Wednesday, May 13, 2009

Syabab Musafir Kasih: Modal Insan Melalui Pendekatan Asmaul Husna

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan AsmaNya Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Pemurah
Allahumma shalli 'ala Sayyidina Rasulillah saw,
Muhammad,
wa 'ala alihi wa sahbihi ajma'in.




SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan berbuah kematangan.
Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengobarkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta gelombang.
Ayuh, SYABAB!
(Fatimah Syarha)

Khaliq dan Makhluk, Yang Mencipta dan Yang Dicipta. Dua Entiti Yang Berbeza.



Dari kesenyapan yang luar biasa, kesenyapan permulaan yang tak berawal, muncul kerinduan Tuhan: “Aku adalah Perbendaharaan Tersembunyi, dan Aku ingin dikenal.”
(Hadis Qudsi)

Asmaul Husna adalah milik mutlak Allah yang Maha Esa. Tiada yang dapat dijadikan bandingan dengan nama-nama yang dimilikiNya. Semua akur, menurut logik akal bahawa Pencipta dan yang dicipta merupakan dua entiti yang sangat berbeza. Pencipta atau Khalik tentu sahaja memiliki segala yang jauh mendahului daripada yang dicipta atau makhluk. Ini tidak boleh disangkal lagi oleh sesiapa jua pun.

Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. BagiNya nama-nama yang baik (terpuji).
(Surah Thaahaa, ayat 8)

Bayang-banyangNya di Dalam CiptaanNya


Akan tetapi, semua juga akur, bahawa Pencipta sesuatu akan menghasilkan sesuatu yang dicipta yang mempunyai kesamaan dengan diriNya. Dalam erti kata lain, bayang-bayang pencipta sesuatu akan menjadi cerminan dalam sesuatu yang diciptakan atau dihasilkan.

Contoh yang paling mudah untuk dijadikan analogi ialah penciptaan hasil sesebuah karya sedikit sebanyak merupakan cerminan kepada pengaruh pengkarya tersebut. Ini selaras dengan pandangan ulama tasauf yang tidak asing lagi, Imam Ghazali, apabila beliau menulis bahawa manusia,

Manusia juga makhluk yang bertanggungjawab dan dicipta dengan sifat-sifat ketuhanan (Asmaul Husna) atau Rabbani…Maksud sifat-sifat Rabbani ini ialah apabila individu berjaya mengasimilasikan sifat-sifat Allah s.w.t. Paling diutamakan ialah keesaannya (tauhid) yang merupakan nilai utama bagi manusia.
(Kamal Abd.Manaf, 2000: 42-43)

Oleh yang demikian, Asmaul Husna menjadi milik mutlak Allah yang Maha Agung, dan dalam masa yang sama, menerusi Ssmaul Husna juga, Pemilik yang Maha Agung ini ingin menyingkap akan keagunganNya kepada makhlukNya dan ingin mengajar makhlukNya untuk mengikut asmaNya serta sifatNya yang merupakan metod serta kaedah yang terbaik dalam mencapai tahap ahsani taqwim atau penciptaan yang terbaik.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
(Surah At-Tiin, ayat 4)

Ary Ginanjar Agustin menulis,
Dengan tiupan roh yang Ia (Allah) hembuskan dalam diri manusia, sesugguhnya Ia (Allah) telah memberikan ‘bayang-bayang’ sifatNya dalam kalbu setiap insan manusia. Ia (Allah) seakan menyuruh untuk mencari dan memaknai ‘bayang-bayang’Nya terus menerus, baik secara sedar ataupun tidak sama sekali.
(Ary Ginanjar Agustin, 2007: 89)

Novel Syabab Musafir Kasih, Cerminan DiriNya
di dalam Dirimu



Syabab seorang anak yatim, yang kematian bapanya. Dia tinggal ber sama ibunya dan juga abang dan kakaknya yang bermasalah. Abang dan kakaknya adalah golongan yang bermasalah di dalam kampung itu. Lantaran hal tersebut, ibu mereka sering dicaci oeh orang kampung. Syabab pula dengan kenakalannya.

Di sebalik cacian orang kampung, masih ada insan yang bersimpati dengan Syabab, iaitu Nur Mumtazah. Beliau seorang pelajar universiti tempatan yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Syria. Beliau banyak mengajar adab-adab kepada Syabab, mendidik Syabab.
Nur Mumtazah mempunyai dua orang adik, iaitu Imtiyaz dan Nur Najihah. Imtiyaz rapat dengan Syabab, manakala kakaknya, Najihah sebagaimana orang kampung yang lain, membenci Syabab.

Kisah ini menarik dengan watak Syabab yang sangat menyayangi Nur Mumtazah. Sekiranya Syabab terlalu nakal, maka Nur Mumtazah akan mengugat dengan menyatakan “Nanti akak balik U”. Dan Syabab apabila mendengar kata-kata itu nescaya dia akan menghentikan perbuatan nakal itu.

Nur Mumtazah melanjutkan pelajaran ke Syria, bagai satu halilintar bukan sahaja buat Syabab, bahkan buat Mumtazah. Linangan air mata mengiringi pemergian Mumtazah. Si ibu hairan apakah anak perempuannya itu menangis kerana mahu berpisah dengan ibunya atau kerana tak sampai hati meninggalkan Syabab keseorangan. Air mata itu buat Syabab. Syabab merayu Mumtazah jangan pergi dan berjanji tidak akan nakal lagi.
Pemergian Mumtazah, ditangisi Syabab. Dia bercampur dengan budak-budak nakal yang sebelum ini selalu membulinya. Dia mengenali rokok, gam walaupun dia tidak sampai menghisap gam itu. Walaupun begitu, orang kampung memberikan kepercayaan kepada Syabab untuk menggembala lembu-lembu mereka.

Kepulangan Mumtazah, bersama suaminya Ustaz Mursyid, menemukan mereka dengan Syabab yang berbeza. Syabab yang telah berkerjaya sebagai penggembala lembu orang kampung. Mereka cuba memujuk Syabab untuk sambung belajar. Kedegilan Syabab luntur jua di tangan mereka.

Di sebalik semua itu, Syabab seorang yang pintar dalam subjek Bahasa Arab dan Agama. Syabab tidak mengambil SPM, dia lari ke bandar, bertemu seorang budak Cina yang meminati bidang animasi. Dia mendapat pula kerja sebagai model. Akhirnya Syabab kembali ke kampung, menjadi seorang dai’e yang teguh dengan pendiriannya. Dan apa kesudahannya?
Tiada cerita tanpa cinta Adam dan Hawa. Sudah pasti dalam novel ini disentuh jua. Syabab menyambung belajar di bumi Syria. Bumi yang sama dihuni oleh Najihah dan Imtiyaz. Najihah masih memandang rendah Syabab. Dia tidak tahu Syabablah pemuda yang disayangi ulama Syria, Shaikh al-Habnakah. Syabab pernah menentang seorang polis yang menangkap Shaikh al-Habnakah di dalam masjid. Ketika itu, Shaikh sedang membacakan kitab al-Iqna’ dalam bab jihad. Tanpa disedari, Syabab juga sebenarnya sedang bertalaqqi membaca al-Quran bersama salah seorang saudara Shaikh al-Habnakah.

Konflik demi konflik muncul di dalam novel ini. Bagaimana dengan Ustaz Mursyid yang dulunya kental dengan jiwa dakwah kepada penduduk kampung, akhirnya luntur dan tenggelam dengan kehidupan dunia, sedangkan Mumtazah merindui suaminya yang dahulu, dai’e kepada penduduk kampung.

Konflik bagaimana Syabab cuba menangani kakaknya yang menjalin hubungan dengan bekas teman Syabab yang juga seorang samseng dan sekarang ditambah dengan mat rempit. Akhirnya ada nyawa yang terkorban dalam misi suci Syabab membebaskan kakaknya dari dunia rempit.
Pengakhiran cerita, bagaimana Najihah meminati Syabab, dan Syabab meminati pula Mumtazah yang sudah kematian suami, menjadi balu dengan beberapa orang anak. Syabab memilih Mumtazah berbanding Najihah yang masih dara dan cantik. Cinta Syabab teruji.
Sebelum bernikah, Syabab disaji dengan dua pilihan yang lain, Najihah dan juga cucu Shaikh al-Habnakah. Syabab memilih Mumtazah jua. Tapi pernikahan tidak terhenti di situ. Shaikh al-Habnakah masih mengharapkan Syabab. Mumtazah rela berkorban, diam-diam, dia sudah berutus emel dengan cucu Shaikh.
(Fatimah Syarha)

Yakinlah! Asmaul Husna Ke Arah Kecemerlangan!



Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
(Surah Qaaf, ayat 16)

Orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, di manakah Allah, di bumi atau di langit?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Dalam kalbu hambaNya yang beriman!”
(Hadith)

Di dalam buku bertajuk Doa dan Zikir, Senjat dan Perisai Orang Mukmin, ada dituliskan mengenai kelebihan mengamalkan Asmaul Husna di dalam kehidupan seharian. Di antara kelebihan yang disebutkan ialah,

1. Mengenal Allah s.w.t dengan sebenar-benar makrifah. Sebab, untuk dapat mengenali Allah s.w.t mesti lebih dahulu mengenal sifat-sifatNya dan nama-namaNya yang agung.
2. Makrifah atau pengenalan ini menyebabkan lahirnya kecintaan kepada Allah s.w.t dan mengelokkan ibadat kepadaNya.
3. Asmaul Husna adalah satu cara atau jalan paling mudah untuk memperoleh kecintaan Allah s.w.t kepada hambaNya dan untuk mendapat doa yang diperkenankanNya.
4. Asmaul Husna adalah sebaik-baik zikir. Allah s.w.t telah menyuruh kita supaya berzikir kepadaNya. Allah s.w.t berfirman, yang maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang agung (Asmaul Husna), maka serulah Dia dengan nama-nama tersebut. Menyeru yang dimaksud di sini boleh jadi berdoa dan boleh jadi berzikir. Berzikir dengan Asmaul Husna adalah disyariatkan.
5. Mengenali dan menghayati nama-nama ini adalah satu sebab daripada beberapa sebab masuk Syurga.

Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud):
“Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai 99 nama, maka sesiapa yang menghafalnya akan masuk Syurga”.
(Mohd Sofwan Amrullah, 1995: 193-194)

Berdasarkan petikan yang diambil di atas, tidak ragu bahawa beramal dengan asmaNya yang baik membawa banyak manfaat dan kebaikan. Al-Muhaqqiqun (mereka yang berada di jalan yang benar) mengulas maksud tersirat apabila baginda s.a.w menyuruh umatnya menghafal Asmaul Husna. Menghafal Asmaul Husna, menurut al-Muhaqqiqun ialah memahaminya serta mengamal dengannya, berakhlak dengan akhlak yang terkandung di dalamnya. Oleh yang demikian, penulisan seterusnya akan menekankan mengenai berakhlak dengan akhlak asma’Nya yang terbaik.

Kekuatan Ihsan dalam Kehidupanku dan Kehidupanmu



“Serulah kepada jalan (agama) Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara sebaik-baiknya. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalanNya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah An-Nahl, ayat 125)

Sebagaimana yang telah dibicarakan sebelumnya, berakhlak dengan akhlak Asmaul Husna merupakan kaedah atau metod ke arah kecemerlangan. Modal insan yang ingin dibina perlu ada kekuatan yang menyeluruh, bukan sahaja kekuatan IQ (mental) dan EQ (emosional) diperlukan, akan tetapi kekuatan SQ (spititual) merupakan asas segala kekuatan dalam kehidupan. Pendorong utama bagi golongan yang berjaya ialah pendorong SQ atau yang disebutkan dalam Islam sebagai istilah ihsan atau akhlak yang baik. Mereka berjaya kerana terdorong dengan semangat dalaman yang kuat.

Sebagai contoh, kekuatan ihsan ini dapat dilihat menurusi pengalaman penulis buku ESQ Power, Sebuah Inner Journey Melalui Al-Ihsan, Ary Ginanjar, juga merupakan seorang yang berpengalaman dalam dunia bisnes yang sangat kompetitif dan penuh tantangan. Menurut beliau, menerusi pengalamannya yang pernah melihat cara 6000 karyawan PT. Matsushita Kotobuki Elektronik Indonesia, yang merupakan anak perusahaan Matsushutia yang bermarkas besar di Jepun. Beliau sangat terpegun dengan keadaan tandas di lobi perusahaan yang digunakan oleh 6000 karyawan yang begitu bersih dan kebersihaan tandas ini setanding dengan tandas hotel berbintang. Menurut beliau lagi, beliau juga terpegun dengan sikap beberapa staf yang beliau adakan perjumpaan bersama. Setelah selesai perjumpaan tersebut, beliau berjalan melangkah keluar dan kemudian menoleh ke belakang dan sangat terpegun dengan sikap staf-staf yang ada sedang merapikan kembali kerusi-kerusi seperti sedia kala. Dua pengalaman yang disebutkan di atas membuatkan dirinya terfikir akan sikap yang begitu cantik. Beliau terus bertanya kepada Ismet Gobel, salah seorang direktor sumber daya manusia PT. Ismer Gobel menjawab,

“Dalam budaya Jepun, kita harus memikirkan orang lain yang akan menggunakan ruangan rapat itu, kita harus sentiasa memberi dan menolong”.
(Ary Ginanjar Agsutian, 2008: 31)

Contoh di atas juga diajar di dalam Islam. Ianya disebut dengan istilah ihsan. Kekuatan ihsan menjadikan seseorang melakukan apa jua pekerjaan yang terbaik dan semaksimum mingkin. Kekuatan ihsan menjadikan seseorang melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan sebaik mungkin tanpa keinginan yang berupa material, akan tetapi menjadikan tabiat atau sikapnya, sama ada dirinya diperhatikan orang atau tidak. Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w pernah mendefinisikan ihsan dengan sabdanya,

“Ihsan adalah engkau mengabdi kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya,, jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Ia (Allah) melihatmu.”
Ihsan berasal dari kata ‘husn’ yang bermaksud, kualiti yang terbaik dan terindah. Beramal dan berakhlak dengan akhlak asmaul husna dengan penuh ihsan akan membentuk individu yang bekerja dengan budaya kerja yang cemerlang, melahirkan individu yang bekerja dengan tahap kerja yang berkualiti tinggi dan membentuk individu yang berkerja dengan penuh amanah, jujur, adil, bertimbang rasa dan seluruh akhlak yang baik yang menjadi asmaNya yang indah.

Asmaul Husna dalam Diri Setiap Hamba


“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada pada malaikat,”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama seluruhnya, … Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka…”
(Surah Al-Baqarah, ayat 30, 31 dan 34)

Sebagaimana yang telah disebutkan tadi, Allah meniupkan ruhNya kepada Adam dan dengan itu, Dialah juga yang meniupkan segala sifat-sifat kebaikanNya ke dalam diri setiap hambaNya. AsmaNya yang diterangkan satu persatu di dalam KitabNya bertujuan untuk mengajar hambaNya untuk menuju ke arah asmaNya yang merupakan metod atau kaedah kecemerlangan di dunia dan akhirat. Allah, Yang Maha Mengetahui mengajar Adam segala sesuatu, menciptakan keturunan Adam dengan suara hati yang juga merupakan asmaNya yang berjalan di atas landasan fitrah yang diakui oleh seluruh bani Adam, sama ada yang mengakui Allah sebagai Rabb mereka atau yang kufur, bahawa asmaNya ini merupakan yang terbaik dan yang fitrah lahir dalam naluri manusia dan manusia gemar untuk memilikinya walau jauh tersasar daripadanya.

Dari itu, di sini penulis memilih lapan daripada 99 asmaNya yang baik, serta juga merupakan suara hati dalam diri setiap hamba dan seterusnya mengaplikasikan lapan asmaNya di dalam watak-watak ovel Syabab Musafir Kasih. Sebelum itu, berikut adalah lapan asmaNya yang menjadi pilihan.

1. Pengasih: dorongan untuk menyayangi sesama, ihsan kepada asmaNya: Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih)
2. Disiplin, mengerjakan tugas dengan disiplin dan bertanggugjawab, ihsan kepada asmaNya: Al-Matiin. (Yang Maha Teguh dan Kukuh)
3. Objektif, tidak dipengaruhi pandangan dan kepentingan peribadi, ihsan kepada asmaNya: Al-Haqq. (Yang Maha Benar)
4. Mensyukuri, menerima segala hal dengan positif, ihsan kepada asmaNya: Asy-Syakur. (Yang Maha Mensyukuri)
5. Berani mangambil keputusan, ihsan kepada asmaNya: Al-Hakam. (Yang Maha Menilai)
6. Pemberi manfaat, sentiasa berguna kepada semua, ihsan kepada asmaNya: An-Naafi’. (Yang Maha Pemberi Manfaat)
7. Suka membangkitkan semangat, ihsan kepada asmaNya: Al-Baa’its (Yang Maha Membangkitkan)
8. Mempunyai visi yang ke depan, ihsan kepada asmaNya: Al-Aakhir. (Yang Maha Mengakhiri)
“Dialah Yang Maha Mencipta, Maha Perencana, Maha Perancang, untukNya, mengucap tasbih apa yang di langit dan di bumi. Dia memiliki Asma’ terbaik”
(Surah Al-Hasyr, ayat 24)
“Ketahuilah bahwa Nama-nama Allah tidak ada batasnya, tetapi Nama-namaNya yang lebih agung adalah apa yang Allah sebutkan di dalam kitabNya.”
(Hadith, Imam Ahmad Aliy Al Buniy)

Mengaplikasikan Lapan Asmaul Husna Pilihan di dalam Watak Novel Syabab Musafir Kasih

“Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan) Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud”
(Surah Al-Hijr, ayat 29)

Dalil di atas ini menjadi bukti akan hakikat manusia yang menurut fitrah merupakan makhluk spiritual. Di mana sahaja manusia itu pergi, di lubuk hatinya sering inginkan yang baik dan mencari yang baik walaupun sebenarnya dirinya tidak begitu baik. Manusia, dengan tiupan ruh dari Maha Pencipta, secara semula jadi sangat gemar kepada kebaikan dan akur bahawa segala yang baik didambakan dirinya.

Oleh yang demikian, penulisan yang seterusnya akan menyentuh suara hati manusia yang
merupakan fitrah setiap insan. Penulis, sebagaimana yang telah disebutkan dahulu, memilih lapan Asmaul Husna yang akan dilihat dan diaplikasikan menerusi watak-watak dalam novel Syabab Musafir Kasih. Lapan Asmaul Husna, yang menjadi milik mutlak Allah dapat dicerminkan menerusi makhluk ciptaanNya dan berakhlak dengannya merupakan hal yang dicintai olehNya, Pemilik sebenar Asmaul Husna.

Pengasih: Ihsan kepada Asma’Nya ArRahman (Yang Maha Pengasih)


“Katakanlah, “Serulah Allah atau ArRahman. Dengan nama yang mana saja kemu menyeruNya, maka bagiNya nama-nama yang baik, dan janganlah keraskan bacaan shalatmu dan jangan pula engkau memelankannya dan carilah jalan antara yang demikian itu, di antara (kedua) cara itu.”
(Surah Al-Israa’, ayat 110)

“ArRahman bererti mempunyai rahmat yang luas dan melimpah serta pemberi nikmat-nikmat besar kepada sekalian makhluk dengan penuh kasih sayang, sementara berada di atas dunia ini. Ia melimpahkan rahmat kepada semua makhlukNya, tidak kira sama ada mukmin atau orang kafir.
Barangsiapa berzikir “Ya Rahman” dengan iman dan khusyuk, di mana sahaja ia berada, nescaya Allah s.w.t akan menghilangkan perasaan kusut di hatinya dan memudahkannya dalam urusan dunia.”
(Sara Saad, 2007: 37)

Sifat pengasih atau dorongan untuk saling menyayangi sesama manusia banyak diserlahkan melalui watak-watak Syabab Musafir Kasih. Menjadi fitrah manusia untuk menyayangi dan juga disayangi. Hal sedemikian tidak dapat disangkal lagi. Bermulanya penciptaan manusia ialah kerana cinta dan kasih sayang Allah yang membangkitkan cinta dan kasih sayang dua insan yang bernama Adam dan Hawa. Dengan itu, berkembang biaklah umat manusia atas landasan ini. Sebagamana Pemilik Kasih Sayang dan Cinta yang menggelarkan diriNya sebagai ArRahman (Yang Maha Pengasih), maka begitulah fitrah manusia, makhluk ciptaanya yang juga memiliki sifat yang pengasih di dalam diri mereka, walaupun sifat ini tidak dapat dibandingkan dengan Pemiliknya, iaitu Allah Yang ArRahman, Yang Maha Pengasih.

Watak Nur Mumtazah merupakan watak yang paling menyerlah di dalam menggambarkan sikapnya yang sangat pengasih terhadap Syabab. Di waktu semua orang di sekeliling menghina Syabab, Nur Mumtazah melahirkan sifatnya yang sangat belas kasihan terhadap anak kecil ini. Kasih sayang Nur Mumtazah terhadap Syabab diluahkan dengan sifanya yang sering mengajar Syabab ada-adab seharian. Bukan setakat menunjuk ajar Syabab, Nur Mumtazah melahirkan sifat kasih sayangnya dengan perasaan kerinduan serta sedih apabila ingin meninggalkan Syabab untuk menyambungkan pengajiannya. Sifat kasih sayang dapat dilihat menerusi babak yang menggambarkan tiga watak, iaitu Nur Mumtazah, Syabab dan Pak Su (ayah kepada Nur Mumtazah). Ketika itu, Pak Su menceritakan hal anak lembu yang baru dilahirkan yang kehilangan ibunya kerana ibu lembu tersebut mengikuti jantan lain. Dengan secara tidak sedar, Syabab mengungkapkan belas kasihannya terhadap anak lembu tersebut dengan katanya,

“Lembu jangan sedih, ya. Mak Syabab pun tinggalkan Syabab. Hari-hari pergi kerja. Syabab tak sedih pun,” ungkap Syabab.
(Fatimah Syarhah, 2008: 8)

Di sini memperlihatkan fitrah sifat kasih sayang yang lahir di dalam diri anak sekecil Syabab. Anak kecil ini sudah pun tahu akan nilai kasih sayang, walaupun nilai kasih sayang ini hanya ditujukan kepada seekor anak lembu yang kehilangan ibu. Ini merupakan suara hati yang menjadi fitrah setiap insan, tidak kira usia.

Seterusnya, dengan ungkapan Syabab di atas, lahirlah pula rasa kasih sayang serta belas kasihan Nur Mumtazah terhadap Syabab. Ini dapat dilihat menerusi kata-kata di bawah ini.

“Nur Mumtazah tersenyum tawar. Sebak. Jiwanya mudah tersentuh mengenangkan nasib malang anak yatim itu. Dia tidak mahu menangis di depan Syabab. Dia berlalu menghampiri paip air yang berdekatan. Mukanya dibasuh. Dibiarkan Syabab bermain-main dengan anak lembu tersebut.”
(Fatimah Syarhah, 2008:8)

Inilah suara hati yang lahir secara fitrah di dalam diri Nur Mumtazah, juga setiap insan apabila dihadapkan dengan situasi yang sama. Secara jelas membuktikan sifat pengasih yang ada dalam diri setiap makhluk mencerminkan Sang Pencipta yang lebih Maha Pengasih kepada seluruh ciptaanNya, sebagaimana yang disabakan oleh baginda,

Bahwa ia datang menghadap Rasulullah saw. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan dia langsung mengambil bayi itu lalu mendekapkannya ke perut untuk disusui. Lalu Rasulullah saw. berkata kepada kami: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.
(Hadis riwayat Umar bin Khattab r.a)

Selain itu, anak sekecil Syabab juga sudah tertanam di dalam jiwanya sifat kasih terhadap Nur Mumtazah. Setiap kali ada kapal terbang lalu, Syabab akan mendongak ke awan, dengan harapan supaya Kak Zah (nama panggilan Nur Mumtazah) dapat pulang ke desa bersamanya.

“Syabab sangat merindui Nur Mumtazah. Dia suka merenung ke udara untuk melihat kalau-kalau ada kapal terbang yang lalu. Setiap kali melihat kapal terbang, dia menyimpan harapan agar burung besi raksasa itu membawa Nur Mumtazah pulang ke desa.”

(Fatimah Syarhah, 2008: 67)

Disiplin: Ihsan kepada AsmaNya Al-Matiin. (Yang Maha Teguh dan Kukuh)


“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.”
(Surah Az-Zariyat, ayat 58)

Al-Matin merupakan salah satu asmaNya yang agung, iaitu Yang Maha Teguh dan Kukuh. Tiada yang dapat menyangkal bahawa Allah s.w.t Maha Teguh dan Maha Kukuh. Segala kekuasaan tertakhluk padaNya. Tiada daya yang sedikit pun yang ada pada yang selain daripadaNya. Dengan asmaNya Al-Matin, makhluk ciptaanNya juga ada sifat yang sedemikian atau disebut sebagai berdisiplin dan bertanggungjawab di atas tugas yang telah diberikan. Hal ini banyak digambarkan menerusi watak Syabab yang merupakan usahawan penternak lembu yang sangat baik dan bertanggungjawab serta seterusnya menjadi seorang penulis skrip anamasi yang juga berdisplin di dalam bidang kerjayanya.

Diceritakan bahawa Syabab yang mula meneroka tanah yang terbiar. Sikapnya yang berdisiplin menjadiakan usahanya berbaloi dan maju dari masa ke semasa. Hal ini digambarkan seperti dialog di bawah.

“Siapa teroka tanah terbiar ni?” tanya Nur Mumtazah lagi.
“Syabab sendiri yang mulakan. Bila dia berduit sikit, ayah tolong dia upah orang dan jentolak,” cerita Pak Su menambah kekaguman Nur Mumtazah.
Kelihatan dari jauh seorang anak muda berbadan tegap dan sasa sedang mencuci kandang. Urat-urat lengan menonjol keluar. Gaya kehidupannya membantu untuk membina otot melalui rutin kerja yang berat. Dia terbiasa menebang pokok, meredah hutan, mendaki bukit dan menyelam. Kelasakannya membantu kecergasan kardiovaskular. Badannya memiliki daya tahan kardiovaskular, kecergasan respiratori dan kecergasan aerobik.”
(Fatimah Syarha, 2008:87)

Syabab juga berdisiplin dalam kehidupannya sebagai seorang Muslim yang berkewajipan untuk bersembahyang. Keputusannya untuk berhijrah ke bandar dan seterusnya berkerja dengan seorang yang bukan Islam, Micheal Lim dalam bidang animasi sedikit pun tidak menggoyahkan kedudukannya dalam menunaikan tanggugjawabnya sebagai hamba Allah. Kehadiran Mak Nyah juga tidak menggugat kedudukannya dan masih tetap berdisiplin di atas landasan Islam yang dipegang dengan kukuh dan teguh.
“Kamu lari dari kampung?” Micheal Lim mengorek kisahnya.
Syabab mengangguk dan menceritakan kisah sedihnya. Latar belakang keluarga dan lembu yang diracun, semua dicerita. Kepercayaannya tertumpah pada Micheal Lim….
Sepanjang berada di rumah Micheal Lim, Syabab tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai orang Islam. Dia mendirikan solat lima waktu. Dia menyamak badannya apabila tanpa disedari anjing peliharaan keluarga itu datang menjilat tubuhnya. Dia sangat memilih apabila tiba waktu makan. Dia hanya memakan hidangan yang diyakini sahaja terutamanya mekanan yang sedia dipaket.
(Fatimah Syarha, 2008: 148)

Syabab rimas apabila kehadirannya menjadi kegilaan mak nyah-mak nyah di syarikat itu. Dia mengambil sikap menepis dan mengelak apabila bertembung dengan mereka….
(Fatimah Syarha, 2008: 160)

Al-Matin, Yang Maha Teguh dan Maha Kukuh dari sekalian yang ada ialah Allah. Menerusi asmaNya Al-Matin, diajar hambaNya untuk bersifat sebagaimana sifatNya, iaitu teguh dan kukuh, berdisiplin di dalam menjalankan amanah yang digalaskan untuk mencapai kesempurnaan yang terbaik di dalam apa jua bidang yang ditempatkanNya.

Objektif: Ihsan kepada Asma’Nya Al-Haqq (Yang Maha Benar)



Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(Surah Ali’Imran, ayat 102)

Manusia, secara sedar mahupun tidak, sentiasa mencari kebenaran. Manusia yang berfikir akan selalu inginkan kebenaran yang berlandaskan Dia, Yang Maha Benar. Oleh yang demikian, di dalam aspek tasauf seringkali ditekankan akan nilai ikhlas di dalam apa jua yang diperkatakan dan dilakukan supaya segala perkataan dan gerak-geri berada di bawah pancaran kebenaran dan tidak dilakukan kerana hal yang selain untukNya dan keranaNya. Dari itu, asmaNa Al-Haqq yang tercermin di dalam diri para hambaNya ialah seseorang yang berobjektif, berkata dan berkelakukan bukan atas kepentingan diri dan dipengaruhi perasaan, akan tetapi berlandaskan ikhlas, iaitu suci daripada yang selainNya.

Hal yang sedemikian disentuh menerusi watak Syabab yang berobjektif ketika berhijrah dan menjadi tetamu di bumi Syam keranaNya. Nilai ikhlas disentuh Fatimah Syarha ketika menceritakan keadaan Syabab yang merenung dan berfikir akan niatnya berhijrah ke Syam serta harapannya untuk menjadikan dirinya ikhlas tanpa ada kepentingan yang lain.
Syabab terasa sayu mengenangkan dia kini tinggi menggapai awan, melintasi banyak kepada para ulama di bawahnya. Dia rela terbang jauh untuk meneguk setitis ilmuu dan keberkatan daripada golongan pewaris Nabi.

“Ya Allah, tetapkan niat dan matlamatku ikhlas keranaMu. Jangan sesekali memesongkan aku.”
Syabab berdoa. Air mata lelakinya menitis. Dilihat sebelah. Penumpang berbangsa Jerman di sebelahnya nyeyak tidur dari awal perjalanan hingga sekarang.
(Fatimah Syarha, 2008: 214)

Mensyukuri, Ihsan kepada Asma’Nya Asy-Syakur (Yang Maha Mensyukuri)

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
(Surah Ibrahim, ayat 7)

As-Shakur bererti Yang Bersyukur. Barangsiapa yang berzikir “Ya Shakuur” dengan iman dan keikhlasan sebanyak 41 kali dan dihembuskan ke bekas yang berisi air dan kemudian membasuh mukanya dengan air tersebut, insyaAllah mukanya akan bersinar dengan cahaya kebenaran, pintu rezeki dalam perniagaan akan dibuka dengan lebih luas dan kekayaan akan bertambah.
(Sara Saad, 2007:79-80)

Semamangnya, sebagai seorang hamba, kita selayaknya bersyukur akan rahmat Allah yang sangat luas, tiada tandingannya. Walaupun kita sering membelakangiNya dalam kehidupan seharian, namun rahmat serta nikmat yang dikurniakan Allah tidak pernah terhenti. Begitu juga, disebalik bersyukur kepada Pencipta, Dia juga mengajari hambaNya untuk bersyukur terhadap sesama hamba. Dalam erti kata yang lain, berterima kasih di antara satu sama lain merupakan akhlak yang baik untuk hubungan sesama insan. Dari itu, selayaknya hamba menghiasi akhlak dengan asmaNya Asy-Syakur.

Terdapat banyak sifat syukur ditekankan di dalam pelbagai babak di dalam novel Syabab Musafir Kasih. Di antaranya ialah ketika pertemuan di antara Nur Mumtazah dan Mak Som (ibu Syabab). Apabila Mak Som mula mengadu nasib buruknya kepada Nur Mumtazah, Nur Mumtazah memberikan respon yang positif dengan mengajak Mak Som dan dirinya bersyukur akan apa yang telah ditetapkanNya. Ini dapat dilihat menerusi petikan ini.

“Mak Som, Zah sangat bersyukur bila Allah pindahkan ke kampung terceruk ini. Kampung inilah tempat Zah bertatih dan mengorak langkah untuk ke menara gading.”…
(Fatimah Syarha, 2008: 45)

“Sama ada kita orang kampung atau bandar, sama-samalah kita bersyukur dengan anugerah Allah. Dia Maja Adil. Dia tahu tahu kenapa Dia menjadikan seseorang itu tinggal di sesuatu tempat. Apa yang ditakdirkan, itulah yang terbaik untuk hambaNya.” Nur Mumtazah berbicara panjang.
(Fatimah Syarha, 2008: 47)
“Alhamdulillah.”

Kalimah syukur itu sentiasa menghiasi ruang hati setiap kali sesuatu urusannya selesai.
(Fatimah Syarha, 2008: 210)

Dengan itu, asmaNya Asy-Syakur perlu dihiasi dan diamalkan hambaNya, sebagaimana Surah Ibrahim telah berbicara bahawa sesiapa yang mensyukuriNya, akan ditambah nikmatNya dan sesiapa yang tidak, akan diberikan azab yang pedih olehNya.


Berani, Ihsan kepada Asma’Nya Al-Hakam (Yang Maha Menilai)


“Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?”
(Surah At-Tiin, ayat 8)

Al-Hakam ertinya Allah s.w.t adalah pengadil yang menghukum dan memutuskan sesuatu perbalahan di antara hamba-hambaNya. Dia yang menetapkan peraturan dan tiada siapa pun yang dapat menolak hukumNya.
Berzikir “Ya Hakam” di mana sahaja berada atau sekurang-kurangnya 80 kali sehari dengan penuh iman dan keikhlasan, insyaAllah kita akan dijauhkan dari kesusahan dan akan mendapatkan kekayaan yang berlipat ganda.
(Sara Saad, 2007:79)

Sebagaimana Rasulullah dan Para Sahabat berani di dalam menegakkan yang benar, melawan dan bertempur dengan menaruhkan nyawa sebagai taruhan, mereka tetap berani kerana benar. Maka, begitulah juga umat Rasulullah disuruh berani di dalam menegakkan yang benar dan secara langsung mempamerkan dan mencerminkan asmaNya Al-Hakam, Yang Maha Menilai.

Menerusi novel Syabab Musafir Kasih, keberanian Syabab menyerlah dengan kesungguhannya menyelamatkan Kak Longnya yang tersasar jauh dengan merempit dan bergaul bebas. Syabab mengumpulkan segenap keberanian yang ada padanya untuk turut menasihat kawan-kawannya yang menghidu gam dan membuang masa melepak serta merempit.
Keberanian Syabab digambarkan menerusi babak di mana Syabab mengikuti Kak Long yang ingin merempit. Keberanian Syabab ini meresahkan Nur Mumtazah, Imtiyaz serta Ustaz Mursyid. Kak Long juga tidak percaya dengan kehadiran Syabab di tengah dua kumpulan Mat Rempit. Kehadiran Syabab dengan motosikal kapcainya juga mengejutkan semua Mat Rempit yang ada. Di sinilah, Majid, salah seorang dari mereka mengakui bahawa beliau yang mengkhianati Syabab dengan meracuni lembu-lembu kepunyaanya sehingga semuanya mati. Keberanian Syabab yang berdarah muda bukan sahaja berhenti hanya untuk menyelamatkan Kak Long, akan tetapi menyelamatkan Majid yang sudah mengkhianati dirinya.
Berasap telinga Syabab. Dia berusaha mengawal diri.
“Majid, mak ayah kau tentu susah hati kalau tahu kau merempit. Ingatlah, mereka dah susah payah besarkan kau. Jadilah orang berguna. Kau dan semua kawan-kawan kau ni, bukan hidup sendiri. Ramai orang sayangkan korang semua.” Syabab cuba menyuntik jarum dakwah.
“Ah, kau tak habis-habis nak tunjuk pandai! Sedialah Syabab! Kalau kau anak jantan, mari berlumba dengan aku. Woi, geng pengecut, korang pun bersedialah!” Majid mencabar Syabab dan kumpulan yang satu lagi. Dia segera menghidupkan enjin motosikal.
(Fatimah Syarha, 2008: 297)

Syabab berani menghadapi risiko yang bakal menimpa dirinya. Seterusnya, keberanian Syabab terserlah buat kali yang kedua apabila Syabab menasihati kawannya Bedek. Secara atomatik, apabila Syabab ternampak kesan lilin, penyedut minuman, botol gam dan beberapa plastik putih, Syabab kecewa dan terus menyergah Bedek untuk memberitahunya siapa yang bekalkan semua najis itu dan memaksa Bedek untuk berjanji meninggalkan semua kerja yang dilakukan.
“Cepat bagitau, siapa bekalkan najis ni semua?” Paksa Syabab. Kasar. Dia tak dapat menahan amarah yang meluap-luap.
Dengan terketar-ketar, Bedek memberitahu, “Tojol.”
Syabab mendengus kuat apabila mendengar nama itu. Nama kawannya sendiri. Dia melangkah keluar daripada kawasan semak sambil menarik tangan Bedek agar mengikutinya.
“Kau mesti tinggalkan kerja ni. Janji! Kalau tak, siaplah!” Syabab memaksa Bedek berjanji sambil terus menyusun langkah. Bedek mengangguk, terketar-ketar…
(Fatimah Syarha, 2008: 320-321)

Pemberi Manfaat, Ihsan kepada AsmaNya An-Naafi’ (Yang Maha Pemberi Manfaat)

An-Naafi ertinya makmur. Allah s.w.t menjadikan segala-galanya untuk kebahagiaan manusia. Barang siapa yang sedang dalam perjalanan dan mendapati bahawa keadaan perjalanan tersebut agak merbahaya, hendaklah ia membaca al-Fatihah dan berzikir “Ya Naafi” sebanyak 1000 kali pada hari Jumaat sebelum memulakan perjalanan ataupun semasa dalam perjalanan tersebut. InsyaAllah seseorang itu akan dirahmati Allah s.w.t dalam perjalanan tersebut dan dilindungi dari malapetaka.
(Sara Saad, 2007:86)

Oleh kerana asmaNya yang An-Naafi, iaitu Yang Maha Pemberi Manfaat, dibentangkan seluruh isi langit dan seluruh isi bumi untuk manfaat manusia. Di dalam Surah Al-Isra’ disebutkan bahawa Allah, Yang Maka Pemberi Manfaat, menundukkan daratan dan lautan untuk memuliakan Bani Adam. Selain itu, diberikan juga Bani Adam rezeki dan dilebihkan kedudukan Bani Adam daripada sekalian makhluk ciptaanNya.

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Surah Al-Isra’, ayat 70)

Dari itu, Allah s.w.t menyeru juga hambaNya menjadi penabur kemanfaatan kepada seluruh makhluk ciptaanNya. Oleh kerana itu, selain hamba Allah, manusia juga khalifah Allah yang dipertanggungjawabkan memakmurkan bumiNya, dan salah satunya ialah memberikan manfaat kepada semua. Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w,
“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberikan manfaat yang besar kepada manusia yang lain”
(Riwayat Imam Al-Baihaqi, Al-Qudhaie’, Al-Askari dan Jabir)

Nur Mumtazah dilukiskan sebagai watak yang mempunyai sifat yang sering ingin memberi manfaat kepada orang lain, terutama sekali Syabab. Sifatnya yang sering kali ingin memberi menjadikan kehidupannya tertumpu untuk memberi, tidak kira kepada sesiapa pun. Menurut Nur Mumtazah, tidak ada kebaikan belajar agama hingga ke Syam jikalau ilmu yang dapat tidak disebarkan untuk kemanfaatan ramai. Sifat ingin sentiasa memberikan manfaat ini dapat dilihat dengan cita-citanya untuk balik ke kampung dan mendidik anak-anak muda di sana, termasuklah Syabab. Digambakan Nur Mumtazah membuka kelas agama untuk anak-anak muda untuk mendidik mereka.

Nur Mumtazah bertekad untuk mengubat kelekaan itu.
Adik-adikku, Syabab dan semua pemuda-pemudi kampung ini perlu kudidik sebaiknya dalam kesempatan yang ada,” azam sianr desa iru berkobar-kobar.
(Fatimah Syarha, 2008: 24)

Dia bercita-cita menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD di luar negara. Sementara menunggu panggilan, dia ingin berbakti pada desa tercinta.
“InsyaAllah, aku akan buka kelas bimbingan untuk anak-anak orang kampung. Aku nak hapuskan air mata dan kelaparan anak-anak yatim terutamanya Syabab.” Membara tekad seorang mawar desa.
(Fatimah Syarha, 2008: 49)

Begitu juga dengan Ustaz Mursyid yang juga di dalam dirinya terlihat sifat sentiasa ingin memberi manfaat kepada anak-anak muda.
“Anak-anak muda kita perlu dibimbing ke jalan yang betul. Gejala sosial dan keruntuhan akhlak makin kritikal. Menjadi tugas kita semua untuk menggembeling tenaga kea rah usaha yang murni ini. Itu keutamaan kita. Bukannya berpecah pada perkara cabang. Ia sungguh merugikan umat.”
(Fatimah Syarha, 2008: 178)

Jelas daripada contoh-contoh yang diberikan ini, sifat manusia yang suka memberikan manfaat merupakan fitrah yang lahir di dalam diri mereka. Ini kerana selaras dengan asma’ Pencipta Yang Maha Pemberi Manfaat mencerminkan sifatNya ke dalam diri makhluk ciptaanNya bernama manusia. Dari itu sangat benar firmannya bahawa Pencipta sangat hampir dengan makhluk ciptaanNya, bahkan lebih hampir daripada urat lehernya sendiri.
“…..Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya…”
(Surah Qaaf, ayat 16)

Suka Membangkitkan Semangat, Ihsan kepada Asma’Nya Al-Baa’its (Yang Maha Membangkitkan)

Al-Baa’its ertinya Allah s.w.t yang membangkitkan rasul-rasul untuk berdakwah dengan memberi khabar gembira dan amaran kepada umat manusia.
Barangsiapa berzikir “Ya Baa’its” dengan iman dan ikhlas sebanyak 100 kali dengan meletak kedua-dua tangannya ke atas dada sebelum tidur, nescaya Allah s.w.t akan menerangkan hatinya, diberi ilmu pengetahuan dan hikmah.
(Sara Saad, 2007: 51)

Sebagaimana keterangan di atas, Allah s.w.t dalam menerangkan asmaNya Al-Baa’its, Dia yang membangkitkan rasul-rasul untuk menyampaikan ayat-ayatNya kepada manusia. Di dalam menerangkan asmaNya Al-Baa’its di dalam aspek penghambaan membawa erti yang berlainan. Manusia mencerminkan asmaNya Al-Baa’its dengan naluri yang ditiupkanNya untuk sentiasa gemar membangkitkan semangat satu dengan yang lain, ihsan kepada asmaNya Al-Baa’its. Membangkitkan semangat ini seringkali dilakukan manusia seharian untuk memotivasikan diri dan orang lain, mempamerkan asmaNya, Al-Baa’its, Yang Maha Membangkitkan.

Berpandukan novel Syabab Musafir Kasir, tiupan semangat yang diberikan Nur Mumtazah sekeluarga kepada Syabab tidak henti-henti digambarkan penulis. Sebagai contoh,Nur Mumtazah menaikkan semangat Syababb untuk terus belajar dan menimba ilmu. Dalam masa yang sama, Syabab enggan kerana merasakan dirinya tidak layak dan bodoh dan hanya ingin menternak lembu. Nur Mumtazah tidak mematikan semangat Syabab bahkan terus menerus cuba sedaya upaya membangkitkan semangatnya untuk tidak putus asa.
“Syabab dah jauh ketinggalan. Orang sebaya Syabab dah naik sekolah menengah.” ….
“Syabab belum terlambat. Syabab mesti ambil UPSR tahun ni untuk layak…,” pujuk Nur Mumtazah.

(Fatimah Syarha, 2008: 104)
“Syabab lembap. Syabab malu nak ke sekolah. Orang seusia Syabab semuanya dah masuk sekolah menengah,” luah Syabab….
Nur Mumtazah tidak putus asa. Dia terus memberika kata-kata perangsang kepadanya.

(Fatimah Syarha, 2008: 106)

Pujukan serta kata-kata perangsang Nur Mumtazah di atas merupakan pujukan serta kata-kata perangsang yang membangkitkan semangat Syabab dan ini merupakan naluri makhluk ciptaan yang mencerminkan diriNya yang Al-Baa’its, Yang Maha Membangkitkan.
Selain itu, manusia, tidak kira yang akur bahawa Allah adalah Tuhan mereka atau tidak juga mempunyai sifat suka membangkitkan semangat. Ini dapat dilihat menerusi watak Micheal Lim yang merupakan bukan beragama Islam. Hal ini juga sebenarnya membuktikan akan kebenaran Allah sebagai Tuhan satu-satunya. Ini kerana fitrah yang lahir di dalam diri setiap yang digelar manusia, sama ada manusia tersebut akur bahawa Allah sebagai Tuhan atau tidak, fitrah yang lahir dalam diri mereka hakikatnya selari dan selaras dengan ugama yang dibina atas dasar firah ini.

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Ar-Ruum, ayat 30)

Contoh menggambarkan Micheal Lim membangkitkan semangat Syabab ialah seperti berikut.
“Tak sekolah tak bererti kamu tak boleh berjaya. Kamu memang bijak kerana memilih untuk cuba nasib di sini.” Micheal Lim seakan memujuk. Dia sangat positif. Whiskey diteguk lagi. Sedikit demi sedikit tapi kerap….
Saya melihat ada potensi pada diri kamu. Kamu berbadan tegah dan kelihatan gagah. Ada rupa pula tu…”
(Fatimah Syarha, 2008: 146-147)

Mempunyai Visi yang ke Depan, Ihsan kepada AsmaNya Al-Aakhir (Yang Maha Mengakhiri)

Al-Akhir ertinya Yang Akhir. Allah s.w.t yang kekal abadi setelah binasa segala sesuatu. Dialah yang akhir, tiada kesudahan. Segala sesuatu akan kembali kepadaNya. Barangsiapa yang berzikir “Ya Akhir” sekurang-kurangnya 25 kali sehari, insyaAllah seseorang itu akan dirahmati Allah s.w.t dan sentiasa mengingati dan mencintai Penciptanya.
(Sarah Saad, 2007: 63)

Manusia sering kali inginkan visi yang jauh ke hadapan. Apabila sebuah organisasi ditubuhkan, penetapan visi diwujudkan menunjukkan fitrah manusia yang menuju kepada keinginan untuk mengadakan visi yang jauh. Fitrah ini pada hakikatnya mencerminkan asma Ketuhanan yang Al-Aakhir, Yang Maha Mengakhir. Semua akur bahawa manusia, seperti makhluk akan binasa dan yang tidak akan binasa selamanya hanya Dia Yang Maha Aakhir, akan tetapi asmaNya ini dicerminkan dengan fitrah manusia untuk sentiasa inginkan ada visi di dalam kehidupan mereka.

Naluri ini digambarkan menerusi watak Syabab ketika ditimpa musibah. Syabab dikhianati Majid yang meracuni semua lembu-lembu ternakannya mengakibatkan semua lembu mati dan menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada Syabab dan penduduk kampung secara keseluruhannya. Dalam keadaan yang menyedihkan itu, orang kampung termasuk keluarga Nur Mumtazah dan YB mengadakan mesyuarat untuk membincangkan musibah yang ditimpa Syabab. Di waktu perbincangan berjalan, Syabab menyuarakan cadangannya dan cadangan Syabab menunjukkan nalurinya yang mempunyai visi yang jauh ke depan.

Cadangan Syabab ini dapat dilihat menerusi petikan di bawah.
“Saya cadangkan ternaklah lembu jenis baka baik dan bermutu tinggi. Contohnya, baka dari Argentina. Ia dapat mengurangkan import daging beku. Selain itu, ternaklah lembu da daging baka Brangus yang diimport dari negara Amerika Selatan. Jangan lupa mengambil nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan.”
“Saya orang kampung. Tak mampu nak import baka lembu tu semua,” ujar Syabab.
“Sebab itulah, saya suruh usahakan kelapa sawit dulu. Ia tak memakan masa. Hasilnya amat lumayan. Kelak, kamu akan mendapat hasil dua dalam satu. Jadikan pertanian integrasi dengan penternakan. Ia sekali gus dapat menjimatkan ruang tanah.” Wawasan lelaki itu nampak lebih jauh.
(Fatimah Syarha, 2008: 126-127)

Cadangan Syabab ini merupakan cadangan yang dilihat kebaikannya dalam jangka masa yang panjang. Ini secara langsung membuktikan Syabab yang mempunyai visi yang ke depan dalam mengharungi kehidupannya dan juga mewakili semua makhluk yang bernama manusia

Dia Yang Terlalu Hampir


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat…”
(Surah Al-Baqarah, ayat 186)

Destinasi cinta yang ku cari,
Sebenarnya terlalu hampir,
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati.
(Lirik lagu Destinasi Cinta, Mestica)

Menerusi perbincangan yang telah dikemukakan, tidak dapat dinafikan bahawa Pencipta dan yang dicipta merupakan dua entiti yang berlainan, akan tetapi sangat hampir di antara satu dengan yang lain. Asmaul Husna yang diterangkan oleh Pencipta akan diriNya sendiri menerusi kalamNya ternyata tercermin di dalam diri makhluk ciptaanNya. Ini secara tidak langsung membuktikan keagunganNya yang sangat besar. Hal sedemekian juga secara tidak langsung mengungkap rahsia ahli tasauf yang mabuk dengan keagungan Pencipta sehingga terucap kalimah-kalimah seperti Akulah Al-Haqq (Anal Haqq) dan seterusnya konsep Wihdatul Wujud. Ini kerana kedekatan Khalik dan makhluk dapat dirasakan sehingga terucap kata-kata yang pada pandangan ahli syariat menyesatkan dan membinggungkan orang awam. Pada hakikatnya,
Pencipta menciptakan makhluk ciptaanNya dengan ruh yang ditupkanNya sehingga terserlah cerminan Pencipta di dalam diri makhlukNya sebagaimana asmaNya yang agung tercermin di dalam naluri manusia.

“..kemana pun kamu menghadap, di situlah wajah Allah..”
(Surah Al-Baqarah, ayat 115)

Fadhilah Binti Ramli


Bibliografi
Abdullah Sani S.H, 1980. Asma-Ul Husna dalam Komentar (Di Gali Dari Al Quran).
Johore Bahru: Thinker’s Library Sdn Bhd.
Al-Ghazali, 2000. Al-Asma’ Al-Husna. Bandung: Mizan.
Al-Ghazali, 2003. Rambu-rambu Mengenal Allah. Surabaya: Pustaka Progresif.
Ary Ginanjar Agustian, 2003. Rahsia Sukses Membangkitkan ESQ POWER Sebuah
Inner Journey Melalui Al-Ihsan. Jakarta: Penerbit Arga.
Fatimah Syarha Mohd. Noordin, 2008. Syabab Musafir Kasih. Kuala Lumpur: Telaga
Biru Sdn. Bhd.
Kamal Abf Manaf, 2000. Kauseling Islam Satu Alternatif Baru di Malaysia. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.
Mohd Sofwan Amrullah, 1995. Doa & Zikir Senjata & Perisai Orang Mukmin. Kuala
Lumpur: Pustaka Ilmi.
Sara Saad, 2007. Asmaul-Husna Ke Arah Kecemerlangan. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributions Sdn Bhd.

http://www.islamicity.com
http://hadith.al-islam.com
http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/

No comments: