Friday, December 26, 2008

Review Novel IMAM karya Abdullah Hussain
oleh Siti Nurulhuda Binte Abdul Razak





Di atas inilah gambar sasterawan yang bernama Abdullah Hussain. Setelah diri ini sempat menghabiskan pembacaan novel karangannya- IMAM, terasa kagum pula dengan mutiara ilmu yang terkandung dalam diri beliau dan merasakan terpanggil untuk membuat sedikit review tentang dirinya dan karyanya ini.

Sedikit tentang diri beliau. Beliau dilahirkan pada 25 mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Menerima pendidikan di sekoleh Melayi Sungai Limau dan meneruskan pengajiannya di sekolah St.Michael Alor Setar dan Anglo Chinese School, Alor Setar.

Memulakan kerjayanya sebagai pembantu juruwang di sebuah industri perlombongan. Setelah itu beliau berhijrah ke Penang dan bekerja di sebuah syarikat akhbar Sahabat dan kemudian bertukar ke akhbar saudara dengan menyandang jawatan pembantu penulis.

Pencapaian Beliau...

1981 S.E.A. Write Award
1992/1994 Hadiah Novel Nasional from Syarikat Utusan Melayu and Public Bank Berhad
1994/1995 Hadiah Sastera Malaysia for the novel Imam
1995 Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat Kebudayaan Aceh (LAKA) and Hadiah Sako
1996 The Anugerah Sasterawan Negara and Darjah Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK)

Pandangan saya...

Setelah selesai membaca karya beliau ini, saya begitu kagum dengan mutiara ilmu yang dihidangkannya. Namun demikian, yang lebih tepat saya dapat merasakan keikhlasannya dan kejujurannya dalam berkarya.

Melalui karyanya novel Imam ini sahaja pembaca telah dihidangkan dengan pelbagai ilmu tidak kira dari bidang apa pun.

Tiada dikotomi dalam penyampaian ilmunya. Semuanya di hubungkan kembali dengan Islam. Baik jika beliau menyentuh aspek ekonomi, politik, sosiologi semuanya dihubungkaitkan dengan Islam. Lantas, berdasarkan teori sastera Islam amat wajar jika diri beliau ini digolongkan dalam sasterawan islam dan karyanya sebagai karya Agung.

oleh itu janganlah lepaskan peluang untuk membaca buku karya agung ini. Alami sendiri nikmat menimba ilmu dari barisan kata-katanya yang tersusun indah dan mudah dicerna akal. Karyanya akan membawa anda memahami tentang falsafah ibadah harian kita seperti wuduk dan solat. Ilmu tentang persilatan, ilmu tentang ekonomi, ilmu tentang sosio-budaya masyarakat Melayu, ilmu tentang amalan kurafat, ilmu tentang bertaklid pada mazhab, ilmu tentang teori sastera. Segalanya terjalin lancar, tersulam dalam satu karya bertajuk IMAM.

WaAllahua'lam
~Bicara yang baik itu datangnya daripada yang Esa, yang sebaliknya itu adalah dari diri yang lemah serta hina ini.

Wednesday, December 10, 2008

Pencarian
Karya Fadhilah Binti Ramli

“Hai manusia! Sesunggunya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka tentu kau akan bertemu dengan-Nya”. Sofiah menundukkan kepalanya, menundukkan segenap jiwa dan hatinya, menundukkan setiap anggota tubuhnya, menundukkan pendengarannya, menundukkan penglihatannya dan fikirannya, akur dirinya hanya seorang hamba dan Dia Yang Maha Berkuasa, Yang Tiada tandingan daya dan kekuasaanNya.

Sofiah menitiskan air mata dengan mengakhiri surah Al Insyiqaq, ayat yang keenam. Ayat yang kelihatan pendek itu seakan-akan terdengar Sofiah berulang-ulang kali di telinga. Ayat yang kelihatan pendek itu seakan-akan memahami isi hati Sofiah yang dirinya sendiri tidak pasti akan keinginan dan pencariannya. “Segala puji hanya bagiMu, Ya Allah, Yang Mengerti dan Maha Mengetahui. Isi hati hamba yang paling dalam menginginkan bersamaMu, mencariMu dan berharap dapat bersamaMu, akan tetapi, sungguh amalan hamba bertentangan dengan kehendak isi hati ini. Hamba menzalimi diri ini,” Sofiah meneruskan doa. Titisan air mata meniti-nitik mengalir di pipinya, membasahi helaian Al-Quran yang belum ditutupinya, di atas permukaan Surah Al Insyiqaq.

“Ya Allah, sesungguhnya diri ini sangat asing dengan dirinya sendiri. Hamba tidak pernah bekerja keras menuju kepadaMu, dan Engkau tetap mendekati diri yang hina ini,” Sofiah mengungkapkan segala isi hatinya di hadapan Rabbnya. Itulah watak Sofiah, yang merasakan dirinya sering di dalam ketidakpastiaan. Ketidakpastiaan. Itulah perkataan dalam kehidupannya. Sofiah sentiasa merasakan ketidakpastiaan di dalam setiap urusan dan gerak-gerinya. Kadang-kala, dia mencari erti kepastiaan yang sebenar supaya ketidakpastiaan dapat dibuang jauh dari kehidupannya.

Sofiah dilahirkan dalam keluarga yang serba cukup semuanya. Ayahnya seorang guru di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, manakala ibunya seorang suri rumah. Sejak kecil lagi Sofiah dibesarkan seperti menatang minyak yang penuh. Sofiah cukup bersyukur dengan kehidupannya. Segalanya ada di hadapannya. Sofiah anak yang ceria, suka tersenyum, manja kepada kedua ayah ibunya sehingga kerana itu, Sofiah dikelilingi dengan ramai kawan sebaya yang senang berkawan dengannya.
“Ya Tuhan…mengapakah perkara ini berlaku…? Di manakah kesilapannya? Di manakah kesalahannya…? Mengapa ianya terjadi…?,” bisik hati Sofiah yang penuh dengan tanda tanya.

Sejarah dua tahun lalu sehingga sekarang memberikan kesan yang sangat mendalam ke dalam jiwa dan begitu kuat sehingga menukar dirinya yang dahulunya ceria dan suka tersenyum, menjadi seorang yang sedih dan sentiasa dilihat dalam keadaan yang sedang berfikir. “Tidak mungkin Tuhan zalim…,” Sofiah dengan segera istigfar beberapa kali di atas pemikiran jeleknya dan mengulangi zikir taubat, menyesali dirinya. “Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Suci, sesugguhnya aku yang menzalimi diriku sendiri,” Sofiah mengulang-ulang zikir tersebut, mengosongkan pemikiran dan hatinya akan segala sesuatu.

Sofiah dan Halimah merupakan kawan yang sangat rapat. Persahabatan mereka seperti aur dengan tebing, isi dengan kuku, tidak dapat dipisahkan di antara keduanya. Persahabatan di antara Sofiah dan Halimah begitu rapat sehingga orang sekeliling yang mengenali mereka menganggap Halimah kakak kepada Sofiah. Sofiah memandang Halimah bukan sahaja sebagai seorang kakak dan kawan, bahkan sebagai seorang pendidik yang telah banyak memberikan tunjuk ajar dalam bidang keagamaan yang selama ini dicarinya. Halimah dirasakan sahabat yang banyak memimbingnya mengenali agama.

“Sofiah, ringankanlah diri tu solat tahajjud, baca Al-Quran, zikir banyak-banyak. Enti tengok diri ana ni, tak lepas solat tahajjud setiap malam,”kata Halimah. Sofiah memang mengkagumi kawannya itu. Halimah tidak pernah melepaskan solat sunat rawatib qabliyah dan ba’diyah setiap kali Sofiah solat berjemaah dengannya. Oleh sebab persahabatan dengan Halimah, Sofiah mula berjinak-jinak menunaikan sembahyang sunat yang sebelum ini janggal dalam kehidupannya.
Sofiah kagum dengan sahabatnya Halimah yang bertudung labuh, menggunakan niqab, berjubah hitam ke mana sahaja dia pergi. “Kita perlu seperti ini, Sofiah”, jelas Halimah, pasti. “Bila kita berjubah, menggunakan niqab, bertudung labuh, orang sekeliling hormatkan kita. Mereka tahu kita golongan warak. Mereka anggap kita alim, takkah baik namanya tu?,” tanya Halimah, pasti.

Malam dan siang silih berganti, persahabatan di antara Sofiah dan Halimah semakin lama semakin akrab. Sofiah mula menggenakan niqab, tudung labuh dan jubah hitam ke mana sahaja dia pergi. Akan tetapi, Sofiah merasakan sesuatu yang janggal dengan perbuatannya.
“Apakah ini yang sebenar dicari dalam hati, jiwa dan perasaanku,?” tanya Sofiah, tidak pasti. “Mengapa diri, jiwa dan perasaanku masih tidak tenang,?” tanya Sofiah, tidak pasti. “Apakah benar langkah dan perbuatanku. Jikalau benar, mengapa aku masih merasa sedih dan hampa,?” tanya Sofiah lagi, tidak pasti. Segala persoalan di lubuk hati Sofiah terpendam begitu sahaja.

Kadang-kala Sofiah pernah mengajukan soalan-soalan ketidakpastiaannya kepada Halimah, akan tetapi persoalan-persoalan menjadi terkubur begitu sahaja apabila Halimah menyatakan bahawa Sofiah sebenarnya hanya mengikut nafsu dan bisikan syaitan yang meniup keraguan. Sofiah mengiyakan Halimah, memandangnya tinggi dan kagum akan kepastiaannya yang tiada ragu-ragu menjawab persoalan-persoalannya.

“Ya Allah, Yang Mengetahui dan Pemilik diri ini, hamba mohon keselamatan dariMu, Ya Allah. Hamba mencari kebenaran yang hakiki, yang suci, yang datangnya dariMu, Ya Allah,” Sofiah berdoa, mengharap dengan penuh kerendahan diri. Beliau yakin akan pendengaran Tuhannya terhadap permintaannya. “Peliharalah hamba dalam keraguan dan ketidakpastiaan ini,” doa Sofiah terus-menerus. Air matanya mengalir.

Kehidupan diteruskan. Sofiah dan Halimah dipandang warak dan alim dari kawan-kawan yang sebaya dengan mereka. Halimah sangat suka kepada perhatian yang diterimanya. Apatah lagi mendapat kelulusan tahap kepujian menengah empat dari Madrasah AlKhairiyyah, sebuah madrasah yang dipandang mulia masyarakat kampung AlAmin. Sebuah madrasah yang telah banyak melahirkan graduan yang terbilang di pelbagai lapangan pekerjaan.

Halimah meneruskan pengajian dalam bidang fiqh syariah dan undang-undang di Mekah al-Mukarramah. Keinginan yang sama juga timbul dalam diri Sofiah untuk meneruskan pengajian Islam yang selama ini dicita-citakan. Apatah lagi, tiada halangan yang menyekatnya daripada mengejar cita-citanya kerana Sofiah, seperti Halimah mendapat kepujian kelas pertama menengah empat Madrasah AlKhariyyah. Akan tetapi, takdir menentukan segalanya, kedua orang tua Sofiah lebih gemar anak perempuan kesayangannya melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran di Universiti Harvard, di London. “Sofiah dapat menjadi seorang doktor Islam yang baik. Lagipun, doktor Islam sangat berkurangan dalam masyarakat kita,” jelas ayahnya. “Sofiah, anak abah, Allah pernah firman yang maksudnya lebih kurang jikalau kita menyelamatkan satu nyawa, seakan-akan kita menyelamatkan seluruh umat manusia…,” sambung ayahnya. Kata-kata ayahnya yang terakhir itu sedikit sebanyak menambat hati anak gadis ini. Sofiah membuka Al-Quran birunya, mencari ayat yang dibaca ayahnya dan kemudian membacanya dengan suara yang perlahan, “…Barangsiapa menghidupkan (menyelamatkan) seorang manusia, maka seolah-olah ia telah menghidupkan (menyelamatkan) manusia sekaliannya. Sesungguhnya telah datang kepada mereka beberapa orang Rasul Kami dengan membawa keterangan, kemudian kebanyakan mereka sesudah itu melampaui batas dimuka bumi,” mengakhiri ayat 32, Surah Al-Maidah dengan nada yang lembut lagi merdu, tersenyum.
Setelah membuat keputusan, takdir seakan-akan memisahkan dua jiwa yang selama ini sudah sebati di antara satu dengan yang lain. Halimah meneruskan langkahnya ke Mekah, sedang Sofiah mengambil keputusan untuk ke London, mengambil jurusan kedoktoran dengan niat mentaati kedua keinginan orang tua kerana taatkan mereka bererti taatkan Tuhan yang Maha Esa.

“Nanti apa kata orang lain…? Kewarakan enti akan hilang dan pupus kalau enti degil juga ingin ke London. Apa bagusnya London sangat, sedangkan Mekah tempat Suci, kelahiran Nabi yang agung. Enti tentu faham maksud ana. Enti tak mahu ke masyarakat angkat enti menjadi alim ulama?. Enti tak mahu ke perhatian masyarakat pada diri enti sebagai tempat rujukan persoalan keagamaan mereka. Enti fikir masak-masak. Enti ikut ana pergi Mekah. Kita pergi Mekah untuk pengajian Syariah. Pedulikan kata orang tua enti..,” kata Halimah yakin. Kata-kata tersebut masih teriyang-iyang dan pada masa itu, Sofiah sebagai anak muda yang berdarah panas, sudah mula termakan kata sahabatnya yang dianggap sahabat dunia akhirat. Akan tetapi, dengan kekuasaan Allah, takdir menentukan sebaliknya. Sofiah berangkat ke London dua bulan selepas kepergian Halimah ke Mekah dan selepas itu terpisahlah kedua-duanya selama empat tahun pengajian dalam bidang masing-masing.
Di London, tidak jemu Sofiah mendoakan kesejahteraan sahabatnya, Halimah. Kadang-kala, Sofiah merasakan biah atau suasana keislaman sangat luntur di sini, tidak seperti dahulu di Madrasah Al-Khairiyyah.

Begitu juga dengan kawan sekelilingnya. Tiada satu pun yang membimbingnya seperti Halimah membimbingnya dahulu. Setiap kali solat, Sofiah akan menyelitkan nama Halimah dan berdoa agar dipertemukan kembali.

Doanya terkabul. Sofiah dipertemukan dengan Halimah setelah empat tahun. Akan tetapi, pertemuannya dengan Halimah melahirkan seribu tanda tanya. Tanda tanya yang susah untuk dicari jawapannya. Tanda tanya yang melahirkan seribu lagi tanda tanya yang lain apabila cuba dijawabnya satu-persatu.

“Ya Allah…apakah yang terjadi ini semuanya benar? Atau aku di alam khalayan, dilamun mimpi…?, tanya Sofiah kepada dirinya sendiri. Sofiah, dengan izinNya, dipertemukan dengan Halimah di Mid-Valley, Kuala Lumpur. Sofiah tidak kenal Halimah. Keadaannya berubah seratus peratus.

“Sofiah, kau apa khabar?,” tanya Halimah, ramah dan sentiasa dalam keadaan kepastiaan. Perkataan ‘kau’ yang didangarnya seakan-akan terasa lain apbila terkeluar dari mulut sahabat lamanya yang dikenali dengan penggunaan ana dan enti.

“Baik, Alhamdulillah, enti?”, jawab Sofiah, ringkas, mengukir sedikit senyuman. Halimah yang dahulunya berniqab dan bertudung labuh sudah tidak bertudung lagi, mempamerkan rambutnya yang memang diketahui Sofiah hitam ikal mayang. Halimah mengenakan pakaian anak-anak gadis muda yang ketat mempamerkan susuk tubuhnya yang menarik. Kasut tumit tinggi berwarna merah berkilat menjadikan Sofiah yang sama baya dengannya nampak rendah sedikit. Perbualan di antara mereka juga sudah banyak berubah. Dahulu, setiap kali terdengar ungkapan-ungkapan dari AlQuran mahupun Hadis, kali ini perbualan mereka hanya menyentuh perkara-perkara seharian. Sofiah meneruskan perbualan, tanda menghormati sahabat yang masih dianggap sahabat. Seribu tanda tanya masih menghantui dirinya.

“Ya Tuhan…mengapakah perkara ini berlaku…? Di manakah kesilapannya? Di manakah kesalahannya…? Mengapa ianya terjadi…?,” bisik hati Sofiah yang penuh dengan tanda tanya.

Segalanya menjadi tidak pasti buat diri Sofiah. Apa yang terjadi pada sahabatnya, Halimah menerbitkan rasa ketidakpastiaan yang sangat mendalam ke atas diri Sofiah. Sofiah menjadi tidak pasti sama ada pakaian jubah hitam yang dikenakan, niqab yang digunakan ke hulur ke hilir dan tudung labuh yang dipakainya semuanya merupakan satu yang benar atau tidak.

Ketidakpastiaan ini semakin lama melemahkan Sofiah. Beliau menjadi tidak pasti dengan apa yang dilakukannya. Ketidakpastiaan yang bermula dengan merana fikirannya kepada merana seluruh tubuh badannya. Sofiah menjadi lemah. Fizikalnya menjadi lemah. Keadaannya mula berubah. Sofiah menjadi pendiam, pemikir dan penuh ketidakpastiaan.

Sofiah berdoa agar ditunjukkan jalan. Diperjelaskan segala yang berlaku. Doanya terkabul dengan kehadiran Ustaz Muhammad, seorang lulusan Universiti Oxford, akan tetapi bekerja sebagai seorang pendakwah bebas yang terkenal namanya di nusantara. Kehadiran Ustaz Muhammad bukan dirancang, akan tetapi seakan-akan terracang dengan sendirinya apabila Sofiah terserempak dengan Ustaz Muhammad di Masjid AsSyafa’ah.

Kehadiran Ustaz Muhammad sangat bertepatan pada waktu dan tempatnya. “Ustaz, mengapa ini berlaku? Di mana letak silapnya,?” tanya Sofiah dengan penuh adab. “Allah tidak pernah menzaliminya hambaNya. HambaNya yang menzalimi dirinya sendiri. Sofiah, tidakkah jelas sabda Rasulullah saw bahawasanya sesiapa yang berhijrah kerana wanita, maka wanitalah yang akan beliau dapat. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka Allah dan RasulNya lah yang akan ditemui. Di mana letaknya niyat Halimah, di situlah dirinya akan tertuju,” jawab Ustaz tenang.

Sofiah mendengar penerangan Ustaz Muhammad dengan penuh khusyuk. Beliau merasakan beban yang selama ini melanda dan persoalan yang selama ini terkubu sudah mula sedikit demi sedikit menjadi ringan. “Sofiah, tidak ada gunanya memakai purdah, kerana ingin dikenal sebagai alim dan warak, tidak ada guna mengenakan selendang labuh sehingga mencecah lutut jika ia dilakukan untuk manusia, tidak guna mengenakan jubah hitam di mana-mana jika ingin dipuji manusia,” jelas Ustaz Muhammad seakan-akan beliau tahu siapa sebenarnya Halimah sebenar.

“Allah tidak melihat kepada zahirnya manusia. Allah melihat apa yang tersimpan di dalamnya,” sambung Ustaz Muhammad, tersenyum. Sofiah juga mengukir sedikit senyuman, tanda setuju dengan kata-kata Ustaz Muhammad yang menyenangkan.

“Kadang-kala, perasaan ketidakpastian perlu. Ini kerana apabila kita terlalu yakin dengan diri sendiri tanpa diselitkan dengan perasaan merasa butuh dan sangat memerlukan Allah, kita menjadi orang yang sombong. Imam Ghazali, pada satu ketika, pernah menjadi seseorang yang tidak pasti, mencari kebenaran, sehingga jatuh sakit dan menjadi lemah anggota badannya. Batinnya sengsara sehingga menbawa kesan pada kesihatan zahirnya. Apabila kita mencariNya, pasti dibukakan jalan untuk mengenaliNya. Pada akhirnya, Imam Ghazali menemui jawaban yang selama ini dicarinya.

“Apa yang ditemui, Ustaz,?” tanya Sofiah, ingin tahu. “Imam Ghazali menemui jalan yang paling suci, yang jauh dari kebohongan, iaitu jalan yang dilalui Sufi dalam mendekatkan diri pada Tuhan. Ramai pada hari ini memandang rida, sabar, syukur, ikhlas, khusyuk dan perkara-perkara kebatinan ini dengan pandangan sebelah mata, padahal kesemua perkara ini sangat penting dalam mencari Tuhan dan mendaki tangga kebenaran,” Ustaz Muhammad menerangkan dengan suaranya yang lembut, tetapi tegas.

Sofiah menjadi semakin faham. Diluntarkan beberapa kali zikir memuji Tuhannya dan mencela dirinya sendiri. Sofiah menjadi semakin faham. Diubahnya dalamannya dan cuba diindahkan dalamannya dan menumpukan perhatian yang lebih pada dalamannya. Sofiah menjadi semakin faham. Tiada yang lebih penting daripadan niyat dan kesucian batin. Sofiah menjadi semakin faham. Allah tidak memandang pada ana enti, mendapat M.A dan B.A pengajian Syariah lulusan dari Mekah, berjubah hitam, mengenakan niqab, bertudung labuh, jikalau semua dilakukan kerana manusia, bukan keranaNya. “Ya Allah, tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku menzalimi diriku sendiri,” berulang-ulang Sofiah mengucapkan kalimah tersebut dengan penuh khusyuk, meneruskan harapan, menyelitkan ketidakpastiaan, melahirkan keyakinan. “Sesunggunya solatku, dan rezekiku, hidupku dan matiku untuk Rabb sekalian alam,” bisik Sofiah.

Saturday, October 25, 2008

Terombo[i] bernafas Islam

Apa tanda Melayu jati
Bersama Islam hidup dan mati
Islam melekat di dalam hati
Dengan Islam ia bersebati

Apa tanda Melayu bertuah
Memeluk Islam tiada menyalah
Sebarang laku menurut sunnah
Hidup takwa kepada Allah
Hidup mati bersama akidah

Apa tanda Melayu berakal
Di dalam Islam ia beramal
Membela Islam tahan dipenggal

Apa tanda Melayu pilihan
Hidup matinya dalam beriman
Taat setia menyembah Tuhan
Di dalam Islam tiada menyeman

Apa tanda Melayu bijak
Memeluk Islam tiada berganjak
Membela Islam tahan dipijak
Di dalam Islam beranak pinak

Apa tanda Melayu beradat
Kepada Allah tempatnya ingat
Kepada Allah ia menepat
Syarak dipegang, sunnah diingat
Mengingat Allah tiada bertempat
Terhadap Islam hatinya lekat

Apa tanda orang Melayu
Kepada Islam ia bertumpu
Dengan Islam ia menyatu
Islam menjadi kain dan baju
Islam semata di dalam kalbu

Yang Islam diperdalam
Yang ibadah ditambah
Yang ibadat diperkuat
Yang kaji diperhalusi
Yang amal diperkekal
Yang syarak disimak
Yang sunnah dimamah
Yang iman dipadatkan
Yang hati disucikan
Yang akal disempurnakan

[i] Terombo: Peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi seperti peraturan atau undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan sebagai pegangan.

Thursday, October 16, 2008

Bagai irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan.



Getaran jiwa

Melanda hatiku

Tersusun nada

Irama dan lagu

Walau hanya sederhana

Tetapi tak mengapa

Moga dapat membangkitkan

Sedarlah kamu wahai insan

.

Tak mungkin hilang

Irama dan lagu

Bagaikan kembang

Sentiasa bermadu

Andai dipisah

Lagu dan irama

Lemah tiada berjiwa

Hampa

Apa yang tidak dapat dipisahkan di antara keduanya? Itulah dia Melayu dan irama. Melayu suka pada irama, lagu, nyayian, suara yang merdu…kerana mungkin naluri anak Melayu, yang bersulamkan keindahan kesenian. Dari itu, bagaimana menjadikan sesuatu yang digemari sebagat ibadat di hadapanNya? Itulah jawapannya, mengapa alunan zikir perlu. Kerana kecintaan Melayu pada irama dan lagu, alunan zikir yang berbentuk irama dan lagu, dapat mencetuskan minat. Apabila tercetus minat, tahap awalnya ialah menghayati lagu, tahap seterusnya ialah mengahayati makna, dan tahap seterusnya adalah menghayatiNya.

Dari itu, alunan zikir, insyaAllah,merupakan medium untuk mendekatkan diri padaNya…

The stirring of my soul

Overcomes my heart

Arranged by the notes

Of rhythm and song

If it's only modest

Nevermind

Perhaps it could stir

Realise all you mortals

.

Never will they vanish

Rhythm and song

It will bloom

It will always linger

If they be seperated

The song and rhythm and song

They'll be soulless and weak

And empty

Ya Allah…yang zalim adalah kami…

kiriman, Fadhilah Binti Ramli

Friday, October 10, 2008

Kuliah ilmu
Tajuk: Antara 2 cinta
Masa: 8:15 malam
Tempat: Auditorium Fakuliti Pendidikan, Universiti Malaya
Penceramah: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil@ SAIFULISLAM ( Penulis buku aku terima nikahnya)


Pertama sekali Huda ingin merafakkansetinggi-tinggi kesyukuran kerana diberikan nikmat kesihatan dan kelapangan masa di tengah kesibukkan segala perkara untuk sama-sama menghadirkan diri di dalam majlis ilmu di atas.

Kuliah ilmu, sepertimana tajuknya yang terang lagi nyata, membincangkan tentang persoalan cinta dari pelbagai aspek.

Cinta Ilahi bukan lakaran puisi. Begitulah ayat yang yang dipaparkan di atas skrin sewaktuustaz membuat pembentangan. Satu ayat yang membuat jiwa Huda cukup tersentuh. Terfikir pula Huda akan segala sajak-sajak Huda yang melahirkan kecintaan kepada Ilahi. Ustaz membuatkan Huda sedar tentang pentingnya membuktikan cinta kita kepada Ilahi berbanding melahirkan dan memanisfetasikan rasa kecintaan itu dalam bentuk kata sahaja. SubahanAllah. Dan cara pembuktian cinta kita kepada Allah adalah dengan mengikuti segala sunnah Rasul. Mudahnya ditulis. Tapi sukar sebenarnya.

Ustaz juga turut menyentuh tentang tabiat manusia yang sering mencari cinta Allah setelah bosan dengan cinta manusia. Walhal sepatutnya cinta kepada Allah dan Rasul yang patut dikejar sebelum mengejar cinta-cinta yang lain. Cintakan Allah bukan satu khayalan atau escapism semata-mata demi untuk melupakan rasa kesedihan. Apakah nanti bila telah ditemui pasangan yang baru dan hidup kembali ceria Allah akan dilupakan? Sesuatu untuk kita renungkan dan muhasabah bersama.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Al-Imran:31)

Apa yang paling menyentuh sekali lagi di jiwa Huda yang membuatkan Huda hampir menitiskan airmata adalah apabila ustaz menyentuh tentang kecintaan kita kepada Rasullulah dan kecintaan Rasulullahkepada kita. Dalam sepotong hadis yang antara maksudnya menyatakanbahawa baginda begitu menginginkan untuk bertemu dengan umatnya yang belum lagi wujud sewaktu hayat baginda. Perkara ini Hudapernah mendengarkan ia daripada teman Huda, Fadhilah. Tapi bila disebut sekali lagi oleh ustaz bagai tersentuh kali pertama. Rasa indah terasa wujud dalam diri. Tidak gembirakah andai ada seseorang merindui dan mendamba pertemuan dengan kita? Tidak terasakah akan hangatnya cinta dari orang tersebut? Ini lagi Rasulullah yang mendamba bertemu dan merindui kita seharusnya kita merasakan keindahan dan kemanisan nikmat cintanya. Tapi Huda manusia biasa yang cinta kepada Allah dan Rasul ada pasang surutnya. Maka benarlah kata-kata teman Huda, cinta itu harus dicari. Apabila dicari dan menemukannya, kita akan mulai mengenalinya, setelah mengenalinya baru kita akan benar-benar cinta. Dan kita harus beristiqamah dalam mencari cintanya. Jangan pernah berputus asa. Jadilah nujahid dan mujahidah sejati.

Dalam membicarakan persoalan cinta, sebenarnya cinta antara manusia yang paling layak dibincangkan dahulu ialah cinta ibu bapa kepada anak mereka. Anak mendambakan perhatian namun seringkali perhatian itu juga yang tidak mampu mereka peroleh.persoalan memberi perhatian ini penting rupa-rupanya. Tersilap memberi perhatian kita akan tersalah mendidik anak. Anak akan membesar dengan persepsi yang salah tentang hidup. Apabila kita memberi perhatian terhadap anak ketika mereka membuat perangai atau memberontak maka anak akan membesar dengan persepsi bahawa pemberontakan akan mampu menarik perhatian dan menyelesaikan masalah serta mengisi kehendak dan kemahuan diri. Lantas lahirlah generasi yang suka memberontak.
Nauzubillahi min Zalik. Begitulah impak perhatian yang telah disedarkan ustaz kepada sekalian hadirin. Semoga sahaja Huda dapat menjadi pendidik yang baik, untuk bakal anak-anak Huda serta bakal anak-anak murid Huda. Pendidik yang bukan hanya mengajar tetapi tahu juga memberi perhatian.

Soal cinta suami dan isteri atau soal perkahwinan pula, (yang ini Huda hanya dapat mengulas berdasarkan kata-kata ustaz. Hal maklum tiada pengalaman) dua faktor utama itu perlu iaitu cinta dan tanggungjawab.

Dua senario diberikan, pertama dua pasangan kekasih yang bagaikan belangkas. ke mana sahaja pasti bersama. Segalanya ingin dilakukan bersama. Semua orang tahu mereka sedang bercinta. Lalu mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Namun akhirnya bercerai tidak lama selepas itu. Di mana silapnya?

Seorang muslim dan muslimah telah diikat dalam satu akad yang suci. Batasan dalam hubungan sepanjang perkenalan sehingga sebelum diijab kabulkan sentiasa dijaga. Hubungan yang berlandaskan syariat. Namun setelah beberapa bulan bernikah juga bercerai. Di mana silapnya?

Senario pertama adalah perkahwinan yang berdiri di atas dasar cinta semata-mata tanpa disertai dengan tanggungjawab. Senario kedua pula hanya berdiri di atas dasar tanggungjawab dan bukannya cinta. Jadi pembaca sekalian, bukankah jelas betapa penting cinta dan tanggungjawab dalam sesebuah perkahwinan itu.

Beberapa intisari yang dapat Huda rumuskan dari sesi soal jawab:

i- Mengasihi itu lebih baik dari dikasihi. Kerana dengan mengasihi kita kelak akan dikasihi
ii- Cintalah seseorang itu kerana agamanya.
iii-Hindari taktik meringankan dosa. Perkara ini boleh dibaca dengan lebih lanjut dalam artikel ustaz bertajuk ”sepinggan dosa, berulamkan pahala”.






Beberapa kata-kata yang diambil dari slaid ustaz untuk bersama kita renungkan:

Sesuatu yang tidak mampu dilakukan dalam keadaan biasa, mampu dilakukan dengan kuasa cinta.

Kesungguhan datang dalam sesuatu perbuatan apabila ada dorongan kuasa cinta.

Berhati-hati dalam memberi dan menerima cinta.

Akhir sekali, kata-kata ustaz yang tak mungkin huda lupakan dan akan menjadi pegagangan huda...

Dosa itu akan membuat hati kita menjadi resah, keresahan yang sebenarnya datangnya dari rintihan keimanan.

~Hanya Allah yang mengetahui segala sesuatu. Yang baik datangnya dari Allah dan yang sebaliknya itu adalah dari Huda yang banyak kelemahannya~


Wednesday, September 24, 2008


Biar kusimpan rindu ini
Siti Nurulhuda Binte Abdul Razak



“Ayah jangan ayah! Sakit ayah! Aman mintak maaf ayah. Aman tak buat lagi. Aman janji. ” Puasku merintih, namun masih juga tubuh kecilku ini menjadi sasaran tali pinggang ayah. Hiba hatiku melebihi dari sakitnya luka yang berbilai-bilai di tubuhku.
Untuk kesalahan sekecil ini, aku harus menerima kesakitan yang perit ini. Besarkah kesalahanku jika hanya terlupa menggosokkan baju kerja ayahku?

Akhirnya setelah puas ayah melepaskan amarahnya, aku bersandar di balik tembok. Aku hanya mampu menangis tersedu menggenangkan nasibku. Aku tiada tempat mengadu. Aku tiada lagi ibu. Namun seteruk mana pun aku dipukul bantai aku tetap menyayangi ayah. Dahulu ayah tidak begitu. Ayah begitu penyayang. Hanya setelah kematian ibu ayah mula berubah. Perubahan yang membuatkan aku begitu derita dan sering berada dalam ketakutan. Ayahku yang penyayang kini telah berubah menjadi seorang yang baran persis algojo. Namun aku tetap sayangkan ayah.

Suatu hari, seorang wanita datang ke rumah. Ayah memberitahuku bahawa aku harus mengikut wanita itu pulang. Aku hanya menurut. Aku bimbang sekiranya aku membantah aku akan dipukul bantainya lagi. Namun yang peliknya, hampir kesemua baranganku dikemas untuk dibawa bersama ke rumah wanita yang tidak ku kenali itu dan aku hanya menurut tanpa bersoal jawab. Kupasti esok atau lusa aku akan kembali kepada ayah.

Sewaktu kaki ingin melangkah keluar, aku sempat menoleh ke arah ayah. Kulihat ayah sedang menyeka airmatanya dengan hujung lengan bajunya. Benarkah ayah menangis? Tapi mengapa?

Sesampainya aku ke rumah wanita tadi yang kini ku harus membahasakannya sebagaikan mama; kerana itulah permintaannya, aku diperkenalkan dengan dua orang budak perempuan yang kini ku harus bahasakan sebagai kak Ita dan kak fika. Kemudian pada lewat petangnya, pulanglah seorang lelaki yang harus ku bahasakan sebagai abah. Kini baru aku fahami, inilah keluarga angkatku. Hati kecilku merintih, ” Ayah aku rindu padamu.”

Di rumahku yang baru ini, aku dapat merasakan limpahan kasih sayang yang tidak terhingga. Mama menyayangiku. Abah menyayangiku. Kak ita menyayangiku. Kak fika juga menyayangiku, dan aku juga amat menyayangi mereka semua. Aku diberikan didikan agama yang utuh. Setiap hari abah pasti mengimami solat jemaah. Abah selalu berpesan berjemaah adalah resepi keharmonian keluarga.

Meskipun aku bahagia berada di samping keluarga aku tetap merindui ayahku. Namun kupendamkan sahaja rindu ini. Lapan tahun telah berlalu, kini dua puluh tahun. Aku semakin dewasa. Rindu di hati tidak tertanggung lagi. ” Ayah aku rindu padamu” bisik hatiku. Aku ingin berkongsi kebahagiaan denganmu. Anakmu ini berjaya mendapat tempat di Universiti. Anakmu bakal bergelar mahasiswa. Tapi ayah, di mana dirimu?

Sudah menjadi kebiasaan keluarga angkatku setiap selesai makan malam bersama kami akan duduk bersama di ruang tamu untuk berbual-bual; makan malam hari ini agak istimewa kerana hari ini merupakan hari jadiku yang kedua puluh tahun. Biasanya waktu inilah kami akan bergurau senda, berbincang maslalah jika ada, dan ada waktunya kami akan hanya menonton rancangan di televisyen bersama. Namun malam itu suasananya agak berbeza. Abah kerap memandang ke arah mama dan kemudiannya pandangannya di alihkan kepadaku. Kak Ita dan kak Fika pula tiada bersama. Mereka di berada di bilik. Suasana hening seketika.

Abah memecahkan keheningan dengan memulakan bicaranya. ”Anak abah kini dah besar. Dah masuk Universiti. Dah dewasa. Sudah dua puluh tahun” lalu bicaranya dihentikan dan dikerlingnya ke arah mama. Aku pula semakin tidak sabar ingin mendengar lanjutan bicaranya.

”Abah pasti Aman tentu dah lama ingin bertanya kepada abah dan mama mengapa kami ambil Aman sebagai anak angkat kan? Baiklah hari ini kami akan ceritakan segala-galanya,” dan abah kemudian berpaling ke arah mama dan menganggukkan kepala.

Kini mama pula yang berbicara, ” Aman tentu ingat hari mama ambil Aman dari rumah Aman dulu. Sebenarnya hari itu juga merupakan hari terakhir ayah Aman hidup. Mama dan abah mendapat tahu yang ayah Aman membunuh diri pada malam tersebut.”
Tersentak jiwaku mendengar kata-kata mama. Lirih hati ini. Ayah mengapa setega itu dirimu? patutlah tiada suatu jua khabar berita yang kudengar tetangmu. Rupanya dirimu telah dijemput Ilahi. Tetapi mengapa ayah mengapa dikau menganiaya dirimu. Mengapa jalan itu yang dikau pilih?

Mama melanjutkan bicaranya, ” Mama tahu, Aman tentu terkejut dengan berita ini. Tapi mama rasa mama harus juga menceritakan segalanya kepada Aman”

”Ayah Aman terlalu menyayangi ibu Aman. Ibu Aman telah membantu ayah Aman keluar dari ketagihan dadah. Ibu Amanlah yang sentiasa memberikan keyakinan kepada ayah Aman yang dia mampu berubah menjadi seorang yang berguna. Di saat semua orang menganggap ayah Aman sebagai sampah masyarakat, ibu Aman seorang sahaja yang melihat bahawa ayah Aman mampu berubah.”

” Mama pun kadang-kadang hairan dengan kawan baik mama ni. Dari mana dia mendapat keyakinan yang ayah Aman mampu berubah. Namun itulah kuasa Allah. Mungkin Ibu Aman itu telah ditemukan dengan ayah Aman untuk membawa perubahan ke dalam hidup ayah Aman.”

”Tapi ma, kenapa ayah sanggup bunuh diri?” aku sudah tidak tahan lagi. Sekian lama aku menanti saat aku dapat dipertemukan kembali dengan ayahku kini khabaran sebegini yang kuterima. Aku meraup mukaku yang basah dengan linangan airmata. Linangan kekesalan di atas sikap ayahku. Linangan airmata seorang anak yang terkilan untuk bertemu ayah kandungnya. Aku dapat merasakan atmaku bagai ditusuk-tusuk belati.

”Aman sayang,sabar ya. Bukankah mama dan abah dah ajar Aman yang setiap ketentuan kehidupan ada sejuta hikmah yang tiada diketahui manusia. Jangan Aman mengikut jejak langkah ayah Aman. Dia tidak dapat menerima ketentuan Ilahi sebab itu dia bertindak senekad itu.”

” Apa pun Aman, dia tetap ayah Aman. Aman sebagai anak yang soleh harus sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua orang tua Aman walaupun mereka telah tiada.” Abah menambah kata setelah melihat keadaan diriku yang semakin tertekan. Barulah kini kufahami mengapa abah sentiasa mengingatkanku untuk mendoakan kedua orang tuaku dalam setiap sujud terakhir solatku. Ya Allah, ampunilah dosa kedua orang tua yang hidup serta yang telah tiada. Amin ya Allah.

Aku lantas meminta diri untuk berehat di bilik. Di saat ini aku perlu bersendirian.

Kusingkap helaian diariku. Setiap entri merupakan surat yang ditujukan buat ayah yang kuharap dapat dibacanya suatu hari nanti bila kami bertemu. Rencana Ilahi tiada diketahui manusia. Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segala sesuatu yang berlaku di alam ini.

Ayah,
Hari ini pasukan bola sepak sekolah Aman memenangi perlawanan kebangsaan. Aman pula dapat anugerah penyumbang gol tertinggi ayah. Ayah pun dulu hebat bermain bola kan? Aman ingat dulu ibu akan bawa Aman tengok ayah main bola. Bila ayah menang kita semua akan pergi makan-makan yang sedap-sedap. Seronok kan ayah.
Ayah,
Aman rindukan ayah. Bila ayah nak bawa Aman balik rumah?
-Aman

Itulah surat yang kukarangkan buat ayah di waktu usiaku 14 tahun. Setiap kisah dalam hidupku, aku ceritakan kepada ayah dalam warkah yang tidak pernah ku hantarkan.
Ayah, tiada kusangka cintamu kepada ibu membuatkan dirimu leka. Dirimu salah dalam mengejar cinta yang sejati. Kuteringat sepotong hadis yang kubaca antara maksudnya adalah demikian: Telah berkata Jibrail: wahai Muhammad! Hiduplah sekehendakmu, tapi ingat, sesungguhnya pada suatu hari nanti engkau akan mati. Cintailah siapa saja yang engkau cintai, tetapi ingat sesungguhnya pada suatu hari nanti engkau akan berpisah dengannya, dan berbuatlah sekehendak hatimu, tetapi ingat, sesungguhnya pada suatu ketika nanti engkau akan menerima balasan dari amal perbuatanmu.”

Dari pengalaman yang kulalui ini satu sahaja kesimpulan yang dapat kubuat. Manusia perlu menggembala fikiran mereka. Umpama penggembala yang menjaga kambing-kambingnya agar tidak merayau ke merata tempat dan hilang. Seumpama itu jugalah fikiran manusia. Harus dijaga agar tidak meliar sehingga membuatkan si manusia hilang pedoman.

Fikiran yang tidak terjaga akan menerawang dan memikirkan pelbagai perkara yang bukan-bukan. Sehingga disingkap kisah silam. Maka hati yang tiada lagi amarah akan kembali marah. Hati yang surut rasa sedihnya, akan memuncak kembali rasa dukanya.

Fikiran yang tidak terjaga akan mengandaikan pelbagai kemungkinan yang sukar diterima akal. Fikiran yang tidak terjaga akan meramalkan kemungkinan hari esok akan menjadi hari yang amat menakutkan, meletihkan, mencemaskan dan bermacam lagi kemungkinan.
Baru kini ku sedari indahnya solat. Dalamnya kita diajar supaya khusyuk. Khusyuk melatih diri kita untuk mengawal fikiran. Teringat pula diriku akan pepatah arab: al-aqll salim fi jismi salim. Akal yang sejahtera akan menjadikan badan juga sejahtera.

Oh ayah. Seandainya dirimu pernah bersolat tentu sahaja bukan itu kesudahan hidupmu. Tentu sahaja kau akan mengerti betapa indahnya hidup kerana Ilahi. Ya Allah, kubersyukur padamu kerana memberiku peluang tinggal bersama keluarga angkatku kini. Keluarga yang mengajarku untuk mengenali diriMU.

Ya Allah hidupkan daku dalam iman. Matikan aku dalam iman dan masukkanlah aku ke syurgaMU bersama-sama iman. Amin Ya Allah.

Pintu bilikku diketuk. Kak Ita dan kak Fika masuk sambil memberi salam. Aku tersenyum pahit kepada mereka. Memandang wajah kakak-kakakku yang bertudung litup membuatkan hatiku tenang. Adakalanya aku kasihan juga dengan kakakku berdua yang harus memakai tudung selama keberadaanku di rumah. Namun kutahu kesusahan di dunia ini adalah jauh lebih baik dari kesususahan di akhirat nanti. Salam mereka ku sambut lantas mempersilakan mereka duduk di katilku.

” Aman ini ada surat. Abah dan mama suruh kakak serah pada Aman.” Kak Ita menyerahkan surat yang bersampul coklat padaku.

”Aman seorang yang tabah. Aman pasti mampu hadapi ujian Allah ini. Aman kena ingat Allah akan sentiasa bersama hamba-hambaNya yang bersabar.” Kata-kata kak Fika itu sedikit sebanyak memberiku semangat untuk bangkit kembali dari kesedihanku ini.
Setelah mereka berdua keluar, barulah aku membuka sampul di genggamanku. Ku koyakkan sampul perlahan-lahan. Bimbang dan cemas untuk membaca kandungannya.

Anakku Aman,
Selamat hari lahir ke dua puluh. Sengaja ayah berpesan kepada keluarga angkatmu untuk menyerahkan surat ini di kala usiamu dua puluh tahun. Ayah percaya waktu ini kamu sudah dewasa dan dan memahami apa yang ayah ingin sampaikan.

Ayah ingin meminta maaf. Ayah sudah tidak mampu hidup lagi. Setiap desah nafas ayah rasakan hiba tanpa ibumu di sisi. Hidup ini sudah tiada maknanya lagi buat ayah. Namun ayah tidak mahu kehidupan kamu sia-sia. Kerana itulah ayah serahkan kamu kepada Encik Syafiq dan Puan Sholeha. Ayah percaya mereka berdua dapat memberikan didikan agama yang baik buat kamu. Semoga kamu dapat menjadi insan berguna di suatu hari dan tidak seperti ayah.
Ayah mengaku ayah bukan ayah yang baik. Bekas penagih macam ayah memang tidak layak hidup lagi. Hanya menyusahkan masyarakat kerana itu ayah harus akhiri hidup ini. Ini yang terbaik bagi semua.
Aman, ayah sayangkan Aman. Maafkan segala kesalahan ayah.
-ayahmu

Aku memandang sayu surat di tanganku. Ayah, Aman juga sayangkan ayah. Mengapa suntuk sangat fikiranmu ayah. Hiba hati membaca segala yang tercatat di atas lembaran kertas di hadapanku. Luahan hati seorang yang berputus asa dengan dunia. Yang menghampakan ialah orang tersebut ialah ayahku. Apa lagi yang mampu kulakukan. Yang pergi tetap pergi dan aku hanya mampu berdoa memohon diampunkan dosa ayah dan ibu.

Aku tidak mahu terus-terusan memikirkan tentang perkara ini. Aku harus meneruskan kehidupan ini. Hidup seorang yang yatim piatu. Namun kusedar aku tidak pernah ketandusan kasih sayang seperti saudaraku yatim piatu yang lain.

Aku memandang komputer ribaku. Biarlah aku berkarya tentang kisah hidupku. Agar dapat menjadi pengajaran kepada sesiapa yang membaca ceritaku itu nanti. Mungkin kisah hidupku ini biasa sahaja. Namun kupercaya setiap sesuatu yang dikongsikan dengan niat yang ikhlas pasti akan membawa kebaikan. Biar kusalurkan kesedihan ini ke jalan yang bermanfaat, daripada ku terus merenung memikirkan nasib diri.
Hari esok ku belum pasti. Hari ini yang datang dan akan berlalu pergi tidak harus ku biarkan berlalu tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah. Hari ini milikku. Sesuatu yang milikku yang dipinjamkan oleh Illahi harus ku pelihara dengan sebaiknya. Allah telah memberiku peluang untuk hidup sehari lagi. Selepas mendengar cerita tentang ayah, aku lebih menghargai nyawa yang dipinjamkan Illahi. Semoga tiada kuzalimi nyawa yang kupinjam ini.

Ligat jari-jemari ku menaip segala curahan hati beserta pengajaran yang ku terima dari ujian Ilahi. Sampaikanlah walau sepotong ayat. Kupegang kukuh kata-kata ini. Untuk berkongsi ilmu tidak semestinya harus menjadi guru dahulu. Dengan sebatang pena dan secebis fikrah kurniaan Illahi juga ilmu dapat disebarkan. Mentelah lagi kini kemudahan teknologi canggih tidak terperi. Hanya dengan berbekalkan jejari segala ilmu dapat dikongsi dan ditelusuri.

Di akhir cerpen yang aku karangkan kuselitkan setangkai doa buat ayah dan ibuku yang telah pergi menemui Illahi.

Ya Allah Rabbul Izzati
Dikau sahaja yang tahu segala isi hati
Hanya padaMU daku mengadu nasib diri
Kuterima ketentuanMU Illahi
Kusayang ayah dan ibu
Tanpa mereka tiada daku
Tetapi aku lebih mencintai diriMU
Dari itu kupohon dengan cintaku padaMU ini
Temukan kami di taman syurgawi
Ayah...
I Ibu...
Biar saja kusimpan rindu ini...

Sunday, August 3, 2008

Ceramah Perdana
Tajuk : Tamadun Islam Perintis Evolusi Dunia Perubatan
Penceramah : DR. Danial Zainal Abidin
Tarikh : 25 July 2008
Tempat : Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya
Masa : 8 Malam


Alhamdulillah, huda bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah dengan nikmat kesihatan dan kelapangan untuk menghadiri ceramahseperti yang disebutkan di atas. Sungguh tidak tergambar betapa rasa tingginya rasa kesyukuran kerana berpeluang mengikuti ceramah perdana ini.

Semestinya ia seakan penghilang sedikit kehausan jiwa yang sentiasa kedahagaan akan ilmu Allah. Juga ia seakan pembuka pintu hidayah baru buat huda. Inilah yang akan huda kongsikan bersama semoga dapat memberi manfaat juga kepada yang tidak dapat hadir ke ceramah ini.

Ceramah Dr. Danial dimulai dengan mukadimah yang cukup menyentuh jiwa yang menuntun hati untuk merenung kembali kata-katanya.

Beliau mengingatkan hadirin tentang kedudukan kami sebagai umat terbaik. Umat Islam, Umat Nabi Muhammad ialah umat yang terbaik. “ it is good to be good. But it is better to be the best”. Dan kita belum boleh dikatakan yang terbaik selagi kita belum berusaha menjadi yang terbaik. Dan untuk menjadi umat yang terbaik kita harus berani mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran dan untuk melakukan kedua perkara ini kita harus menjadi insan yang aktif agar dapat menyeru umat manusia untuk menjadi yang terbaik juga. Dan tentu sahaja beriman kepada Allah adalah syarat utama untuk menjadi yang terbaik kerana dengan beriman barulah benar keislaman kita. Di saat ini huda terasa seakan mendapat semangat baru untuk menjadi pendakwah biar bukan untuk berceramah di media atau di depan khalayak, tapi cukup buat ketika ini kepada orang di sekeliling huda yang huda sayangi.

Sedang huda baru bergembira bila diingatkan bahawa huda tergolong dalam umat yang terbaik. Jiwa huda ini tersentak bilamana Dr. mengingatkan bahawa umat kini lemah. Dan jawapan yang diberikan ke atas permaslahan ini di sandarkan kepada kata-kata saidina umar antaranya berbunyi seperti ini.” Apabila umat Islam mencari jalan hidup yang selain dari Islam maka bersedialah untuk menghadapi kehancuran.” Dan apabila melihat kepada dunia hari ini terbukti benar kata-kata saidina umar itu. Umat Islam masa kini tidak lagi merasa bangga dengan agama mereka walau telah dikatakan mereka adalah yang terbaik. Malah yang mereka banggakan adalah barat.Masya Allah. Patutlah umat Islam kini tidak sehebat umat islam yang dahulu. Tiada lagi Ibn Farabi, Tiada lagi Ibn Haitam dan tiada lagi pemikir-pemikir dan cendekia Islam yang hebat. Mungkin ada tapi tidak ramai.

Dr. Danial juga menyedarkan huda tentang kehebatan Al-Quran. Memang selama ini huda mengagumi mukjizat yang diberikan Allah kepada junjungan mulia kita nabi Muhammad s.a.w ini tetapi dengan apa yang telah disampaikan oleh Dr. huda menjadi bertambah kagum. Menambah kekaguman yang huda rasakan sewaktu mengahdiri sesi dialog berbilang agama yang disampaikan oleh Brother Shah kirit suatu masa dahulu.

Dr. zainal menceritakan tentang bagaimana beliau merasakan ketidakyakinannya tentang Islam jika berdasarkan apa yangdiajarkan oleh ustaz-ustaznya. Beliau memetik pengalamannya diajar tentang zakat unta dan sebagai seorang yang berfikiran kritikal dirinya tidak dapat menerima pengajaran yang sedemikian malah setelah beliau menegur gurunya, beliau mendapat jawapan ia adalah sebahagian dari kurikulum. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk mempelajari muzik bagi mencari ketenangan. Sungguhpun beliau dapat menjadi pemain muzik yang baik namun masih jiwanya mencari-cari sesuatu. Dan muzik tidak mampu meredakan kegelisahan hatinya dan tidak mampu memberikan jawapan ke atas segala persoalan yang membelenggu dirinya. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk mendalami bidang tasauf. Namun sekali lagi beliau hampa kerana tarekat tasauf yang disertainya bukan lagi seperti tarekat yang suci seperti dahulu. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk keluar dari tarekat dan mencari jalan menuju Allah secara sendiri. Pada masa yang sama beliau sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk dan beliau merintih kepada yang Esa bahawa sesungguhnya beliau hampir kepada kehancuran jika tidak diselamatkan. Alhamdulillah doa beliau dimakbulkan oleh Allah. Akhirnya hati kecilnya berbisik agar mengkaji kelebihan dan keistimewaan yang terkandung dalam Al-Quran.

Disebabkan inilah maka beliau menyeru hadirin yang ada agar jangan hanya mengaji Al-Quran tetapi harus juga mengkaji dengan mendalam Al-Quran itu. Jika kita hanya mendekati Quran dengan mengaji maka itu hanya secara tektual tetapi jika kita mengkaji Al-Quran berpandukan rujukan yang betul maka kita akan dapat mendekati Al-Quran itu secara kontekstual. Beliau menekankan bahawa jika hanya mendekati secara tekstual maka akan timbul pandangan dangkal seperti yang dikemukan oleh Greet wilders dalam filem fitnanya.

Perubatan merupakan sebuah disiplin sains dan acapkali sains dipisahkan dengan agama. Malah ia seakan satu taboo untuk menggabungkan keduanya ini bagi barat. Namun hakikat yang sebenarnya adalah melalui Al-Quran lah yang dapat menjana fikiran manusia untuk merenung alam. Dan ini terbukti apabila banyaknya penemuan sains khususnya dalam bidang perubatan yang bersamaan dengan apa yang telah diungkapkan di dalam Al-quran lebih 1400 tahun yang dahulu. Maka kerana itu dikatakan bahawa tamadun islam perintis evolusi dunia perubatan. Malah ini diakui oleh ahli akdemik dan inteligensia barat.

Ceramah beliau diakhiri dengan harapan agar dapat dilahirkan protaz…professional ustaz yang mahir dalam bidang agama dan disiplin lain yang diceburi. Insya Allah. Semoga impian beliau dapat menjadi realiti. Dan sebagai mahasiswa atau mahasiswi kita harus berusaha merealisasi harapan beliau. Semoga Allah membantu usaha kita membantu agamaNYA.

Wednesday, June 25, 2008



Bismil-L âhir-rachmânir-rachîm

Sidang fakir empunya kata

Tuhanmu zhâhir terlalu nyata

Jika sungguh engkau bermata


Lihatlah dirimu rata-rata

Kenal dirimu hai anak jamu

Jangan kau lupa akan diri kamu

Ilmu hakikat yogya kau ramu

Supaya terkenal akan dirimu
Jika kau kenal dirimu bapai

Elokmu itu tiada berbagai

Hamba dan Tuhan dâ‘im berdamai

Memandang dirimu jangan kau lalai


Kenal dirimu hai anak dagang

Menafikan dirimu jangan kau sayang

Suluh itsbât yogya kau pasang

Maka sampai engkau anak hulu balang



Kenal dirimu hai anak ratu

Ombak dan air asalnya satu

Seperti manikam much îth dan batu

Inilah tamtsil engkau dan ratu


Jika kau dengar dalam firman

Pada kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Furqân

Wa Huwa ma‘akum fayak ûnu pada ayat Qur‘an

Wa huwa bi kulli syai‘in muchîth terlalu ‘iyân


Syariat Muhammad ambil akan suluh

Ilmu hakikat yogya kau pertubuh

Nafsumu itu yogya kau bunuh

Maka dapat dua sama luruh


Mencari dunia berkawan-kawan

Oleh nafsu khabî ts badan tertawan

Nafsumu itu yogya kau lawan

Maka sampai engkau bangsawan


Machbûbmu itu tiada berch â‘il

Pada ainamâ tuwallû jangan kau ghâfil

Fa tsamma wajhul-L âhisempurna wâ shil

Inilah jalan orang yang kâmil


Kekasihmu zhâhir terlalu terang

Pada kedua alam nyata terbentang

Pada ahlul-ma‘rifah terlalu menang

Wâ shil nya dâ‘im tiada berselang


Hapuskan akal dan rasamu

Lenyapkan badan dan nyawamu

Pejamkan hendak kedua matamu

di sana kau lihat permai rupamu Rupamu


itu yogya kau serang

Supaya sampai ke negeri yang henang

Seperti Ali tatkala berperang

Melepaskan Duldul tiada berkekang


Hamzah miskin orang ‘uryâ ni

Seperti Ismail menjadi qurbâni

Bukannya ‘Ajam lagi ‘Arab î

Senantiasa wâshil dengan Yang Bâ qî


Hamzah Fansuri


kiriman,Fadhilah Binti Ramli

Saturday, June 21, 2008

Pendekatan Tauhid dan Takwa dalam Memajukan Bangsa Melayu.
oleh Fadhilah Binte Ramli

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Pemurah.
Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw yang sangat mulia, ahli Sahabat dan ahli baitnya yang diredhai Allah swt dan Rasulullah saw dan mereka juga redha terhadapNya dan RasulNya.

Dengan izin dan rahmatNya, segala puji hanya bagiNya yang Maha Mengetahui. Pencipta Yang Memiliki segalanya. Tentu sahaja, Pencipta mengetahui apa yang diciptakan. Apa yang terbaik untuk penciptaanNya. Dengan Kasih dan CintaNya, diturunkan beribu-ribu Rasul as, yang menerusi mereka, petunjuk diberikan untuk manusia membawa mereka ke jalan yang terbaik, iaitu jalan yang lurus.

Dari itu, untuk memajukan bangsa Melayu, orang Melayu perlu mengerti, akur, mempercayai, mengimani, dengan sebenar-benar keyakinan, bahawasanya pendekatan takwa sangat diperlukan. Pengertian, pengakuran, kepercayaan dan keimanan ini perlu dipraktikkan secara individu maupun secara berjemaah, pada setiap peringkat dan pelbagai bidang, dimasyhurkan secara meluas sehingga syiar menjadi nampak jelas dan terang.

Sebagaimana yang pernah diungkap tokoh sarjana Syed Naquib Al-Attas rh

“Sifat dan hakikat tamadun dan kebudayaan Melayu itu adalah sifat dan hakikat Islam, dan tiada dapat dipisahkan keduanya ini dalam pandangan ilmiah yang tulen.”

Di antara nikmat terbesar bangsa ini ialah pemilihan Allah swt keatasnya sebagai bangsa Melayu yang mempunyai Islam sebagai agama, yang merupakan cahaya. Kuniaan ini merupakan kurniaan terbesar yang perlu disyukuri dengan penuh ihsan dan kerendahan hati. Melayu dan Islam, sememangnya tidak akan pernah dapat dipisahkan. Oleh kerana itu, untuk memajukan bangsa ini, diperlukan pendekatan yang selari dengan ketetapanNya. Menurut Syed Naguib Al-Attas lagi,

Islam sebagai sistem hidup yang luas, meliputi lapangan ibadah, lapangan budi pekerti, lapangan pergaulan sesama manusia, lapangan ekonomi, lapangan pentadbiran, lapangan sains, lapangan ilmu pengetahuanm lapangan rumahtangga, lapangan peperangan, susunan politik masyarakat, sikap-sikap terhadap mereka yang bukan Islam…”

Sebagai bangsa yang dimuliakan Islam sebagai agama pengangannya, maka Islam merupakan jalan yang perlu dipatuhi dalam mencapai kejayaan, kecermerlangan, kegemilangannya dan keterbilangan. Tidak disangkal, pemerintah dan badan-badan bukan pemerintah melakukan berbagai usaha memajukan bangsa ini. Akan tetapi, pendekatan takwa selalu dilupakan dan diabaikan. Apakah pendekatan takwa ini? Pendekatan takwa ialah menjadi Allah sebagai matlamat. Menjadikan paradigma ketauhidan sebagai landasan, baik dalam cara, pendekatan, perkataan, perbuatan dan segalanya. Bangsa Melayu perlu menjadikan segala sesuatu untuk dikaitkan dengan Allah swt. Memang hakikatnya, tiada yang terpisah dari Allah swt. Bagaimana yang diciptakan dapat terpisah daripada yang Menciptakan? Tentu sahaja jawapannya tidak mungkin berlaku perkara di atas. Terjadinya perasaan terpisah daripada Pencipta ialah kerana diri kita dihijab oleh diri kita sendiri daripada Zat yang Maha Dekat. Ini kerana Allah swt memberitahu kita dalam Al-Quran bahawasanya Aku (Allah) lebih dekat dengan kalian daripada urat di leher kalian. Selain itu, Rasulullah saw pernah meriwayatkan dalam Hadis Qudsi bahawasanya Allah swt berfirman kepada hambaNya kepastiannNya menghampiri hambaNya sehingga jika mereka menghampiriNya berjalan, maka Allah yang Maha Dekat menghampiri mereka dengan diberlari.

Tiada manfaat sesuatu bangsa yang maju dalam bidang akademik, akan tetapi meninggalkan nilai-nilai adab yang luhur. Tiada yang dipandang jika seseorang yang mampu dapat ‘pointer 4 flat’, akan tetapi runtuh dalam menghambakan diri pada Pencipta. Tiada yang dapat banggakan bangsa seseorang yang genius dan pintar, sehingga dapat menembusi langit, akan tetapi meremehkan semua orang. Ukuran bangsa Melayu bukan pada ramainya yang mampu ke universiti dan maktab pengajian tinggi, akan tetapi, sebagaimana diberitakan pada kita bahawa Aku (Allah swt) tidak lihat pada fisik kalian, akan tetapi Aku (Allah) melihat pada hati kalian.

Oleh itu, setiap anak Melayu berperanan besar menghidupkan dan mempratikkan pendekatan takwa dan paradigma ketauhidan ini. Cara pertama ialah akur, percaya dengan sebenar-benar kepercayaan bahawasanya tiada jalan kepada kemajuan hakiki melainkan jalan takwa. Yang kedua, diteruskan dengan mengaplikasikan segala sesuatu dalam setiap bidang dengan mengaitkan segala sesuatu dengan Pencipta. Jangan pernah memisahkan segala sesuatu daripada Allah swt. Manusia dan segalanya merupakan wasilah atau perantaraan, sedangkan Tuhan merupakan sumber segala sesuatu.

Yakinlah, wahai diri dan bangsa Melayu, kejayaan yang sebenar ialah apa yang difirmankan Allah swt dalam Surah Al-Mu’minun bahawasanya telah berjaya mereka yang beriman…mereka merupakan golongan yang khusyuk dalam solat…mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia…mereka yang berusaha membersihkan hartanya…dan mereka yang menjaga kehormatannya…
Inilah matlamat kita, bangsa Melayu Islam, yang jauh lebih suci dan melebihi konsep kejayaan yang berbagai-bagai daripada pelbagai golongan.

Yakinlah, wahai diri dan bangsa Melayu, kejayaan ini hanya akan terlaksana apabila setiap dari kita kembali ke jalanNya. Jalan yang penuh keindahan dan keprihatinan yang sebenarnya. MenjadikanNya dan ridaNya sebagai matlamat. Dialah yang Maha Berkuasa. Dialah yang Maha Mengerti dan Mengetahui. Dialah yang memberikan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menjatuhkan sesiapa yang dikehendakiNya. Dengan menujuNya keranaNya, mudah-mudahan secara tidak langsung, pasti kejayaan akan diberikanNya.

Ya Allah, rahmatilah kami, kedua orang tua kami dan sekalian ummat Nabi Muhammad saw. Maha suci Engkau, Ya Allah, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri.

Wednesday, June 11, 2008

Reviu Buku

Tajuk : Kalilah wa Dimnah
Penulis : Ibn Muqaffa
Penterjemah : Misbah M. Majidi
Penerbit : Pustaka Sufi


Cerita binatang merupakan antara golongan cerita rakyat tradisional yang dikatakan disampaikan melalui mulut ke mulut daripada satu generasi ke generasi yang lain. Antara binatang yang cukup masyhur dalam cerita-cerita binatang masyarakat Melayu adalah sang kancil atau pelanduk.

Tujuan diceritakan cerita-cerita binatang sebegini adalah untuk dijadikan pengajaran atau pun satu teguran terhadap golongan atasan yang tidak mungkin dapat ditegur secara terang-terangan. Cerita-cerita binatang ini juga sering hadir dalam bentuk yang ringan tetap mesej yang terkandung di dalamnya merupakan satu khazanah keintelektulan yang tiada ternilai.

Buku “Kalilah wa Dimnah” merupakan karya saduran mengenai cerita-cerita bintang yang penulis asalnya ialah seorang ahli falsafah agung India. Beliau ini sentiasa dicari Raja Dabsyalim, seorang raja di zaman kekuasaan Seljuk (512-544H) untuk mendengar kisah tentang binatang yang akan diceritakan oleh Baydaba. Di dalam penceritaannya termuat juga falsafah-falsafah kehidupan. Tatkala membaca tulisannya seseorang akan merasakan diri seolah-olah hanyut dalam lautan ilmu yang indah. Pemikiran yang ditampilkannya benar-benar membuatkan pembaca menaakul berkali-kali.

Sememangnya “ kalilah wa Dimnah” – (nama ini diambil sempena nama karakter dalam cerita yang dikisahkan Baydaba), membuatkan pembaca merasakan semakin ghairah untuk meyelak setiap halaman bagi menemukan buah-buah falsafah yang tinggi nilainya di setiap lembaran.

Karya agung ini kemudiannya disadur oleh al-BArzawiy ke dalam bahasa Persia, dan setelah itu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Ibn Muqaffa. Karya ini sememangnya dapat mengajar insan erti sebuah persahabatan sejati. Sebuah karya yang rugi seandainya anda melepaskan peluang untuk membacanya.

“karya fable kearifan yang paling banyak dirujuk dalam kajian sufistik, fan kesusasteraan dalam dunia Islam” –Pengantar penerbit

Hayatilah ayat-ayat di bawah ini yang dipetik daripada karya agung ini sendiri.Renungkanlah setiap bait-bait kata bagi memperoleh manfaat dari pembacaan anda:

“ Apa yang bisa diharapakan dari persahabatan yang hampa dari kesetian, toleransi dan saling percaya serta menghormati yang semcam ittu. Bukankah saling kasih dan saling menghormati yang tidak disandarkan pada kesetian adalah rapuh dan lumpuh, lantas apa yang bisa kamu harapkan dari persahabatan yang kering dari kesetian dan kasih sayang? Apa yang bisa diharapkan dari kecintaan yang hampa dari rasa terima kasih dan tanpa penghargaan diri? Apa yang bisa kamu harapkan dari laku kebaikan yang kamu semai kepada orang yang tidak pernah mengerti akan kebaikan dirimu? Apa yang bisa banggakan dari curah curah hati yang kamu keluhkan kepada orang yang tidak bisa menjaga rahsiamu? Apa yang bisa kamu harapkan dari budi kebaikan yang kamu tanamkan kepada orang yang tidak tahu diuntung? Apa yang bisa dibanggakan dari persahabatan yang hampa dari rasa tenggang rasa dan saling memahami?” (hlm 62 & 63)

“Bersahabat dengan orang yang mulia dan menjaga harkat dan martabat dirinya akan melahirkan kemuliaan dan harga diri, sedang jika bersahabat dengan orang yang berbudi reendah dan hina akan melahirkan kenistaan dan kerendahan diri pula. Seperti aroma yang mengalir pada bau harum yang akan menebar keharuman kepada udara yang menghampirinya, sebaliknya jika angina itu berhembus pada bau yang tidak sedap,maka akan menebarkan bau yang tidak sedap pula.” (hlm. 63)

“Jauhilah orang yang tidak memiliki keinginan untuk berbuat baik dan jauhilah orang yang tidak bergeming atas nasihat-nasihat yang baik”(hlm. 66)

“ Siapakah yang akan membalas perbuatan baik dan bagus dengan kebaikan dan kebagusan pula selain Tuhan? Barangsiapa yang berharap imbalan dari laku kebaikkannya kepada manusia, ia tidak akan memperoleh balasan kebaikan dari Tuhan! Apakah perbuatan yang tidak diperuntukkan bagi Tuhan akan memperoleh balasan dariNYA? Terlebih jika niatan perbuatan tersebut diperuntukkan untuk memperoleh balasan manusia, apakah Tuhan akan peduli dengan perbuatan tersebut? “(hlm.69)

“ Seorang pembohong adalah mereka yang berkatya tentang sesuatu yang tidak pernah terjadi dan berbicara dengan tidak disertai bukti nyata,” (hlm. 72)

“ Jika seorang kawan sejati membiarkan karibnya dalam kesulitan, itu pertanda keringnya rasa persahabatan dan betapa dangkalnya nurani seorang sahabat.” (hlm. 106)

Monday, June 9, 2008

Cinta dalam Emosi Melayu
Oleh Siti Nurulhuda Binte Abdul Razak





Emosi suatu perasaan yang lahir secara psikologi apabila seseorang mengalami suasana yang menggerakkan segala deria dan dan rasa dalam diri seseorang.

Apakah emosi-emosi yang sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu?

Malu, malas, cinta, benci dan sebagainya.

Namun kali ini kita akan membincangkan soal cinta dalam emosi Melayu.

Cinta sememangnya indah. Namun apakah hanya pasangan yang berkasih yang dapat dikaitkan dengan cinta? Pengertian cinta tentu sahaja punya pengertian yang lebih mendalam.

Cinta menurut emosi yang terkandung dalam masyarakat Melayu terbahagi kepada dua. Yakni cinta manusia kepada manusia dan makhluk lain dan kedua, Cinta manusia terhadap penciptanya.

Cinta manusia kepada manusia ini pula dapat dilihat pada perhubungan antara seseorang dengan dirinya sendiri,keluarganya atau kaum kerabatnya atau teman-teman serta juga makhluk lain yang bernyawa dalam hal ini masyarakat melayu sering dikatakan suka memelihara kucing mahupun burung .

Cinta manusia kepada pencipta pula dapat dimanifestasikan melalui cara hidup mereka sebagai seorang muslim.Hidup sebagai seorang Melayu sememangnya tidak dapat lari dari pengaruh Islam. Sejarah banyak mencatatkan pengaruh Islam terhadap kebudayaan Melayu yang tiada perlu kita sangkalkan lagi. Namun perbincangan kali ini bukanlah ingin menyentuh soal pengaruh Islam dalam kebudayaan mahupun ketamadunan Melayu.

Mari kita kembali kepada topik perbincangan kita semula.

Cinta manusia Melayu kepada dirinya sendiri adakala membuatkan dirnya hanyut dalam lautan material duniawi. Cinta kepada diri membuatkan diri mereka leka mengumpul harta kekayaan dunia. Leka mengejar status dan pangkat. Leka mengejar kejayaan demi kejayaan.

Begitulah manusia sering sahaja alpa dan lalai.

Asal kejadian atau kewujudan cinta itu tidak pernah ingin diperhati.

Apa? Cinta punya asal kewujudan? Apakah cinta sesuatu yang hidup?

Itulah telah saya katakan manusia tidak pernah ingin memerhati soal cinta meski soal cinta hangat diperkatakan di sana sini.

Cinta tempatnya adalah relung hati yang teamat dalam. Hanya dengan kesedaran yang sebenar barulah diri dapat merasakan kehangatan cinta yang terkandung di dalam hati ini.

Jika diberi pilihan antara kemarahan dan kesabaran yang mana yang anda rasakan hasilnya akan menjadi lebih indah dari yang satu lagi?

Tentu sahaja anda akan memilih kesabaran. Meskipun pada awalnya kesabaran itu pahit namun hasilnya tentu sahaja membuahkan kemanisan. Dan kemarahan yang disertai dengan amukkan dan kenistaan tentu sahaja membuahkan kesakitan, penderitaan dan ketersekasaan.

Jelaslah dalam diri kita sememangnya menyukai sesuatu yang indah contohnya kesabaran. Namun tidakkah pernah terlintas di benak siapakah yang paling tinggi tingkat kesabarannya? Tentu sahaja dia yang Maha penyabar. Tentu sahaja Allah s.w.t yang dimaksudkan di sini. DIA yang maha penyabar atas tindakan hamba-hambanya yang tidak tahu bersyukur malah berpaling dari dirinya. Cuba anda bayangkan diri anda membantu seseorang dengan segala kudrat kemampuan anda, menyerahkan harta kepada orang tersebut, memberi segala yang terbaik buat orang tersebut namun akhirnya apa yang dibalas orang tersebut hanyalah pengkhianatan malah dia pura-pura tidak mengenal anda bila dia telah mengecap kejayaan. Mampukah anda bersabar?

Nah. Tidakkah anda merasakan bahawa Allah s.w.t itu terlalu sabar. DIA mengurniakan segalanya kepada hamba-hambanya nikmat udara yang dihirup, nikmat pendengaran, nikmat penglihatan yang sempurna dan segala macam nikmat yang sememangnya tidak dapat manusia lain berikan kepada kita, dalam erti kata lain lautan nikmat yang terbaik telah kita nikmati. Namun masih jua ada hamba yang tidak tahu diri. Dan masih jua Allah mengurniakan nikmat tersebut kepada hambaNYA yang tidak tahu diri tadi.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah sebenarnya kita, dalam lubuk hati kita yang teramat dalam sebenarnya kita mencintai Allah. Pencipta kita. Kerana itu kita mencintai mereka yang penyayang kerana sebenarnya kita mencintai AR-RAHMAN.mengapa kita merasa gelisah dan sering berfikir yang bukan-bukan ketika berada di dalam sebuah bilik yang gelap dan merasa tenteram tatkala berada di tempat yang terang? Kerana kita mencintai cahaya dan siapa pemberi cahaya ini kalau bukan Allah s.w.t. Sekarang apakah anda percaya yang sememangnya anda mencintai Allah?

Anda tidak dapat merasakan cinta tersebut? Mana mungkin anda dapat merasakannya sedangkan belenggu yang merantai diri belum terlepas dari diri anda.

Belenggu apa?

Apa lagi jika bukan nafsu dalam diri anda. Anda harus melawan nafsu malas dalam diri. Rajinkanlah diri. Carilah Illahi. Mana mungkin anda dapat mengenali Allah jika anda tidak berusaha mengetahui tentang dirinya.

Bacalah kitab-kitab yang dapat mendekatkan diri anda pada Allah.Bacalah kitab agama. Jangan merasa bosan. Jangan biarkan cinta anda pada Allah itu terbiar begitu sahaja tanpa dibajai dan dijaga. Cambahkanlah ia menjadi pepohonan keimanan yang sebenar.

Jadilah manusia yang dicintai Allah kerana cinta itu hanya ingin memberi bukan menerima. Dan hakikat cinta sebenar adalah berusaha demi sesuatu dan membuat sesuatu itu tumbuh, hidup, dan abadi…

Orang yang Paling Dicintai Allah S.W.T

Orang mukmin yang paing dicintai Allah adalah orang mukmin yang menolong orang mukmin lainnya yang fakir dunia dan mata pencariannya, orang mukmin yang menolong dan memberi manfaat dan menahan diri dari yang tidak disukainya dari orang mukmin yang lain.

Apakah anda saling berkasih-kasihan kerana Allah?
Apakah anda merasakan cinta, senang dan tenang bila berada di dalam rumah Allah?
Apakah anda sering beristighfar di saat sahur?
Apakah anda seorang yang sentiasa berusaha untuk jujur dalam segala perkara?
Apakah anda menjaga solat anda?
Apakah anda menunaikan amanah dengan sesungguhnya?
Apakah anda rela pada setiap ketentuan Tuhan?
Apakah anda seorang yang banyak berzikir danpaling bertakwa?
Apakah hati anda sedih dan takut kerana Allah?
Apakah anda sentiasa berusaha membahagiakan keluarga anda?
Apakah anda selalu melihat cela dalam diri anda sehingga anda merasakan tidak layak untuk menghina orang yang berada di sekeliling anda?
Apakah anda rajin melakukan solat malam?
Apakah anda mempunyai sikap malu dan santun?
Apakah anda mencintai amal yang diwajibkan ke atas anda?
Apakah anda mampu menahan marah dengan kesantunan?
Apakah anda mencintai orang yang miskin?
Apakah anda banyak mengingati mati?

Renungkanlah. Seandainya tiada jawapan ya bagi stu pun jua jawapan di atas maka sedarlah manusia yang alpa. Tingkatkan usahamu. Jangan sampai diri terlewat untuk mengejar cintanya. Ini merupakan peringatan juga bagi diriku.

Sama-samalah kita mengejar cinta Illahi.

Cinta Manusia Terhadap Manusia

Ibubapa mengasihi anaknya. Sanggup berkorban apa sahaja demi anak tercinta. Segala permintaan si anak cuba dengan segala upaya untuk ditunaikan. Anak adalah permata hati. Sebusuk mana perangai anak ibu bapa juga yang sanggup menerima si anak walaupun anaknya dikatakan sampah masyarakat.

Begitu juga bagi pasangan suami isteri yang tetap saling mencintai meskipun mengalami cinta terlarang.bak pepatah yang menyebutkan,


Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan.


Ahli keluarga yang saling berkasih-kasihan. Menikmati suasana rumah yang harmoni. Saling Bantu membantu. Saling mengambil berat akan ehwal antara satu dengan yang lain.Bagaikan aur dengan tebing.

Namun, sedarkah manusia seandainya mereka menyandarkan kasih dan cinta kepada insan tersayang ini apakah yang akan berlaku andai satu hari nanti insan tersayang ini pergi dijemput Illahi. Apakah mereka akan meratap pilu? Apakah mereka akan kehilangan semangat? Apakah mereka akan merasakan dunia ini tiada lagi makna buat mereka? Apakah mereka akan merasakan bahawa Allah itu tidak adil?

Manusia yang berfikiran sedemikian adalah manusia yang tidak mengenal cinta sejati meskipun hati mereka sarat berisi cinta.

Telah dinyatakan sebelum ini manusia harus saling kasih mengasihani kerana Allah. Apabila itu yang dibuat manusia, maka manusia akan sedar bahawa orang yang mereka kasih dan cinta itu sebenarnya augerah dari yang Maha Kuasa yang mampu ditarik kembali tidak kira masa. Dengan menyedari hakikat ini maka mereka akan reda dengan ketentuan Allah. Malah mereka akan merasa senang diuji dengan kehilangan orang tersayang kerana dengan ujian martabat keimanan akan diangkat. Apatah lagi sekiranya orang yang mereka sayangi hayatnya berakhir dalam keadaan melakukan kebaikan dan kebajikan contohnya seseorang kehilangan anak tercinta sewaktu anak itu dalam perjalanan ke sekolah. Suatu penghabisan hayat yang fisabilillah.

Maka dengan itu cintalah seseorang kerana Allah….bertemanlah dengan sesiapa yang membuatkan dirimu dekat dengan penciptamu dan jauhilah mereka yang menjauhkan dirimu dari Allah….

Sunday, June 8, 2008

Rahmat sebuah ujian
Siti Nurulhuda Binte Abdul Razak



Bosan memandang siling biliknya. Ilya bangkit menuju ke almari bukunya. Manalah tahu mudah-mudahan dengan membaca beberapa lembaran nanti matanya baru boleh terkatup. Matanya menangkap sebuah buku cerita picisan yang tidak pernah dia menghabiskan bacaannya. Setiap kali dibuka buku tersebut tidak lebih dari lima mukasurat sudah membuatkan dia bosan. Lalu tangannya dihulur untuk mencapai buku cerita tersebut.

Belum sempat diambil buku tersebut telinganya terdengar namanya dipanggil. Terlalu dekat panggilan tersebut. Seakan dari dalam almari. Meremang bulu romanya. Ilya hanya menggelengkan kepalanya tidak percaya pada dirinya yang seakan-akan percaya dia diganggu oleh…hantu mungkin. Menyesal dia tidak mengikut keluarganya bercuti ke Malaysia. Kalaulah dia turut serta bercuti tentu dia tidak akan bersendirian dan berada dalam keadaan ketakutan seperti sekarang. Namun dia harus akur. Peperiksaan akan menjelang tidak lama lagi dan dia harus membuat pengorbanan. Dia ingin menjadi mahasiswi cemerlang, gemilang dan terbilang. Sekali lagi namanya dipanggil kali ini lebih nyaring suara panggilan tersebut. Belum sempat Ilya mengerling ke kiri atau ke kanan untuk mencari empunya suara tersebut sebuah buku telah jatuh ke lantai.

“ Assalamualaikum Ilya…”

Ilya membeliakkan matanya. Tidak percaya yang buku tersebut berkata-kata dengannya. Namun yang peliknya rasa takut yang tadi membaluti dirinya beransur pergi dan diganti pula dengan rasa ingin tahu yang begitu tinggi. Salam dijawab.Dia duduk bersila mencapai buku tersebut. Dibacanya tajuk buku tersebut. Rahmat sebuah ujian.

“Awak Ilya kan?”, Buku tersebut memulakan bicara.

“ya.saya memang Ilya.”

“Saya tahu hati awak runsing.” Ilya mengerutkan keningnya seraya bertanya dalam dirinya. Bagaimana buku tersebut dapat meneka hatinya.

“Alah..awk tak payah cakap apa-apa. Saya tahu awak runsing fikirkan masalah teman baik awak yang semakin menjauhkan diri dari awak. Dan awak juga runsing fikirkan sama ada Rifqi menaruh perasaan pada awak ataupun tidak atau awak hanya menepuk sebelah tangan. Dan awak juga runsing fikirkan kenapa walaupun awak telah berusaha sedaya upaya namun masih tak berjaya mendapat markah yang cemerlang…”

Ilya terasa seakan semua kata yang terluah daripada buku tersebut tepat mengena dirinya. Terasa seakan kolam airmatanya merembes keluar. Mengalir di kedua belahan pipinya. Tidak pernah ada seorang pun yang mengerti dirinya dan masalah yang dihadapi.

“ Awak rasa Allah tu macam tak adil kan setiap kali awak fikirkan masalah awak itu?”
Ilya perlahan-lahan mengangguk. Terbayang di mindanya bagaimana dia berhempas pulas belajar siang dan malam adakalanya sehingga tidak tidur berhari-hari. Namun masih jua keputusannya kurang memuaskan. Temannya Nayli, tidak perlu belajar bersusah payah. Segalanya seakan senang belaka. Tanyalah saja apa soalan pasti Nayli dapat menjawab dengan tepat dan bernas.

Terbayang juga di mindanya bagaimana dia kerap lemas dengan mainan emosinya dengan Rifqi yang adakalanya berkelakuan seakan menunjukkan minat terhadapnya dan adakalanya berlagak biasa. Dan dia sering berperang dengan perasaan dengan meyakinkan dirinya Rifqi sebenarnya tiada perasaan apa-apa terhadapnya dan dia juga harus begitu. Atau mungkinkah kerana dia yang pura-pura tidak menunjukkan minatnya terhadap Rifqi yang membuatkan jejaka tersebut berperlakuan sedemikian rupa. Jika begitulah keadaan sebenar hanya dirinyalah yang harus dipersalahkan atas peperangan emosi yang berlaku dalam dirinya.

Dia teringat pula teman baiknya yang kini semakin jarang berhubung dengannya. Pesanan ringkasnya tidak berjawab. Kiriman e-mel juga tiada jawapan. Mengapa temannya menyeksa jiwanya. Sedari kecil mereka membesar bersama. Dan kini mengapa ini yang terjadi. Dia terlalu sayang akan temannya. Mengapa setelah Fatin menemukan teman-teman baru dirinya dilupakan begitu sahaja. Atau mungkin salahnya juga kerana sewaktu dirinya sibuk mengejar ilmu Fatin diabaikan. Alasan yang sering diberikan sewaktu fatin mengajaknya keluar. “ Ilya sibuklah fatin.” Dan kini dia yakin tentu sahaja Fatin berjauh hati dengannya dan mula bosan dengannya. Sekali lagi dia mempersalahkan dirinya.Tapi mengapa dia yang harus menerima ujian sebegini. Bukankah dia ingin menuntut ilmu dan bukankah itu yang dituntut agama. Dan kenapa persahabatannya yang harus menjadi korban.

“Percaya tak awak Ilya kalau saya katakan Allah S.W.T sebenarnya amat menyayangi awak.”

“Sayang?..Habis kenapa saya harus menanggung segala penderitaan jiwa ini.”

“Itulah silapnya manusia. Seringkali bila bencana atau petaka menimpa, Allah dipersalahkan. Tapi sewaktu nikmat dihadapkan di depan mata tidak pula terasa yang Allah sayang kepadanya. Sebaliknya dirasanya dunia itu ibarat syurga dan akan kekal sebegitu selamanya.

“Maksud awak saya menyalahkan Allah di atas semua yang menimpa diri saya? Bukankah memang semua ujian datang dariNYA”

“Memang semua ujian itu datang daripada Allah. Tapi semua itu semata-mata untuk menguji tahap keimanan hamba-hambanya. Semakin tinggi keimanan seseorang maka semakin hebat ujian yang ditimpakan ke atasnya. Allah tidak akan menanggungkan kesusahan ke atas hambanya jika kesusahan itu tidak tertanggung oleh mereka. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui.

Apabila seseorang itu tidak menerima ujian yang melanda dengan hati yang penuh keredhaan dan keikhlasan maka adalah sama seperti dia menyalahkan Allah atas takdirNYA.”

“ Kalau saya redha dan ikhlas apakah semua masalah dan penderitaan jiwa saya ini akan berakhir?”

“Sabar dulu Ilya. Bukan semudah itu untuk seseorang menerima dengan ikhlas akan ujian yang melanda dirinya.Pertama dia harus tahu kenapa dia dijadikan manusia oleh Allah dan apa sebenarnya falsafah kehidupan sebagai seorang muslim.”

“Teruskanlah wahai buku.” Ilya tidak sabar untuk mendengarkan kata-kata daripada buku tersebut. Perbualan mereka dirasakan semakin menarik.

“Baiklah. Pertama manusia dijadikan Allah sebagai khalifah di bumi ini untuk membawa kebaikan serta hidup untuk mencari keredhaan Allah dalam apa jua perkara yang dilakukan. Perkara yang baik bukan hanya dengan amal ibadat solat, puasa, zakat dan sebagainya tapi setiap perbuatan hamba yang dituruti dengan niat mencari keredhaan Allah adalah juga satu ibadah.

“Habis falsafah kehidupan pula?”

“ Falsafah hidup seorang muslim pula harus bermula dengan kesedaran bahawa dia dihidupkan di atas bumi Allah ini hanya sementara. Apa jua yang dilakukan manusia di dunia merupakan satu pelaburan di akhirat nanti yang kekal abadi. Apabila mereka sedar yang hidup ini hanya sementara dan segala nikmat yang diperoleh merupakan pinjaman kepadanya dan akan diambil kembali tidak kira masa, dia akan menjadi seorang hamba yang redha kerana dia mengetahui bahawasanya kesedihan yang dirasainya di dunia ini akibat kehilangan nikmat tersebut kelak akan diganti dengan kesenangan di akhirat. Oleh itu baik dikejar nikmat di akhirat yang kekal abadi daripada nikmat dunia yang seketika cuma.

Muslim yang sejati akan mampu tersenyum meskipun beribu ujian melanda. Malah dia gembira diuji sedemikian rupa. Kerana dia percaya dengan ujian tersebut dia akan lebih dekat kepada Penciptanya.”

“Maksud awak kita harus bersyukur dengan ujian yang diberi dan bukannya mengeluh dan meratap? Senang cakap. Tapi susah nak buat…”

“Memang susah. Tapi kalau awak fikirkan semula apa faedah yang awak dapat andai awak terus-terusan menyalahkan takdir. Hati awak juga yang akan merana. Sedangkan dengan bersyukur, bersabar dan redha diberi ujian kemudian mendekatkan diri padaNYA di situ awak akan dapat menemukan jawapan dan penyelesian dalam menghadapi ujian.

Sesungguhnya dalam setiap kesusahan itu ada jalan keluarnya.(94:6)
Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang”

“Tapi kenapa harus manusia diduga?”

“Baiklah kamu baca ayat ini.” Buku tersebut terus membuka ke halaman yang bertulis sepotong ayat.

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.

“ dan ingatlah Ilya para solihin itu telah mendapat ujian yang jauh lebih berat dari manusia biasa. Nabi Adam a.s sentiasa mengalami kesusahan dalam hidupnya hingga ia meninggal dunia.Nabi Nuh a.s pula pernah menangis selama 300 tahun. Nabi Ibrahim a.s. pernah dibakar oleh raja Namrud dan beliau juga pernah diuji untuk menyembelih anaknya. Nabi Yaqub a.s. pula pernah menangis hingga buta matanya. Nabi Musa a.s pernah mendapat perlawanan hebat dari firaun dan mendapat pelbagai musibah daripada kaumnya.Nabi Muhammad s.a.w pula yang merupakan nabi utusan buat umat masa kini telah melalui pelbagai ujian yang meruntun hati jika kita mengenangkan kembali.”

Ilya tertunduk. Baru kini dia sedar dan dia mulai merasakan malu yang teramat sangat kepada Allah di atas kejahilan dirinya selama ini.

“Akhir kalam dari saya Ilya…dengan meninggalkan segala urusan awak kepada Allah setelah awak berusaha sedaya mungkin, dengan bersandarkan harapan awak kepadaNYA, dengan meredhai setiap ketentuannya, dengan memikirkan yang baik-baik sahaja tentangNYA, dan dengan menanti dengan penuh kesabaran akan pertolongan darinya, seseorang itu akan mendapatkan buah keimanan yang lebih manis dan akan mempamirkan sikap seorang muslim yang sebenarnya.

Ilya membuka matanya. Badannya terasa penat bersandar di sisi almari bukunya. Buku Rahmat sebuah ujian berada dalam dakapannya. Tersenyum dia mengenangkan dialog penuh manfaat bersama buku tersebut malam semalam. Atau adakah ia merupakan suatu mimpi. Apa yang penting dia telah mendapat suatu sinar baru dalam hidup dan kini pandangan sarwanya benar-benar telah berubah. Ya Allah, ku bersyukur atas hidayahMu.


Wednesday, May 28, 2008

Bincangkan Proses Enkulturasi dan dengan contoh-contoh yang sesuai huraikan bagaimana seseorang dapat diterima sebagai anggota budaya Melayu.
oleh Fadhilah Binti Ramli & Siti Nurulhuda A.Razak

Pengenalan
Apabila dibicarakan aspek enkulturasi sememangnya ia tidak dapat dipisahkan dengan budaya. Ini kerana jika kita tinjau kepada takrifnya secara sepintas lalu kita akan mendapati bahawa enkulturasi merupakan suatu proses seseorang itu dibentuk berdasarkan budaya dalam masyarakat yang dianggotainya. Maka persoalan apa itu budaya pula timbul.

“Budaya itu adalah cara hidup yang diikuti oleh orang-orang yang menjadi anggota satu-satu kumpulan tertentu dan meliputi anasir-anasir sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama,kepercayaan, adat resam, sikap, nilai, alatan-alatan budaya atau apa-apa yang dihasilkan oleh mereka sebagai anggota sesuatu masyarakat” (A. Aziz Deraman, 1994)

Berdasarkan takrif budaya, satu faktor penting harus kita teliti seandainya pengkajian ke atas proses enkulturasi masyarakat Melayu ingin kita lakukan. Faktor tersebut adalah peranan agama dalam pembentukan sahsiah seseorang. Dengan itu, penulis akan menghuraikan dengan lebih lanjut dalam bab yang berikutnya. Sebelum itu beberapa konsep perlu diketahui sebelum penerangan tentang enkulturasi dilakukan.

Masyarakat Melayu
Masyarakat adalah wadah budaya. Masyarakat membentuk kebudayaan dan kebudayaan pula mengatur kehidupan masyarakat.
(A.Aziz Deraman: 1994)

Budaya dan masyarakat mempunyai hubungan yang sangat rapat. Walaupun kajian terhadap masyarakat tidak banyak dilakukan, akan tetapi ianya tidak dapat diketepikan. Ini kerana tanpa ada masyarakat, maka tiadalah budaya.

Menurut Kamus Dewan (2003), masyarakat bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Dalam lain perkataan, pergaulan hidup. Dalam Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (1994), masyarakat diertikan sebagai,

Masyarakat itu adalah kelompok manusia, tua muda, laki-laki perempuan yang mempunyai hubungan sosial dalam sesuatu penempatan yang sama. Perhubungan mereka itu boleh jadi wujud dalam pekerjaan, tempat tinggal atau dari segi kekeluargaan. Daripada hubungan ini pula akhirnya wujud lembaga-lembaga atau organisasi tertentu yang dapat menyatukan lagi manusia itu di dalam satu-satu kumpulan unit sosial.
(A.Aziz Deraman: 1994, 4)
Menurut Syed Husin Ali, orang Melayu dari segi lahiriah, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa.[1] Jika dilihat dari sudut budaya, definisi Melayu merujuk kepada penduduk yang menetap di Malaysia, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Dari sudut undang-undang pula, definisi Melayu hanya meliputi penduduk Malaysia seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia: Fasal 160. Oleh itu, definisi Melayu jikalau mengikut Perlembagaan Malaysia membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk menjadi orang Melayu dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Berdasarkan Aris Osman pula, definisi Melayu dari sudut sosiobudaya merangkumi etnik-etnik yang tinggal di luar perbatasan Malaysia seperti etnik Minangkabau, Jawa, Bugis, Banjar, Mandaling dan lain-lain.[2]

Kesimpulannya, terdapat banyak definisi orang Melayu yang membentuk masyarakat Melayu. Jika dilihat dari segi Perlembagaan Malaysia, seseorang Melayu boleh merupakan sesiapa sahaja asalkan dia menganut agama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu. Akan tetapi, jika kita melihat dari segi sosiobudaya, maka definisi Melayu merangkumi suku-suku bangsa yang mendiami daerah Nusantara ini.
(Ismail Hamid: 1991, 5)

Konsep ‘Melayu’ dalam Perlembagaan Persekutuan
‘Melayu’ ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Istiadat Melayu dan-
(a) Lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di persekutuan atau di Singapura,atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
Konsep Budaya Melayu
Menurut Kamus Dewan (2003), budaya bermaksud kemajuan berfikir, akal budi, cara berfikir dan berkelakuan. Menurut A.Aziz Deraman dalam Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (1994),

Kebudayaan adalah keseluruhan cara hidup manusia yang meliputi akal fikiran (budi) serta daya ciptaan bagi memenuhi kehendak-kehendak biologi, kemasyarakatan serta alam sekeliling yang sesuai dengan keperluan jasmani dan rohani.
(A.Aziz Deraman: 1994, 187)

Zainal Kling dalam Konsep Kebudayaan Kebangsaan Malaysia (1985) memberi pengertian budaya sebagai,

Kebudayaan meliputi segala-gala yang terdapat dalam masyarakat termasuk segala gagasan (idea), alatan (material) dan bentuk pengucapan (expression).
(Zainal Kling: 1985, 4)
Edward B. Taylor dalam bukunya Primitive Culture memberikan pengertian kebudayaan sebagai keseluruhan kompleks yang mengandungi antaranya pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, moral, adat resam dan apa-apa juga kebolehan serta kebiasaan (tabiat) yang didapati oleh manusia sebagai ahli sesebuah masyarakat.

Robert Bierstedt menyatakan;

“Kebudayaan itu ialah kesemua yang kita fikir, yang kita buat dan kita punya sebagai ahli dalam masyarakat. (Robert Bierstedt : 1970)

Oleh yang demikian, budaya Melayu adalah cara hidup masyarakat Melayu, yang penjelasannya sudah diberikan pada bahagian sebelumnya, yang meliputi seluruh tatacara kehidupan dari aspek fikiran atau idea, (termasuk ilmu pengetahuan, bahasa, falsafah, kesusateraan) kebendaan, (seperti senibina, bangunan, perabot, makanan, ubat-ubatan) kesenian sama ada seni lakon atau seni tampak dan akhir sekali nilai dan norma. (seperti kepercayaan, undang-undang, gaya dan perlakuan)

Konsep Kepelbagaian budaya

“Kebudayaan mempunyai ruang tempat tumbuh dan berkembang dengan mengalami perubahan, penambahan dan pengurangan. Ruang tempat adalah keperluan setiap jirim atau Matter dan manusia sebagai jirim menempati ruang itu tetepi ia tidak menembusi batas ruang. Manusia tidak berada pada dua tempat atau ruang pada sekaligus. Ia hanya dapat berpindah ke ruang lain pada masa lain. Maka pergerakkan inilah yang menyebarkan bahan kebudayaan dari tempat ke tempat dan dari masa hingga melahirkan kontak dan sebaran budaya dalam satu wilayah budaya” [3] (Zainal Kling, 1985: 5)

Keragaman ciri budaya atau kepelbagaian budaya seringkali berpunca dari kebudayaan yang dibawa masuk oleh masyarakat lain. Dalam erti kata lain, ia boleh terjadi melalui proses penjelajahan mahupun penjajahan.

“Berbagai proses hidup manusia, melalui perjalanan sejarah dan perkembangan penempatan kawasan kediaman, melahirkan kepelbagaian ciri dan keragaman bentuk budaya dalam sesebuah negara... Tanpa negara, kebudayaan kerapkali kekal sebagai sistem kehidupan rendah.” (Zainal Kling, 1985: 6)

Maka dengan itu, perlu diwujudkan suatu budaya yang dapat menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum dan mempunyai latar belakang budaya yang berbeza, bagi memastikan keharmonian hidup serta mencapai tahap kehidupan yang tinggi. Berdasarkan keperluan ini maka dasar Kebudayaan Kebangsaan telah diwujudkan di Malaysia dengan tujuan untuk melahirkan suatu budaya yang dapat diterima ramai berpaksikan ajaran Islam. Islam dipilih kerana ia merupakan agama yang dianuti majoriti rakyatnya serta berdasarkan sejarah dan tamadun alam Melayu. Dengan ini jelas bahawa Islam sememangnya memainkan peranan penting dalam proses enkulturasi masyarakat Melayu dan hal ini akan dibincangkan dalam kandungan yang selanjutnya.

Takrif Alam Melayu
Alam Melayu atau dunia Melayu yang turut dikenali sebagai rumpun budaya Melayu-Polinesia, merupakan satu kawasan budaya yang kaya dan luas. Ia merangkumi rantau yang luas, meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Selatan Thai, Selatan Burma, sebahagian IndoChina (khususnya Vietnam dan Kemboja), Malagasi, Sri Lanka, Formosa Selatan dan Taiwan serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polinesia, Melanesia dan Oceania).

Proses Enkulturasi dalam Budaya Melayu
Herskovits(1969) memperkenalkan konsep enculturation bagi membezakan dengan konsep sosialisasi. Herskovitz (1969:326) melihat proses ini daripada dua aspek yang berbeza. Proses perkembangan individu menjadi anggota masyarakat dikenali sebagai sosialisasi apabila ia hanya mementingkan soal pengintegrasian individu dalam masyarakat, tetapi apabila ia mementingkan penekanan nilai–nilai dan norma budaya dalam jiwa individu, proses ini dikenali sebagai pembudayaan (enculturation). Menurut Herskovits (1969:327) pembudayaan berbeza dengan sosialisasi kerana pembudayaan lebih mengutamakan proses yang berlaku pada tahap awal individu, sedangkan sosialisasi melibatkan proses yang berlaku di sepanjang kehidupan individu. Ini selaras dengan pendapat E. Richards yang mengatakan;

“The process of teaching the young belief and traditions of the society is called enculturation and the process of teaching the young how to get along in the group is called socialisation.” (1977:216)

Dalam proses pembudayaan, individu diajar tentang nilai–nilai asas masyarakatnya dan ditekankan pengamalan tabiat dan tingkah laku yang selaras dengan nilai moral masyarakat supaya dapat membuat penyesuaian sosial. Mereka disedarkan dengan nilai malu, takut, hormat, hutang budi, taat, budi bahasa, tata tertib dan amalan keagamaan. ( Tham Seong Chee; 1979: 94)

Proses enkulturasi atau proses pembudayaan ke atas masyarakat Melayu banyak terkait dengan aspek keislaman. Ini kerana Melayu telah disinonimkan dengan agama Islam. Hal ini telah terakam dalam perlembagaan persekutuan sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Maka dari itu pendekatan yang dipilih penulis adalah untuk mengupas proses enkulturasi berdasarkan kitaran kalender Islam.
Melalui pendekatan ini kita akan dapat melihat bagaimana seseorang itu dapat didedahkan dan dididik tentang budaya atau norma yang berlaku dalam masyarakat. Suka diingatkan di sini, bahawa sekiranya seseorang itu melanggar norma atau kebiasaan yang telah digariskan masyarakat Melayu maka secara tidak langsung dia tidak dapat diterima sebagai anggota budaya.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Muharram
Bulan muharram adalah bulan pertama dalam kalender Islam. Ini bermakna, pada satu Muharram umat Islam akan menyambut tahun baru Hijrah atau dikenali sambutan Maal Hijrah.

Sambutan Maal Hijrah pada awal Muharram adalah bersempena dengan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w bersama dengan umat Islam dari kota Mekah ke Madinah. Perpindahan baginda disebabkan adanya perkataan dari kaum Quraisy untuk membunuh baginda kerana menyebarkan ajaran Islam yang mula berkembang di Mekah. Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal. Penghijrahan ini telah membuka lembaran baru bagi perkembangan agama Islam. (Siti Razmah Hj. Idris & Fatimah Azzahra, 1996)

Disebabkan peristiwa ini menjadi sesuatu yang sangat signifikan kepada masyarakat Melayu/Islam, maka pada setiap awal Muharram, diadakan cuti umum Negara. Di waktu ini juga masyarakat akan mengadakan anugerah bagi tokoh yang telah berjasa terhadap agama dan tanah air. Manakala di peringkat sekolah pula akan diadakan pertandingan mengarang rencana dan nasyid.

Proses enkulturasi yang dapat dilihat di sini adalah bagaimana seseorang itu telah dididik untuk menghargai perjuangan baginda Rasulluah dalam menyebarkan Islam. Ini dapat dimanifestasikan daripada rencana-rencana yang ditulis serta nyanyian nasyid yang merakam semangat perjuangan junjungan mulia ini. Serta penganugerahan ke atas tokoh yang berjasa.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Rabiul Awal
Rabiul Awal merupakan bulan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Sambutan terhadap kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sebagai junjungan besar orang Melayu sudah menjadi budaya yang dilakukan setiap tahun pada haribulan 12 Rabiul Awal. Ini dilihat dalam konteks Malaysia khususnya yang menetapkan 12 Rabiul Awal sebagai cuti umum.
Seterusnya, anak-anak Melayu dididik untuk memperingati kelahiran Rasulullah s.a.w dengan menjadikan budaya berarak dari satu tempat ke satu tempat untuk membesarkan dan memeriahkan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Budaya perarakan sempena penyambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w atau lebih dikenali sebagai Maulidur Rasul sudah mula terjadi sejak dahulu lagi.

Menjadi budaya orang Melayu di beberapa tempat untuk menyambut Maulidur Rasul dengan pembacaan berzanji. Pembacaan berzanji yang mengandungi puji-pujian terhadap Allah s.w.t dan sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dari kecil hingga diutus menjadi Rasul dan diakhiri dengan kewafatan baginda terkandung dalam pembacaan berzanji. Pada kebiasaannya, pembacaan berzanji dilakukan secara berkumpulan atau disebut jemaah. Dengan mengadakan majlis seperti ini, anak-anak diberi kesempatan untuk mempelajari budaya berzanji dan marhaban. Marhaban merupakan pembacaan di mana setiap yang hadir dalam majlis berzanji akan berdiri tanda menghormati Nabi Muhammad s.a.w dengan bacaan-bacaan yang mendayu-dayu, memuji dan meminta syafaat Nabi Muhammad s.a.w dalam bentuk nyayian.

Selain perayaan Maulidur Rasul dilakukan dalam bentuk perarakan dan pembacaan berzanji, orang Melayu menjadikan bulan ini sebagai bulan untuk memberi jamuan secara percuma. Selain itu, mereka juga banyak menderma dan menghadiri majlis-majlis yang memperingati Nabi Muhammad s.a.w. Cara ini memberikan contoh anak-anak untuk mengamalkan memberi derma yang menjadi budaya orang Melayu.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Syaban
Masyarakat Melayu pada bulan ini biasanya akan mengadakan kenduri arwah bagi sanak saudara mereka yang telah pergi terlebih dahulu daripada mereka. Sesebuah keluarga akan berkumpul untuk bersama-sama membacakan yasin dan tahlil atau memuji-muji kebesaran Allah. Anak-anak dididik untuk menyucikan diri mereka sebelum Ramadhan menjelang dengan memperbanyakkan zikir memuji-muji Allah s.w.t. Di samping itu mereka juga digalakkan mengingati saudara mara yang telah tiada dengan mendoakan kesejahteraan dan ketenteraman roh di alam barzakh.
Menurut kepercayaan orang dahulu, roh-roh diberikan kesempatan untuk menziarahi sanak-saudara mereka pada bulan ini. Akan tetapi perkara ini tidak terdapat dalam agama Islam. Seorang anak dididik untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan ayah dan ibu tidak kira mereka hidup ataupun telah tiada. Dalam budaya Melayu menghormati dan menyayangi orang tua amat dititik beratkan maka dengan mendokan mereka merupakan salah satu cara bagi mengucapkan terima kasih di atas kasih sayang yang telah mereka curahkan.
Menyentuh tentang kenduri arwah, penulis ingin memberikan sedikit penerangan mengenai upacara-upacara menguruskan jenazah. Apabila seseorang itu meninggal dunia maka dia akan dibaringkan menghadap ke kiblat dengan kain putih menutupi seluruh tubuh dan muka. Saudara mara akan duduk di sisi si mayat dengan membacakan ayat-ayat suci. Anak-anak akan diajar untuk menghormati keadaan yang muram dan sedih dengan merendahkan suara sewaktu bercakap.

“ Customs dictates that whilst the body is still in the house, visitors who come to pay their respects and the neighbours round about should avoid making unnecessary noise or chatting frivolously. This is also in conformity with Islamic Law which requires proper respect to be paid to those who have departed.”
(Haji Mohtar Bin Md.Dom, 1979)

Di samping itu mayat juga harus diuruskan dengan bukan kekasaran. Ini termasuk sewaktu memandikannya, mengkafankannya dan mengebumikannya.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Ramadan
Amalan masyarakat Melayu pada bulan Ramadan, selaras dengan kepercayaan Islam ialah menjalankan ibadah berpuasa. Bagi orang Melayu, budaya berpuasa setengah hari diwujudkan. Konsep berpuasa setengah hari hanya terdapat dalam budaya Melayu dengan tujuan untuk melatih anak-anak kecil untuk menahan lapar dan dahaga. Sehubungan dengan itu, perhubungan kekeluargaan menjadi rapat dengan budaya berpuasa bersama dan berbuka bersama. Bulan ini merupakan waktu yang sesuai untuk menyemai nilai-nilai yang baik yang selaras dengan Islam yang menjadi nilai etika masyarakat Melayu.
...Kebudayaan Islam banyak mempengaruhi cara hidup orang Melayu termasuk nilainya sekali.
(Ismail Hamid, 1991: 74)

Untuk melihat nilai-nilai etika yang disanjung masyarakat Melayu, sumber utama ialah menerusi kesusasteraan rakyat yang merupakan pengucapan awal orang Melayu. Dalam berpuasa, terdapat latihan untuk merendahkan diri. Peribahasa Melayu banyak mengajar nilai rendah diri.

Adakah hilang bisa ular menyusur akar
Mutiara jatuh ke limbahan adakah hilang cahayanya
Bawa resmi padi
Makin berisi, makin tunduk
Jangan bawa resmi jagung
Makin berisi makin jegang
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau
(Ismail Hamid, 1991: 76)

Penurunan Al-Quran atau dikenali sebagai Nuzul Al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Budaya masyarakat Melayu untuk berkhatam Al-Quran dalam bulan Ramadan. Majlis ini dihadiri berbagai usia termasuk anak-anak. Anak-anak juga turut berkumpul dan membudayakan bacaan majlis khatam Al-Quran. Pulut kuning dijadikan sebagai makanan yang mesti ada di waktu upacara berkhatam Al-Quran. Dapat dilihat kepentingan Al-Quran dalam masyarakat Melayu dengan kewujudan adat berkhatam Al-Quran. Dalam pantun tradisional Melayu terdapat ungkapan sedemikan,

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab


Ayah akan mengajak isteri dan anak-anaknya untuk solat terawih di masjid. Pada waktu ini interaksi sosial berlaku. Anggota masyarakat akan bersolat bersama dan kemudian bergotong-royong menyediakan jamuan ringan untuk dimakan. Pada kebiasaannya, masyarakat Melayu tidak lepas dengan menyediakan jamuan yang dikenali sebagai bubur lambuk. Bubur lambuk merupakan jamuan yang khas disediakan pada bulan Ramadan. Selalunya anggota masyarakat akan melakukan persediaan awal hingga akhir dalam menghasilkan bubur lambuk bersama-sama. Pihak wanita akan bertanggungjawab menyediakan bahan-bahan seperti rempah-ratus, menghiris lada merah, menyiat daging ayam dan lambu dan sebagainya. Pihak lelaki pula akan menggaul bubur lambuk menggunakan kawah besar dan penggaul kayu, kemudian akan dibahagi-bahagikan kepada semua anggota masyarakat.
Sebelum menjelang Aidilfitri, terdapat malam tujuh likur yakni beberapa malam terakhir bulan Ramadhan. Pada waktu ini anak-anak dididik untuk memeriahkan malam, mereka akan bermain dengan bunga api dan pelita akan dinyalakan sementara menanti kepulangan orang yang beribadah di masjid. Umat Islam percaya bahawa pada malam-malam ganjil sebelum tiba hari raya terdapat satu malam berkat yang dinamakan Lailatul Qadar. Pada malam ini dipercayai semua doa akan dimakbulkan dan umat Islam digalakkan meningkatkan lagi ibadat pada malam yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Melihat anak bulan juga menjadi budaya Melayu hingga ke hari ini. Pada akhir Ramadan, iaitu pada 29 haribulan, di sesetengah tempat, kerajaan menghantar kumpulan untuk melihat anak bulan. Sejurus anak bulan terlihat, Hari Raya Aidilfitri akan diistiharkan oleh Pemegang Mohor Besar Raja-raja Melayu. Takbir mula dilaungkan di radio dan televisyen. Setiap anggota keluarga akan sama-sama takbir di rumah mahupun di masjid-masjid.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Syawal
Semasa bulan Syawal atau bulan ke sepuluh dalam kalender Islam ini, masyarakat Melayu akan menyambut perayaan yang terbesar iaitu Hari Raya Aidilfitri. Sambutan Hari Raya ini berhubung rapat dengan ibadat puasa yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan sepertimana yang telah dijelaskan di atas. Perayaan ini bertujuan meraikan kejayaan umat islam menyempurnakan ibadat puasa yang penting. (Siti Razmah Hj. Idris & Fatimah Azzahra, 1996)

Telah menjadi budaya bagi masyarakat Melayu untuk membuat segala persiapan awal sebelum menjelang hari perayaan yang besar ini. Biasanya persiapan ini akan dilakukan seisi keluarga. Waktu inilah anak-anak akan diajar cara menghias rumah seperti memasang langsir baru, menukar atau membersihkan perabut lama mengikut selera orang Melayu. Di samping itu, pada waktu ini juga anak-anak perempuan khususnya diajarkan selok belok untuk membuat kuih-muih tradisional seperti putu, dodol, wajik dan bahulu. Di sesetengah kampung pula persediaan kuih muih tradisional ini dilakukan secara bersama-sama dan kemudian dibahagikan sama rata. Di sini anak-anak didedahkan kepada cara orang Melayu berinteraksi dan bekerjasama anatara satu dengan yang lain dan diharapkan apabila mereka dewasa kelak mereka juga dapat melakukan perkara yang sama bagi memastikan kerukunan dan keharmonian hidup berjiran.

Menjelang sehari sebelum Hari Raya anak-anak akan diajar pula cara penyediaan juadah tradisional seperti rendang, sate dan yang lain. Serta mereka juga diajar menganyam ketupat dan lemang yakni juadah khusus untuk dimakan sewaktu Hari Raya serta ia merupakan ikon yang penting bagi sambutan Hari Raya ini. Tanpa ketupat dan lemang ini maka tidak meriahlah pagi syawal tersebut. Pembuatannya sahaja menunjukkan kehalusan seni budaya Melayu. Akan tetapi pada hari ini, ramai yang cenderung untuk membeli ketupat yang telah tersedia di pasaran. Namun, adalah perlu bagi individu Melayu untuk mengetahui selok-belok membuat ketupat, lemang dan juadah tradisi yang lainnya memandangkan ia melambangkan budaya Melayu. Ini kerana untuk diterima sebagai anggota budaya maka hendaklah dia memahirkan dirinya membuat perkara yang menjadi identiti Melayu.

Akhir sekali pada pagi syawal tersebut masyarakat Melayu akan mandi sunat Hari raya, melakukan solat sunat Hari Raya, dan bertakbir Hari raya. Setelah itu mereka akan saling bermaaf-maafan di antara satu dengan yang lain. Anak-anak diajar untuk menghormati yang tua dengan menghulurkan salam terlebih dahulu kepada yang tua. Mereka juga diajar untuk menyucikan diri dari segala dosa dengan memaafkan orang dan memohon maaf. Setelah itu mereka akan bersarapan bersama dan kemudian bersolat sunat Aidilfitri.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Zulhijjah
Pada bulan ini, beratus ribu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima. Ini termasuk sebahagian besar masyarakat Melayu yang menunaikan rukun Islam kelima, fardu haji. Sebelum itu, budaya orang Melayu untuk mengadakan kenduri doa selamat dengan harapan untuk selamat pergi dan balik haji. Bakal-bakal haji akan menjemput sanak-saudara terdekat dan kawan-kawan untuk membaca doa dan seterusnya dihidangkan jamuan. Anak-anak diberi kesedaran bahawa haji merupakan satu rukun Islam yang wajib ditunaikan.

Pada 10 Zulhijah, hari raya Aidiladha juga merupakan perayaan besar disambut masyarakat Melayu. Perayaan ini lebih dikenali dengan nama Hari Raya Haji. Jika dibandingkan dengan hari raya Aidilfitri, ianya disambut tidak begitu meriah kecuali di sesetengah negeri di Malaysia termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pada malam hari raya Aidiladha, orang Melayu akan bertakbir membesarkan Ilahi dan pada paginya, mengenakan pakaian yang bersih dan cantik untuk bersama-sama ke masjid untuk sembahyang sunat Aidiladha. Seteleh selesai sembahyang, mereka akan menyembelih lembu atau kambing sebagai korban kepada Allah s.w.t. Ibadat ini memperingatkan tentang peristiwa Nabi Ibrahim mendapat perintah dari Allah s.w.t untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail. Bagaimanapun, ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih puteranya, Allah s.w.t menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas, binatang ternakan seperti biri-biri. Sejak itu, umat Islam menjalankan ibadat korban dengan niyat supaya bersedia mengorbankan apa sahaja demi Allah s.w.t dan agamanya sebagaimana yang dilakukan Nabi Ibrahim keatas puteranya, Nabi Ismail. Ini mengajar anak-anak Melayu untuk sedia berkorban dan menghayati makna di sebalik hari raya korban.

Upacara korban dilakukan di masjid-masjid di seluruh negara. Upacaca korban akan dilakukan di hadapan orang yang menempah kambing tersebut. Sewaktu penyembelihan berlaku, takbir akan dilaungkan. Pembahagiaan daging korban akan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin, ahli-ahli keluarga terdekat, sanak-saudara dan dirinya sendiri. Ini memperlihatkan anak-anak untuk membantu yang mereka yang memerlukan.

Setiap anggota mengenakan pakaian tradisional termasuk baju kurung, baju teluk belanga, baju Melayu cekak musang, baju riau dan sebagainya. Anak-anak muda di Singapura yang tidak selalu kelihatan mengenakan pakaian Melayu tradisional juga ikut sama menggenakannya pada waktu ini. Pakaian tradisional yang sangat terkenal ialah baju kurung. Baju kurung boleh dipakai oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan, akan tetapi terdapat perbezaan di antara baju kurung lelaki dan baju kurung perempuan. Pengertian kurung bermaksug ‘menggurung atau menutup’ anggota tubuh. Ini selaras dengan ajaran Islam yang mempunyai pengaruh terbesar pada budaya Melayu. Istilah ‘kurung’ diertikan dengan baju yang selesa dan longgar.

Isu dan cabaran: Keluarga dan Islam
Dalam mendidik seseorang individu untuk menjadi anggota budaya masyarakatnya, peranan anggota keluarga amat penting khususnya ibu bapa. Cara kehidupan ibu bapa merupakan satu panduan kepada si anak. Seandainya ibu bapa kuat mengamalkan budaya Melayu maka dengan sendiri anak-anak akan mengenali budaya mereka dan turut mengamalkannya lantas menjadikan diri mereka diterima sebagai anggota budaya. Namun, hakikatnya pada hari ini amat bertentangan. Ibu bapa semakin sibuk dengan kerjaya sehingga adakalanya mereka kurang masa untuk bersama dengan anak-anak apalagi untuk menjelaskan mengenai budaya serta adat kebiasaan Melayu. Biasanya tugas menerangkan hal-hal sebegini diserahkan kepada guru Melayu di sekolah. Namun mengetahui hanya sekadar melalui cara membaca buku teks dan mendengar penerangan guru tidak akan sama dengan seseorang itu merasakannya sendiri lantas menjadikan ia salah satu pengalaman hidup yang dapat disimpan untuk mewariskan kepada generasi selanjutnya.

Namun, faktor agama merupakan faktor yang terpenting yang menjadi cabaran bagi proses enkulturasi. Terdapat pelbagai polemik dalam mempertahankan budaya Melayu yang dirasakan tidak selaras dengan ajaran Islam. Sekiranya seseorang individu itu dibesarkan oleh datuk dan nenek yang kuat berpegang dengan segala tradisi budaya Melayu serta ibu bapa atau penjaga yang kuat berpegang kepada agama maka akan timbul konflik dalam membentuk si anak. Di satu pihak menginginkan si anak mengikut segala resam Melayu tidak kira yang bercanggahan dengan agama ataupun tidak. Di pihak lain menghalang si anak dari budaya yang bertentangan dengan agama. Contohnya jika berdasarkan budaya Melayu turun temurun kenduri tahlil akan diadakan sepanjang tujuh hari berturut-turut setelah kematian seorang ahli keluarga. Keluarga si mati sudah tentunya dirundung kesedihan akibat kehilangan seorang dari ahli keluarga mereka maka tidak seharusnya diberatkan lagi dengan kewajipan melayan tetamu, kerana itu mereka yang berpegang kuat dengan agama agak keberatan untuk mengadakan kenduri tahlil sebanyak tujuh hari berturut-turut. Hal ini membuatkan anak-anak keliru budaya mana yang harus mereka contohi. Inilah merupakan salah satu cabaran proses enkulturasi hari ini.
Isu dan Cabaran: Pendidikan Kebudayaan dan Kaitannya dengan Islam

Sifat dan hakikat tamadun dan kebudayaan Melayu itu adalah sifat dan hakikat Islam, dan tiada dapat dipisahkan keduanya ini dalam pandangan ilmiah yang tulen.
(Syed Muhammad Naguib Al-Attas, 1990)

Islam dan budaya Melayu seperti aur dengan tebing, seperti isi dengan kuku, tidak dapat dipisahkan. Dasar Kebudayan Kebangsaan menetapkan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Oleh itu, institusi pendidikan adalah agen berpengaruh dalam pembentukan budaya. Di sini, penulis akan menyentuh isu pendidikan budaya dan kaitannya dengan Islam di alam Melayu.

Kepentingan pendidikan budaya tidak dapat dinafikan. Dalam Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan (1985) membuktikan,

Pendidikan dipandang sebagai satu-satunya agen dan proses yang menyambung dan mengekalkan pewarisan budaya, di samping menggalakkan pengembangan ilmu yang boleh menggiatkan lagi daya cipta bagi memperkaya budaya bangsa berkenaan.
(Asiah Abu Samah, 1985: 117)

Cabaran yang dihadapi ialah peminggiran Islam dalam pendidikan budaya pada anak-anak muda Melayu. Syed Naquib Al-Attas merupakan sarjana yang mengungkapkan gagasan menyatukan Islam dalam pendidikan budaya. Beliau menyarankan metodologi baru untuk penelitian bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dengan menjadikan Islam sebagai asas penafsirannya. Beliau juga mempersoalkan peminggiran Islam dalam membentuk sejarah dan kebudayaan Melayu.

Sistem nilai Islam bukan sahaja terbatas pada konsep sembahyang, zakat dan haji, akan tetapi Islam merupakan sistem yang menekankan kesejahteraan dan kebajikan dunia dan akhirat. Tujuan yang jelas seperti ini yang dapat melahirkan masyarakat sejahtera dan mempunyai kualiti tinggi dalam segala aspek, politik, ekonomi, kehidupan sosio-budaya, pembangunan fizikal dan segala aspek kemajuan. Islam tidak mengasingkan persoalan kehidupan dengan nilai-nilai moral dan adab, bahkan disatukan. Islam juga menggalakkan kemajuan dan kemenangan dalam kehidupan, bukan sahaja di akhirat akan tetapi di kehidupan dunia.

Selain cabaran pendidikan kebudayaan berteraskan Islam, pendidikan kebudayaan sendiri sering disalahertikan dengan mengaitkan kebudayaan dengan kesenian. Oleh kerana itu pendidikan budaya di sekolah-sekolah hanya merujuk kepada kesenian Melayu termasuk tarian Melayu, teater Melayu, drama Melayu, senilukis, seniukir dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, Pusat Perkembangan Kurikulum (PKK) ditubuhkan sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam perancangan dan penggubalam kurikulum. Penubuhan institusi ini amat penting untuk memastikan kurikulum yang dihasilkan memenuhi kehendak pendidikan budaya sepenuhnya.

Rumusannya, institusi pendidikan merupakan agen yang paling berkesan dalam menerapkan nilai-nilai budaya dalam diri individu. Cabaran yang dihadapi ialah untuk memastikan institusi pendidikan dapat menghasilkan kurikulum yang berkesan dalam mendidik nilai budaya dan kaitannya dengan Islam.

Kesimpulan
Dengan keterangan di atas, jelas proses enkulturasi serta cara-cara seseorang individu dapat diterima sebagai anggota masyarakat Melayu. Ini dijelaskan penulis dengan menggunakan pendekatan kalender Islam. Anak-anak dididik dari aspek pergaulan, adat-resam orang Melayu, mencintai perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam, mengangkat nilai-nilai murni budaya Melayu dan memberi penghormatan kepada yang tua.
Sememangnya, budaya Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Oleh itu, benarlah kata-kata Wertheim di bawah,
Agama Islam telah memainkan peranan yang penting bagi mencetuskan satu revolusi bagi memodenkan masyarakat Melayu tradisional.

(Ismail Hamid: 1991, 72)

















Bibliografi

Abdul Aziz Deraman, 1994(a). Masyarakat dan kebudayaan Malaysia.Edisi ke-2.
Cahaya pantai (M) Sdn.Bhd : Malaysia.

A.Aziz Deraman, 1994(b). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (Suatu
Pengenalan Latar Belakang dan Sejarah Ringkas). Kuala Lumpur: DBP.


Ali Esa.(1972, Januari). Keluarga Proses Sosialisasi dan Perubahan Sikap.
Kertaskerja dibentangkan dalam Seminar Memperbaiki Semangat, Sikap dan Dedikasi, Shah Alam, Kuala Lumpur

Herskovits J. Melville, 1969. Cultural Anthropology. Oxford & IBH Publishing Co.:
New Delhi

Ismail Hamid, 1991. Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur: DBP.

Lembaga peyelidikan undang-undang, 1999. Perlembagaan Persekutuan. Kuala
Lumpur: International law Book Services.

Mohtar Bin Md.Dom, 1979. Traditions and Taboos. Selangor Darul Ehsan:
Federal Publictions

Mohd Ali Omar. (1978). Proses Sosialisasi ke atas anak-anak masyarakat
setinggan Kampung Selamat Pantai Dalam. Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Noresah Baharom (ed), 2003. Kamus Dewan. Kuala Lumpur: DBP.

Siti Razmah Hj. Idris & Fatimah Azzahra, 1996. Perayaan, dlm Sulaiman Zakaria
(e.d)., Orang Melayu. Selangor Darul Ehsan: Penerbit Pinang.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1992. Tujuan dan Objektif Pendidikan Islam.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tham Seong Chee, 1979. “Social Change and the Malay Family”, dlm Kou Eddie
C.Y & Wong A.K (e.d)., The Contemporary Family in Singapore, Singapore University Press, hlm 88-114.

Wan Abdul Kadir Yusoff, Zainal Abdin Borhan (ed), 1985. Ideologi dan
Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya.


Zainal Kling. 1985. Konsep kebudayaan kebangsaan Malaysia, dlm. Wan Abdul
Kadir & Zainal Abidin Borhan (e.d)s. Ideologi dan Kebudayaan
Kebangsaan. Agensi Penerbitan Nusantara: Malaysia


Rujukan lelaman web:
http://anthro.palomar.edu/social/soc_1.htm
http://kccesl.tripod.com/spring2003/studentessays/sociology.html
http://www.delmar.edu/socsci/rlong/intro/social.htm


[1] S.Husin Ali, 1979. Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya, Kuala Lumpur: Penerbit Adabi, hlm
1-3.
[2] Ismail Hamid, 1991. Masyarakat dan Budaya Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustakan, hlm 4.
[3] Dipetik dari Zainal Kling. 1985. Konsep kebudayaan kebangsaan Malaysia. Dlm. Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan. Eds.Wan Abdul Kadir & Zainal Abidin Borhan. Agensi Penerbitan Nusantara: Malaysia