mencederakan yang lebih lemah. Jika perempuan sesama perempuan bercakaran, saya boleh anggap ia sebagai pergaduhan biasa. Tetapi apabila seorang budak lelaki yang lebih kuat dan lebih besar mencakar seorang budak perempuan , saya anggap ia buli.”
(KuSeru Namamu Kekasih:51-52)

Sebenarnya kes buli ini cabang daripada masalah utama iaitu, kurangnya didikan agama yang diberikan di rumah. Dan ini diakui oleh seorang ahli akademik.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia yang juga bekas Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia,Universiti Pendidikan Sultan Idris, beliau mendapati ada beberapa faktor yang menyebabkan kes buli ini terjadi. Faktor utama ialah kerana si pembuli merasa puas apabila dia berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan juga fizikal. Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk "berseronok". Kajian Dr. Noran juga mendapati kebanyakan mereka yang terlibat dengan buli ini tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa dan kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama. [3]
”Saifullah memang budak bermasalah, Encik Mahmud. Sebelum ini pun dia pernah ditegur kerana sifat ganasnya..”
(KuSeru Namamu Kekasih:52)

Pemikiran Islam yang ingin dibawa pengarang di sini ialah, Islam yang membawa maksud sejahtera, aman dan selamat tidak akan sesekali membawa keburukan atau mencelakakan saudaranya yang lain. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
”Orang Islam ialah orang yang saudara seislamnya merasa aman daripada gangguan lidah dan tangannya.”

”Dalam satu hadis qudsi, daripada Abu Dzar Al-Ghifari r.a, daripada Nabi s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman: ” Wahai hamba-hambaku, sesungguhnya aku mengharamkan kezaliman atas diriku, maka Aku mengharamkannya di kalangan kamu, maka janganlah kamu menzalimi.

Memandangkan isu buli kian hari kian meningkat, malah terdapat pula kes-kes buli hatta di sekolah agama maka, isu buli ini semakin genting. Disebabkan inilah maka pengarang mengemukakan isu buli ini dalam karyanya. Bagi memberi kesedaran kepada pembaca tentang kes pembulian yang terjadi dalam masyarakat.


7.2 Dakwah

Menerusi novel ’kuseru namamu kekasih’ ini juga pengarangnya berusaha untuk menyampaikan mesej dakwah antara aspek yang disentuh adalah yang berkenaan dengan ibadah, berpegang teguh kepada aqidah, pengislaman orang kafir, memelihara keselamatan saudara Islam yang lain, dan penganjuran nilai-nilai murni.





Aspek Ibadah

Ibadah merupakan aspek terpenting dalam kehidupan seorang Islam, ibarat pohon tanpa buah begitulah kehidupan tanpa amal ibadah. Menyentuh soal ibadah, pengarang novel telah mengambil ibadah yang terpenting untuk dijadikan bahan dalam karyanya. Iaitu perkara yang bersangkutan dengan solat dan puasa.

” Rayyan duduk di satu sudut. Jika ikut perkiraan, dia masih berada dalam waktu zuhur kerana dia diculik semasa hendak ke kelas pukul 10 pagi. Namun, dia tidak dapat mengagak di mana arah kiblat. Dengan berwuduk menggunakan kaedah Tayamum, yakni berwuduk menggunakan debu menggantikkan air, dia mendirikan solat Zuhur. Kiblat ditentukan mengikut gerak hati dan keyakinannya sendiri. Dia berdoa semoga Allah menerima solatnya.”
(KuSeru Namamu Kekasih:375)

Berdasarkan petikan di atas, jelas pengarang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyampaikan mesej bahawa solat itu tetap wajib untuk dikerjakan tidak kira dalam apa jua keadaan dan tidak kira di mana sahaja seseorang itu berada. Pengarang dengan begitu teliti mengupas alternatif lain bagi wuduk dan juga cara penentuan kiblat seandainya tidak tahu arah kiblat.

”Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.
-Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

(KuSeru Namamu Kekasih:121)
Seterusnya pembaca disedarkan pula dengan kepentingan berbakti kepada kedua orang tua, bagi novel ini, kebaktian yang diberikan kepada orang tua, bukan setakat ibu bapa yang melahirkan tetapi juga kepada sesiapa yang berusia senja. Islam juga mengajurkan umatnya agar menghormati yang tua dan menyayangi yang muda.

”Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga sahaja.Puasa juga megajar kita menjaga lidah,telinga danmata. Puasa mengajar kita bersabar. Awak rasa letih sangat hari ini, bukan? Tenaga awak habis dengan bergaduh. Pahala puasa awak habis kerana bergaduh. Apa yang awak dapat? Awak dapat lapar dan dahaga sahaja hari ini!”

(KuSeru Namamu Kekasih:95)

Di samping itu, ibadah puasa juga dijelaskan tentang falsafah di sebalik pelaksanaan ibadah tersebut, yakni bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Dengan ini, dapat dilihat penghayatan pengarang terhadap agama Islam sehingga beliau dapat menyelami kepentingan dan keindahan sesebuah ibadah yang dilaksanakan.

Berpegang teguh kepada aqidah

Pengarang berusaha untuk menyampaikan mesej agar berpegang teguh kepada aqidah. Aqidah yang membawa simpulan merupakan sesuatu yang mengikat diri manusia dengan pencipta. Simpulan inilah yang dinamakan syahadah. Sekali ianya dilafazkan maka seluruh kehidupan akan berpandukan syahadah tersebut. Dengan penyajian penceritaan yang begitu dramatis dan suspen ketika watak utamanya dikurung di dalam sebuah bilik di bawah tanah dan setelah itu diseksa, pengarang berjaya menyampaikan mesej berpegang teguh kepada aqidah tidak kira apa jua yang berlaku pada diri.

Episod suspen bermula dengan watak Rayyan dipaksa meminum air ’suci’, seterusnya dipaksa untuk murtad dan diseksa secara terus-terusan, hinggalah dia disalib. Berikut ialah petikan-petikan yang menggambarkan episod suspen itu secara sepintas lalu.

”Panggilah air itu dengan apa nama sekali pun. Saya masih bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah,” jawab Rayyan dengan berani. Tubuhnya yang terasa lemah dan kepenatan tiba-tiba merasa segar dan bersemangat apabila dia mengucapkan dua kalimah syhadah itu.
(KuSeru Namamu Kekasih:430)


Dari bilik bawah tanah dipindahkan ke sebuah bilik yang mewah lantainya dihiasi permaidani tebal. Apabila Swain yakni Paderi yang membawa ajaran sesat Kristian memasuki bilik tersebut dan mendapati bahawa Rayyan sedang membaca kitab Injil dia sungguh gembira kemudian Rayyan mengucapkan sesuatu yang menggegarkan jantungnya:

”Saya naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu rasul Allah,” Rayyan terus membuang senyumannya jauh-jauh dan menggantikannya dengan renungan tajam.
(KuSeru Namamu Kekasih:435)

Namun setelah mendengar ucapan Rayyan, Swain malah mengugut Rayyan dengan mengatakan bahawa hidup Rayyan kini tidak selamat kerana Rayyan telah pun murtad dan Rayyan menjawab kenyataan Swain dengan sepotong ayat Quran.

”Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kekufuran) sedang hatinya tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.”
-An-Nahl: 106

Sewaktu Swain tetap memaksa Rayyan untuk membuat pengakuan bahawa Jesus ialah tuhannya,Rayyan membalasnya kembali dengan mempersoalkan ketuhanan Jesus.

”Ayat Matheww 2:46 dari Bible. Jika Jesus itu tuhan, kenapa dia terjerit-jerit memanggil nama Tuhannya? Jika Jesus itu Tuhan, kenapa dia menuduh Tuhan melupakannya? Kenapa? Kenapa? ”...
(KuSeru Namamu Kekasih:437)

”Ayat John 14:28 dari Bible. Jika Jesus itu tuhan, kenapa dia pergi kepada Tuhannya? Jika Jesus itu tuhan, kenapa dia kata Tuhan lebih berkuasa dari dirinya? Kenapa? Kenapa?...
(KuSeru Namamu Kekasih:438)

”Ayat John 5:37 dalam Bible. Jika Jesus itu Tuhan, kenapa dia mengatakan Tuhan telah mneghantarnya? Jika Jesus itu Tuhan, kenapa dia katakan tiada siapa yang pernah melihat Tuhan? Jika Jesus itu Tuhan, kenapa dia katakan tiada siapa yang pernah mendengar suara Tuhan?...”
(KuSeru Namamu Kekasih:439)

Rayyan ditarik ke Lantai dan kemudia dipijak dadanya konon untuk mengeluarkan syaitan yang telah merasuk Rayyan sehingga Rayyan meracau-racau membaca petikan dari kitab Injil satu demi satu. Swain tetap memaksa Rayyan untuk mengucapkan kesaksiannya ke atas Jesus, namun Rayyan tetap dengan pendirian Islamnya. Jelas terpancar keutuhan iman Rayyan dalam babak yang berikut:


” Allah Tuhanku,” Jawab Rayyan dengan segala kekuatan yang masih ada...”
”Aku tuhan!” Teriak Swain dan terus menghenyakkan kakinya ke dada Rayyan.
” Allah Tuhanku.”
Henyak. ”Aku Tuhan!”
Rayyan Mengerang. ”Allah Tuhanku.”
Henyak. ”Aku”
Mengerang ”Allah”
Henyak. ”Aku”
Mengerang ”Allah”


Rayyan kemudian diheret ke tempat pengorbanan dan Rayyan yang waktu itu lemah, tetapi bibirnya tetap basah dengan ZikruAllah. Di tempat pengorbanan inilah diri Rayyan disalib sebagai salah satu ritual ajaran sesat yang harus disempurnakan.

”Swain meletakkan paku di tengah-tengah telapak tangan Rayyan. Mark berlari ke arah Rayyan...”
”Swain memukul paku dengan pemukul sekuat-kuatnya”
”Bisa tusukan paku bagaikan mengalir ke seluruh tubuh Rayyan. Dia menggelupur kesakitan. Darah terpancut keluar dari tapak tangannya. Matanya semakin kabur.,,”

(KuSeru Namamu Kekasih:443-444)

Jangan Kamu menyekutukan Allah, walaupun kamu dicincang, dibakar atau disalib” –Hadis Riwayat Tabrani

(KuSeru Namamu Kekasih:433)”


Berikut ialah pengakuan watak lain iaitu Mark, anak kepada paderi Swain, yang menjadi penilai atas keutuhan aqidah yang dipegang Rayyan.




”Sejak dia melihat Rayyan diseksa oleh ayahnya dengan segala seksaan yang tidak masuk akal, dia kagum dengan ketabahan Rayyan mempertahankan Islam. Tidak pernah dia berjumpa dengan wanita yang begitu teguh dengan pegangan agama, sehingga sanggup menggadai nyawa.
(KuSeru Namamu Kekasih:458)

”Ada sedikit sneyuman terukir di hujung bibir Mark. Kali ini dia memandang Rayyan daripada sudut yangberbeza. Rayyan seorang yang begitu teguh dengan agama Islam.”
(KuSeru Namamu Kekasih:436)

Mark yang sejak tadi meronta-ronta,kagum dengan keutuhan pegangan agama Rayyan. Rayyan begitu yakin dengan Tuhannya, sehingga tidak goyah walaupun diseksa sedemikian rupa oleh ayahnya”
(KuSeru Namamu Kekasih:440)

Episod atau babak suspen yang dipetik di atas ini, membuktikan bahawa pengarang cuba untuk menjelaskan konsep pegangan aqidah yang utuh. Iaitu seseorang itu tidak akan sesekali memungkiri sumpah yang telah dibuat setiap kali bersyahadah. Malah harus dipertahankan aqidah tersebut biarpun nyawa di hujung pedang. Jelas penghayatan Islam yang terdapat dalam diri pengarang sehingga beliau dapat mencipta sebuah watak yang sekuat Rayyan mempertahankan aqidah, membuktikan aqidah ialah sesuatu yang tidak dapat ditukar ganti dengan apa perkara sekalipun.



Pengislaman Orang kafir

Dakwah membawa maksud menjemput, oleh itu apabila orang yang bukan Islam didedahkan tentang agama Islam ini juga membawa maksud dakwah, iaitu menjemput seseorang untuk mengetahui tentang Islam. Bagi novel ini, watak utamanya Rayyan telah ditemukan dengan seorang wanita tua berbangsa Inggeris bernama Margeret berusia tujuh puluh tahun. Dia telah merayau di pelabuhan selama 30 tahun, dan tinggal di rumah tumpangan tersebut selama 32 tahun.

Hatinya terpaut pada akhlak yang ditunjukkan Rayyan, yakni Rayyan telah menyalaminya dan mencium tangannya sebagai tanda hormat kepada orang yang tua. Di sinilah Margeret telah merasakan sayang dan disayangi. Di samping itu Margeret juga terpaut pada ketenangan wajah Rayyan.

”Muka awak sangat cantik, Rayyan.Seperti ada cahaya terpancar dari muka awak. Saya rasa gembira semasa awak masuk tadi, saya lihat cahaya itu bagaikan memanggil-manggil saya untuk masuk melalui pintu itu,” kata Margeret dengan suaranya yang bergetar.”
(KuSeru Namamu Kekasih:126)

Apabila Margeret bertanyakan tentang wajah Rayyan yang begitu berseri-seri , Rayyan menjawab menjawab mungkin kerana wuduk yang diambilnya lima kali sehari. Seterusnya, dengan perlahan, jelas dan penuh kesabaran Rayyan menjawab setiap soalan yang berkaitan Islam yang ditanyakan Margeret.

”Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang jka Allah memilih Margeret untuk mendapat Hidayah-Nya.”
(KuSeru Namamu Kekasih:135)

”Dia teringat bagaimana dia mendapat senaskhah Quran terjemahan Yusof Ali yang diberi Taufik semasa kelas Relogions of the world membuka matanya kepada agama Islam yang sering yang sering tidak difahami oleh orang-orang Barat. Semakin dia membaca Quran dan membandingkannya dengan Injil, semakin dia rasa kebenaran agama Islam, semakin dia rasakan agama Islam itu mudah dan tidak mengelirukan. Waktu itu, tiada siapa yang dapat mengahalang dia mengakui Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah. Tidak ibunya, tidak bapanya yang dapat mengubah kebenaran yang bertapak di dalam jiwanya.
(KuSeru Namamu Kekasih:135)

Berdasarkan dua petikan di atas, sedarlah kita bahawa pengarang ingin menyampaikan bahawa hidayah itu sebenarnya milik Allah s.w.t , dibukakan hati seseorang itu menuju hidayahNya dengan pelbagai cara. Kita sebagai manusia hanya mampu mengajak saudara kita yang lain untuk mengetahui dan mengenali Islam. Seandainya, saudara tersebut memeluk Islam, Islamnya mereka bukan kerana kehebatan kita berhujah tetapi seperti yang dinyatakan di atas ia adalah hidayah Allah semata-mata.




Memelihara keselamatan saudara Islam yang lain.

"Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri."
-Hadis Riwayat Muslim

”Awak kahwin dengan dia. Awak lindungi nyawanya. Awak lindungi agamanya.”
(KuSeru Namamu Kekasih:310)

”....saya cintakan awak. Tetapi saya sanggup korbankan cinta saya, demi Islam. Air mata ini adalah air mata kesyukuran kerana Allah memberi ketabahan untuk saya melakukan pengorbanan sebesar ini. Padahal, sakitnya melepaskan awak pergi menghiris kalbu saya, Zaim.”,,,

” kalau awak rasa sakit, tarik balik keputusan awak”

”Saya akan jadi lebih sakit, jika apa-apa musibah berlaku kepadanya,”..
(KuSeru Namamu Kekasih:316)

Pengarang novel juga ingin menyampaikan kepada pembaca betapa pentingnya menyayangi saudara, dan ini dibuktikan melalui watak Rayyan yang sanggup mengorbankan cintanya, demi menyelamatkan nyawa dan agama saudaranya. Mencelakakan atau membahayakan saudara tidak kira nyawa, maruah atau harta adalah dilarang dalam Islam, maka semestinya memelihara keselamatan saudara Islam yang lain ialah suatu kewajipan. Apatah lagi jika ianya melibatkan soal akidah

Penganjuran nilai-nilai murni

”Rayyan terfikirkan sesuatu. Mungkin rakan-rakannya itu mahu melihat Islam dalam bentuk yang nyata, bukan dalam bentuk ceramah atau nasihat. Rakan-rakannya semua golongan terpelajar, yang memang sukar dinasihati dengan kata-kata sahaja. Jadi dia perlu menjadi contoh terbaik untuk mereka ikuti.”
(KuSeru Namamu Kekasih:96)
”Sebagai rakan dia mempunyai tanggungjawab memupuk rasa keimanan dalam jiwa mereka. Mereka perlu menetapkan keyakinan Islam di hati,membenarkan Islam dengan lisan dan membuktikan Islam dengan amal . Itulah iman secara ringkasnya.

(KuSeru Namamu Kekasih:96-97)

Sememangnya mempamerkan akhlak yang baik yang dapat menjadi ikutan juga salah satu metod dakwah. Yakni dakwah dengan perbuatan. Namun adakalanya perlu juga dibuat dakwah yang mengambil pendekatan menghampiri secara perseorangan. Pengarang cuba menyampaikan tentang pelbagai cara dakwah. Dakwah harus bersesuaian dengan individu yang ingin didakwahkan. Sekiranya mereka terdiri dari golongan intelektual maka haruslah dilebihkan perbincangan yang ilmiah yang dapat disokong dengan fakta logikal.


8.0 Kesimpulan

“KIni keseru nama-Mu Tuhanku… aku akan pulang kepada-Mu. Terimalah aku di sisi-Mu, oh Tuhan. Ke tempat yang aku tidak berasa duka. Tempat yang tiada kesakitan...
(KuSeru Namamu Kekasih:447)

Jelas sekali begitu banyak pemikiran Islam yang dilontarkan oleh pengarang yang dapat dikenal pasti melalui isu semasa yang dipilihnya untuk dikemukakan di dalam novelnya juga menerusi dakwah-dakwah yang cuba disampaikannya. Dari itu, dapat disimpulkan bahawa novel ’Kuseru namamu kekasih’ ini sememangnya merupakan karya islami yang baik dan dapat membawa kemanfaatan kepada pembacanya.


























Bibliografi

Abdul Rahman Haji Abdullah, 1987. Pemikiran Islam masa kini. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Zaki And Latiff, Abd Nasir Hj. Musa, dan Mohd yusuf Yusak, 2001.
Pemikiran Islam Semasa. Selangor: iBook Publication sdn.bhd.

Nor Azlia Mat Jaafar, 2002. Pemikiran Islam dalam Novel Nurul Hidayah. Latihan
Ilmiah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

S.Othman Kelantan, 1988. Kesusasteraan Melayu Moden: Pemikiran dan permasalahan dalam dewan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Disember 1988.
[1] Dipetik daripada wawancara yang dilakukan oleh Nor Azlia Mat Jaafar terhadap sasterawan Tuan Haji Hassan Muhammad Ali (Hassan Ali) bagi latihan ilmiahnya.

[2] Dipetik daripada: http://hanan.com.my/article.php?sid=1482 pada 01/04/2009
[3] Dipetik daripada, http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=796&cmd=resetall pada 1 April 2009.

No comments: