Wednesday, May 28, 2008

Bincangkan Proses Enkulturasi dan dengan contoh-contoh yang sesuai huraikan bagaimana seseorang dapat diterima sebagai anggota budaya Melayu.
oleh Fadhilah Binti Ramli & Siti Nurulhuda A.Razak

Pengenalan
Apabila dibicarakan aspek enkulturasi sememangnya ia tidak dapat dipisahkan dengan budaya. Ini kerana jika kita tinjau kepada takrifnya secara sepintas lalu kita akan mendapati bahawa enkulturasi merupakan suatu proses seseorang itu dibentuk berdasarkan budaya dalam masyarakat yang dianggotainya. Maka persoalan apa itu budaya pula timbul.

“Budaya itu adalah cara hidup yang diikuti oleh orang-orang yang menjadi anggota satu-satu kumpulan tertentu dan meliputi anasir-anasir sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama,kepercayaan, adat resam, sikap, nilai, alatan-alatan budaya atau apa-apa yang dihasilkan oleh mereka sebagai anggota sesuatu masyarakat” (A. Aziz Deraman, 1994)

Berdasarkan takrif budaya, satu faktor penting harus kita teliti seandainya pengkajian ke atas proses enkulturasi masyarakat Melayu ingin kita lakukan. Faktor tersebut adalah peranan agama dalam pembentukan sahsiah seseorang. Dengan itu, penulis akan menghuraikan dengan lebih lanjut dalam bab yang berikutnya. Sebelum itu beberapa konsep perlu diketahui sebelum penerangan tentang enkulturasi dilakukan.

Masyarakat Melayu
Masyarakat adalah wadah budaya. Masyarakat membentuk kebudayaan dan kebudayaan pula mengatur kehidupan masyarakat.
(A.Aziz Deraman: 1994)

Budaya dan masyarakat mempunyai hubungan yang sangat rapat. Walaupun kajian terhadap masyarakat tidak banyak dilakukan, akan tetapi ianya tidak dapat diketepikan. Ini kerana tanpa ada masyarakat, maka tiadalah budaya.

Menurut Kamus Dewan (2003), masyarakat bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Dalam lain perkataan, pergaulan hidup. Dalam Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (1994), masyarakat diertikan sebagai,

Masyarakat itu adalah kelompok manusia, tua muda, laki-laki perempuan yang mempunyai hubungan sosial dalam sesuatu penempatan yang sama. Perhubungan mereka itu boleh jadi wujud dalam pekerjaan, tempat tinggal atau dari segi kekeluargaan. Daripada hubungan ini pula akhirnya wujud lembaga-lembaga atau organisasi tertentu yang dapat menyatukan lagi manusia itu di dalam satu-satu kumpulan unit sosial.
(A.Aziz Deraman: 1994, 4)
Menurut Syed Husin Ali, orang Melayu dari segi lahiriah, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa.[1] Jika dilihat dari sudut budaya, definisi Melayu merujuk kepada penduduk yang menetap di Malaysia, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Dari sudut undang-undang pula, definisi Melayu hanya meliputi penduduk Malaysia seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia: Fasal 160. Oleh itu, definisi Melayu jikalau mengikut Perlembagaan Malaysia membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk menjadi orang Melayu dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Berdasarkan Aris Osman pula, definisi Melayu dari sudut sosiobudaya merangkumi etnik-etnik yang tinggal di luar perbatasan Malaysia seperti etnik Minangkabau, Jawa, Bugis, Banjar, Mandaling dan lain-lain.[2]

Kesimpulannya, terdapat banyak definisi orang Melayu yang membentuk masyarakat Melayu. Jika dilihat dari segi Perlembagaan Malaysia, seseorang Melayu boleh merupakan sesiapa sahaja asalkan dia menganut agama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu. Akan tetapi, jika kita melihat dari segi sosiobudaya, maka definisi Melayu merangkumi suku-suku bangsa yang mendiami daerah Nusantara ini.
(Ismail Hamid: 1991, 5)

Konsep ‘Melayu’ dalam Perlembagaan Persekutuan
‘Melayu’ ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Istiadat Melayu dan-
(a) Lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di persekutuan atau di Singapura,atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
Konsep Budaya Melayu
Menurut Kamus Dewan (2003), budaya bermaksud kemajuan berfikir, akal budi, cara berfikir dan berkelakuan. Menurut A.Aziz Deraman dalam Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (1994),

Kebudayaan adalah keseluruhan cara hidup manusia yang meliputi akal fikiran (budi) serta daya ciptaan bagi memenuhi kehendak-kehendak biologi, kemasyarakatan serta alam sekeliling yang sesuai dengan keperluan jasmani dan rohani.
(A.Aziz Deraman: 1994, 187)

Zainal Kling dalam Konsep Kebudayaan Kebangsaan Malaysia (1985) memberi pengertian budaya sebagai,

Kebudayaan meliputi segala-gala yang terdapat dalam masyarakat termasuk segala gagasan (idea), alatan (material) dan bentuk pengucapan (expression).
(Zainal Kling: 1985, 4)
Edward B. Taylor dalam bukunya Primitive Culture memberikan pengertian kebudayaan sebagai keseluruhan kompleks yang mengandungi antaranya pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, moral, adat resam dan apa-apa juga kebolehan serta kebiasaan (tabiat) yang didapati oleh manusia sebagai ahli sesebuah masyarakat.

Robert Bierstedt menyatakan;

“Kebudayaan itu ialah kesemua yang kita fikir, yang kita buat dan kita punya sebagai ahli dalam masyarakat. (Robert Bierstedt : 1970)

Oleh yang demikian, budaya Melayu adalah cara hidup masyarakat Melayu, yang penjelasannya sudah diberikan pada bahagian sebelumnya, yang meliputi seluruh tatacara kehidupan dari aspek fikiran atau idea, (termasuk ilmu pengetahuan, bahasa, falsafah, kesusateraan) kebendaan, (seperti senibina, bangunan, perabot, makanan, ubat-ubatan) kesenian sama ada seni lakon atau seni tampak dan akhir sekali nilai dan norma. (seperti kepercayaan, undang-undang, gaya dan perlakuan)

Konsep Kepelbagaian budaya

“Kebudayaan mempunyai ruang tempat tumbuh dan berkembang dengan mengalami perubahan, penambahan dan pengurangan. Ruang tempat adalah keperluan setiap jirim atau Matter dan manusia sebagai jirim menempati ruang itu tetepi ia tidak menembusi batas ruang. Manusia tidak berada pada dua tempat atau ruang pada sekaligus. Ia hanya dapat berpindah ke ruang lain pada masa lain. Maka pergerakkan inilah yang menyebarkan bahan kebudayaan dari tempat ke tempat dan dari masa hingga melahirkan kontak dan sebaran budaya dalam satu wilayah budaya” [3] (Zainal Kling, 1985: 5)

Keragaman ciri budaya atau kepelbagaian budaya seringkali berpunca dari kebudayaan yang dibawa masuk oleh masyarakat lain. Dalam erti kata lain, ia boleh terjadi melalui proses penjelajahan mahupun penjajahan.

“Berbagai proses hidup manusia, melalui perjalanan sejarah dan perkembangan penempatan kawasan kediaman, melahirkan kepelbagaian ciri dan keragaman bentuk budaya dalam sesebuah negara... Tanpa negara, kebudayaan kerapkali kekal sebagai sistem kehidupan rendah.” (Zainal Kling, 1985: 6)

Maka dengan itu, perlu diwujudkan suatu budaya yang dapat menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum dan mempunyai latar belakang budaya yang berbeza, bagi memastikan keharmonian hidup serta mencapai tahap kehidupan yang tinggi. Berdasarkan keperluan ini maka dasar Kebudayaan Kebangsaan telah diwujudkan di Malaysia dengan tujuan untuk melahirkan suatu budaya yang dapat diterima ramai berpaksikan ajaran Islam. Islam dipilih kerana ia merupakan agama yang dianuti majoriti rakyatnya serta berdasarkan sejarah dan tamadun alam Melayu. Dengan ini jelas bahawa Islam sememangnya memainkan peranan penting dalam proses enkulturasi masyarakat Melayu dan hal ini akan dibincangkan dalam kandungan yang selanjutnya.

Takrif Alam Melayu
Alam Melayu atau dunia Melayu yang turut dikenali sebagai rumpun budaya Melayu-Polinesia, merupakan satu kawasan budaya yang kaya dan luas. Ia merangkumi rantau yang luas, meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Selatan Thai, Selatan Burma, sebahagian IndoChina (khususnya Vietnam dan Kemboja), Malagasi, Sri Lanka, Formosa Selatan dan Taiwan serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polinesia, Melanesia dan Oceania).

Proses Enkulturasi dalam Budaya Melayu
Herskovits(1969) memperkenalkan konsep enculturation bagi membezakan dengan konsep sosialisasi. Herskovitz (1969:326) melihat proses ini daripada dua aspek yang berbeza. Proses perkembangan individu menjadi anggota masyarakat dikenali sebagai sosialisasi apabila ia hanya mementingkan soal pengintegrasian individu dalam masyarakat, tetapi apabila ia mementingkan penekanan nilai–nilai dan norma budaya dalam jiwa individu, proses ini dikenali sebagai pembudayaan (enculturation). Menurut Herskovits (1969:327) pembudayaan berbeza dengan sosialisasi kerana pembudayaan lebih mengutamakan proses yang berlaku pada tahap awal individu, sedangkan sosialisasi melibatkan proses yang berlaku di sepanjang kehidupan individu. Ini selaras dengan pendapat E. Richards yang mengatakan;

“The process of teaching the young belief and traditions of the society is called enculturation and the process of teaching the young how to get along in the group is called socialisation.” (1977:216)

Dalam proses pembudayaan, individu diajar tentang nilai–nilai asas masyarakatnya dan ditekankan pengamalan tabiat dan tingkah laku yang selaras dengan nilai moral masyarakat supaya dapat membuat penyesuaian sosial. Mereka disedarkan dengan nilai malu, takut, hormat, hutang budi, taat, budi bahasa, tata tertib dan amalan keagamaan. ( Tham Seong Chee; 1979: 94)

Proses enkulturasi atau proses pembudayaan ke atas masyarakat Melayu banyak terkait dengan aspek keislaman. Ini kerana Melayu telah disinonimkan dengan agama Islam. Hal ini telah terakam dalam perlembagaan persekutuan sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Maka dari itu pendekatan yang dipilih penulis adalah untuk mengupas proses enkulturasi berdasarkan kitaran kalender Islam.
Melalui pendekatan ini kita akan dapat melihat bagaimana seseorang itu dapat didedahkan dan dididik tentang budaya atau norma yang berlaku dalam masyarakat. Suka diingatkan di sini, bahawa sekiranya seseorang itu melanggar norma atau kebiasaan yang telah digariskan masyarakat Melayu maka secara tidak langsung dia tidak dapat diterima sebagai anggota budaya.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Muharram
Bulan muharram adalah bulan pertama dalam kalender Islam. Ini bermakna, pada satu Muharram umat Islam akan menyambut tahun baru Hijrah atau dikenali sambutan Maal Hijrah.

Sambutan Maal Hijrah pada awal Muharram adalah bersempena dengan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w bersama dengan umat Islam dari kota Mekah ke Madinah. Perpindahan baginda disebabkan adanya perkataan dari kaum Quraisy untuk membunuh baginda kerana menyebarkan ajaran Islam yang mula berkembang di Mekah. Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal. Penghijrahan ini telah membuka lembaran baru bagi perkembangan agama Islam. (Siti Razmah Hj. Idris & Fatimah Azzahra, 1996)

Disebabkan peristiwa ini menjadi sesuatu yang sangat signifikan kepada masyarakat Melayu/Islam, maka pada setiap awal Muharram, diadakan cuti umum Negara. Di waktu ini juga masyarakat akan mengadakan anugerah bagi tokoh yang telah berjasa terhadap agama dan tanah air. Manakala di peringkat sekolah pula akan diadakan pertandingan mengarang rencana dan nasyid.

Proses enkulturasi yang dapat dilihat di sini adalah bagaimana seseorang itu telah dididik untuk menghargai perjuangan baginda Rasulluah dalam menyebarkan Islam. Ini dapat dimanifestasikan daripada rencana-rencana yang ditulis serta nyanyian nasyid yang merakam semangat perjuangan junjungan mulia ini. Serta penganugerahan ke atas tokoh yang berjasa.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Rabiul Awal
Rabiul Awal merupakan bulan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Sambutan terhadap kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sebagai junjungan besar orang Melayu sudah menjadi budaya yang dilakukan setiap tahun pada haribulan 12 Rabiul Awal. Ini dilihat dalam konteks Malaysia khususnya yang menetapkan 12 Rabiul Awal sebagai cuti umum.
Seterusnya, anak-anak Melayu dididik untuk memperingati kelahiran Rasulullah s.a.w dengan menjadikan budaya berarak dari satu tempat ke satu tempat untuk membesarkan dan memeriahkan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Budaya perarakan sempena penyambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w atau lebih dikenali sebagai Maulidur Rasul sudah mula terjadi sejak dahulu lagi.

Menjadi budaya orang Melayu di beberapa tempat untuk menyambut Maulidur Rasul dengan pembacaan berzanji. Pembacaan berzanji yang mengandungi puji-pujian terhadap Allah s.w.t dan sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dari kecil hingga diutus menjadi Rasul dan diakhiri dengan kewafatan baginda terkandung dalam pembacaan berzanji. Pada kebiasaannya, pembacaan berzanji dilakukan secara berkumpulan atau disebut jemaah. Dengan mengadakan majlis seperti ini, anak-anak diberi kesempatan untuk mempelajari budaya berzanji dan marhaban. Marhaban merupakan pembacaan di mana setiap yang hadir dalam majlis berzanji akan berdiri tanda menghormati Nabi Muhammad s.a.w dengan bacaan-bacaan yang mendayu-dayu, memuji dan meminta syafaat Nabi Muhammad s.a.w dalam bentuk nyayian.

Selain perayaan Maulidur Rasul dilakukan dalam bentuk perarakan dan pembacaan berzanji, orang Melayu menjadikan bulan ini sebagai bulan untuk memberi jamuan secara percuma. Selain itu, mereka juga banyak menderma dan menghadiri majlis-majlis yang memperingati Nabi Muhammad s.a.w. Cara ini memberikan contoh anak-anak untuk mengamalkan memberi derma yang menjadi budaya orang Melayu.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Syaban
Masyarakat Melayu pada bulan ini biasanya akan mengadakan kenduri arwah bagi sanak saudara mereka yang telah pergi terlebih dahulu daripada mereka. Sesebuah keluarga akan berkumpul untuk bersama-sama membacakan yasin dan tahlil atau memuji-muji kebesaran Allah. Anak-anak dididik untuk menyucikan diri mereka sebelum Ramadhan menjelang dengan memperbanyakkan zikir memuji-muji Allah s.w.t. Di samping itu mereka juga digalakkan mengingati saudara mara yang telah tiada dengan mendoakan kesejahteraan dan ketenteraman roh di alam barzakh.
Menurut kepercayaan orang dahulu, roh-roh diberikan kesempatan untuk menziarahi sanak-saudara mereka pada bulan ini. Akan tetapi perkara ini tidak terdapat dalam agama Islam. Seorang anak dididik untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan ayah dan ibu tidak kira mereka hidup ataupun telah tiada. Dalam budaya Melayu menghormati dan menyayangi orang tua amat dititik beratkan maka dengan mendokan mereka merupakan salah satu cara bagi mengucapkan terima kasih di atas kasih sayang yang telah mereka curahkan.
Menyentuh tentang kenduri arwah, penulis ingin memberikan sedikit penerangan mengenai upacara-upacara menguruskan jenazah. Apabila seseorang itu meninggal dunia maka dia akan dibaringkan menghadap ke kiblat dengan kain putih menutupi seluruh tubuh dan muka. Saudara mara akan duduk di sisi si mayat dengan membacakan ayat-ayat suci. Anak-anak akan diajar untuk menghormati keadaan yang muram dan sedih dengan merendahkan suara sewaktu bercakap.

“ Customs dictates that whilst the body is still in the house, visitors who come to pay their respects and the neighbours round about should avoid making unnecessary noise or chatting frivolously. This is also in conformity with Islamic Law which requires proper respect to be paid to those who have departed.”
(Haji Mohtar Bin Md.Dom, 1979)

Di samping itu mayat juga harus diuruskan dengan bukan kekasaran. Ini termasuk sewaktu memandikannya, mengkafankannya dan mengebumikannya.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Ramadan
Amalan masyarakat Melayu pada bulan Ramadan, selaras dengan kepercayaan Islam ialah menjalankan ibadah berpuasa. Bagi orang Melayu, budaya berpuasa setengah hari diwujudkan. Konsep berpuasa setengah hari hanya terdapat dalam budaya Melayu dengan tujuan untuk melatih anak-anak kecil untuk menahan lapar dan dahaga. Sehubungan dengan itu, perhubungan kekeluargaan menjadi rapat dengan budaya berpuasa bersama dan berbuka bersama. Bulan ini merupakan waktu yang sesuai untuk menyemai nilai-nilai yang baik yang selaras dengan Islam yang menjadi nilai etika masyarakat Melayu.
...Kebudayaan Islam banyak mempengaruhi cara hidup orang Melayu termasuk nilainya sekali.
(Ismail Hamid, 1991: 74)

Untuk melihat nilai-nilai etika yang disanjung masyarakat Melayu, sumber utama ialah menerusi kesusasteraan rakyat yang merupakan pengucapan awal orang Melayu. Dalam berpuasa, terdapat latihan untuk merendahkan diri. Peribahasa Melayu banyak mengajar nilai rendah diri.

Adakah hilang bisa ular menyusur akar
Mutiara jatuh ke limbahan adakah hilang cahayanya
Bawa resmi padi
Makin berisi, makin tunduk
Jangan bawa resmi jagung
Makin berisi makin jegang
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau
(Ismail Hamid, 1991: 76)

Penurunan Al-Quran atau dikenali sebagai Nuzul Al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Budaya masyarakat Melayu untuk berkhatam Al-Quran dalam bulan Ramadan. Majlis ini dihadiri berbagai usia termasuk anak-anak. Anak-anak juga turut berkumpul dan membudayakan bacaan majlis khatam Al-Quran. Pulut kuning dijadikan sebagai makanan yang mesti ada di waktu upacara berkhatam Al-Quran. Dapat dilihat kepentingan Al-Quran dalam masyarakat Melayu dengan kewujudan adat berkhatam Al-Quran. Dalam pantun tradisional Melayu terdapat ungkapan sedemikan,

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab


Ayah akan mengajak isteri dan anak-anaknya untuk solat terawih di masjid. Pada waktu ini interaksi sosial berlaku. Anggota masyarakat akan bersolat bersama dan kemudian bergotong-royong menyediakan jamuan ringan untuk dimakan. Pada kebiasaannya, masyarakat Melayu tidak lepas dengan menyediakan jamuan yang dikenali sebagai bubur lambuk. Bubur lambuk merupakan jamuan yang khas disediakan pada bulan Ramadan. Selalunya anggota masyarakat akan melakukan persediaan awal hingga akhir dalam menghasilkan bubur lambuk bersama-sama. Pihak wanita akan bertanggungjawab menyediakan bahan-bahan seperti rempah-ratus, menghiris lada merah, menyiat daging ayam dan lambu dan sebagainya. Pihak lelaki pula akan menggaul bubur lambuk menggunakan kawah besar dan penggaul kayu, kemudian akan dibahagi-bahagikan kepada semua anggota masyarakat.
Sebelum menjelang Aidilfitri, terdapat malam tujuh likur yakni beberapa malam terakhir bulan Ramadhan. Pada waktu ini anak-anak dididik untuk memeriahkan malam, mereka akan bermain dengan bunga api dan pelita akan dinyalakan sementara menanti kepulangan orang yang beribadah di masjid. Umat Islam percaya bahawa pada malam-malam ganjil sebelum tiba hari raya terdapat satu malam berkat yang dinamakan Lailatul Qadar. Pada malam ini dipercayai semua doa akan dimakbulkan dan umat Islam digalakkan meningkatkan lagi ibadat pada malam yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Melihat anak bulan juga menjadi budaya Melayu hingga ke hari ini. Pada akhir Ramadan, iaitu pada 29 haribulan, di sesetengah tempat, kerajaan menghantar kumpulan untuk melihat anak bulan. Sejurus anak bulan terlihat, Hari Raya Aidilfitri akan diistiharkan oleh Pemegang Mohor Besar Raja-raja Melayu. Takbir mula dilaungkan di radio dan televisyen. Setiap anggota keluarga akan sama-sama takbir di rumah mahupun di masjid-masjid.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Syawal
Semasa bulan Syawal atau bulan ke sepuluh dalam kalender Islam ini, masyarakat Melayu akan menyambut perayaan yang terbesar iaitu Hari Raya Aidilfitri. Sambutan Hari Raya ini berhubung rapat dengan ibadat puasa yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan sepertimana yang telah dijelaskan di atas. Perayaan ini bertujuan meraikan kejayaan umat islam menyempurnakan ibadat puasa yang penting. (Siti Razmah Hj. Idris & Fatimah Azzahra, 1996)

Telah menjadi budaya bagi masyarakat Melayu untuk membuat segala persiapan awal sebelum menjelang hari perayaan yang besar ini. Biasanya persiapan ini akan dilakukan seisi keluarga. Waktu inilah anak-anak akan diajar cara menghias rumah seperti memasang langsir baru, menukar atau membersihkan perabut lama mengikut selera orang Melayu. Di samping itu, pada waktu ini juga anak-anak perempuan khususnya diajarkan selok belok untuk membuat kuih-muih tradisional seperti putu, dodol, wajik dan bahulu. Di sesetengah kampung pula persediaan kuih muih tradisional ini dilakukan secara bersama-sama dan kemudian dibahagikan sama rata. Di sini anak-anak didedahkan kepada cara orang Melayu berinteraksi dan bekerjasama anatara satu dengan yang lain dan diharapkan apabila mereka dewasa kelak mereka juga dapat melakukan perkara yang sama bagi memastikan kerukunan dan keharmonian hidup berjiran.

Menjelang sehari sebelum Hari Raya anak-anak akan diajar pula cara penyediaan juadah tradisional seperti rendang, sate dan yang lain. Serta mereka juga diajar menganyam ketupat dan lemang yakni juadah khusus untuk dimakan sewaktu Hari Raya serta ia merupakan ikon yang penting bagi sambutan Hari Raya ini. Tanpa ketupat dan lemang ini maka tidak meriahlah pagi syawal tersebut. Pembuatannya sahaja menunjukkan kehalusan seni budaya Melayu. Akan tetapi pada hari ini, ramai yang cenderung untuk membeli ketupat yang telah tersedia di pasaran. Namun, adalah perlu bagi individu Melayu untuk mengetahui selok-belok membuat ketupat, lemang dan juadah tradisi yang lainnya memandangkan ia melambangkan budaya Melayu. Ini kerana untuk diterima sebagai anggota budaya maka hendaklah dia memahirkan dirinya membuat perkara yang menjadi identiti Melayu.

Akhir sekali pada pagi syawal tersebut masyarakat Melayu akan mandi sunat Hari raya, melakukan solat sunat Hari Raya, dan bertakbir Hari raya. Setelah itu mereka akan saling bermaaf-maafan di antara satu dengan yang lain. Anak-anak diajar untuk menghormati yang tua dengan menghulurkan salam terlebih dahulu kepada yang tua. Mereka juga diajar untuk menyucikan diri dari segala dosa dengan memaafkan orang dan memohon maaf. Setelah itu mereka akan bersarapan bersama dan kemudian bersolat sunat Aidilfitri.

Proses Enkulturasi Berdasarkan Kitaran Kalender Islam: Zulhijjah
Pada bulan ini, beratus ribu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima. Ini termasuk sebahagian besar masyarakat Melayu yang menunaikan rukun Islam kelima, fardu haji. Sebelum itu, budaya orang Melayu untuk mengadakan kenduri doa selamat dengan harapan untuk selamat pergi dan balik haji. Bakal-bakal haji akan menjemput sanak-saudara terdekat dan kawan-kawan untuk membaca doa dan seterusnya dihidangkan jamuan. Anak-anak diberi kesedaran bahawa haji merupakan satu rukun Islam yang wajib ditunaikan.

Pada 10 Zulhijah, hari raya Aidiladha juga merupakan perayaan besar disambut masyarakat Melayu. Perayaan ini lebih dikenali dengan nama Hari Raya Haji. Jika dibandingkan dengan hari raya Aidilfitri, ianya disambut tidak begitu meriah kecuali di sesetengah negeri di Malaysia termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pada malam hari raya Aidiladha, orang Melayu akan bertakbir membesarkan Ilahi dan pada paginya, mengenakan pakaian yang bersih dan cantik untuk bersama-sama ke masjid untuk sembahyang sunat Aidiladha. Seteleh selesai sembahyang, mereka akan menyembelih lembu atau kambing sebagai korban kepada Allah s.w.t. Ibadat ini memperingatkan tentang peristiwa Nabi Ibrahim mendapat perintah dari Allah s.w.t untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail. Bagaimanapun, ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih puteranya, Allah s.w.t menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas, binatang ternakan seperti biri-biri. Sejak itu, umat Islam menjalankan ibadat korban dengan niyat supaya bersedia mengorbankan apa sahaja demi Allah s.w.t dan agamanya sebagaimana yang dilakukan Nabi Ibrahim keatas puteranya, Nabi Ismail. Ini mengajar anak-anak Melayu untuk sedia berkorban dan menghayati makna di sebalik hari raya korban.

Upacara korban dilakukan di masjid-masjid di seluruh negara. Upacaca korban akan dilakukan di hadapan orang yang menempah kambing tersebut. Sewaktu penyembelihan berlaku, takbir akan dilaungkan. Pembahagiaan daging korban akan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin, ahli-ahli keluarga terdekat, sanak-saudara dan dirinya sendiri. Ini memperlihatkan anak-anak untuk membantu yang mereka yang memerlukan.

Setiap anggota mengenakan pakaian tradisional termasuk baju kurung, baju teluk belanga, baju Melayu cekak musang, baju riau dan sebagainya. Anak-anak muda di Singapura yang tidak selalu kelihatan mengenakan pakaian Melayu tradisional juga ikut sama menggenakannya pada waktu ini. Pakaian tradisional yang sangat terkenal ialah baju kurung. Baju kurung boleh dipakai oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan, akan tetapi terdapat perbezaan di antara baju kurung lelaki dan baju kurung perempuan. Pengertian kurung bermaksug ‘menggurung atau menutup’ anggota tubuh. Ini selaras dengan ajaran Islam yang mempunyai pengaruh terbesar pada budaya Melayu. Istilah ‘kurung’ diertikan dengan baju yang selesa dan longgar.

Isu dan cabaran: Keluarga dan Islam
Dalam mendidik seseorang individu untuk menjadi anggota budaya masyarakatnya, peranan anggota keluarga amat penting khususnya ibu bapa. Cara kehidupan ibu bapa merupakan satu panduan kepada si anak. Seandainya ibu bapa kuat mengamalkan budaya Melayu maka dengan sendiri anak-anak akan mengenali budaya mereka dan turut mengamalkannya lantas menjadikan diri mereka diterima sebagai anggota budaya. Namun, hakikatnya pada hari ini amat bertentangan. Ibu bapa semakin sibuk dengan kerjaya sehingga adakalanya mereka kurang masa untuk bersama dengan anak-anak apalagi untuk menjelaskan mengenai budaya serta adat kebiasaan Melayu. Biasanya tugas menerangkan hal-hal sebegini diserahkan kepada guru Melayu di sekolah. Namun mengetahui hanya sekadar melalui cara membaca buku teks dan mendengar penerangan guru tidak akan sama dengan seseorang itu merasakannya sendiri lantas menjadikan ia salah satu pengalaman hidup yang dapat disimpan untuk mewariskan kepada generasi selanjutnya.

Namun, faktor agama merupakan faktor yang terpenting yang menjadi cabaran bagi proses enkulturasi. Terdapat pelbagai polemik dalam mempertahankan budaya Melayu yang dirasakan tidak selaras dengan ajaran Islam. Sekiranya seseorang individu itu dibesarkan oleh datuk dan nenek yang kuat berpegang dengan segala tradisi budaya Melayu serta ibu bapa atau penjaga yang kuat berpegang kepada agama maka akan timbul konflik dalam membentuk si anak. Di satu pihak menginginkan si anak mengikut segala resam Melayu tidak kira yang bercanggahan dengan agama ataupun tidak. Di pihak lain menghalang si anak dari budaya yang bertentangan dengan agama. Contohnya jika berdasarkan budaya Melayu turun temurun kenduri tahlil akan diadakan sepanjang tujuh hari berturut-turut setelah kematian seorang ahli keluarga. Keluarga si mati sudah tentunya dirundung kesedihan akibat kehilangan seorang dari ahli keluarga mereka maka tidak seharusnya diberatkan lagi dengan kewajipan melayan tetamu, kerana itu mereka yang berpegang kuat dengan agama agak keberatan untuk mengadakan kenduri tahlil sebanyak tujuh hari berturut-turut. Hal ini membuatkan anak-anak keliru budaya mana yang harus mereka contohi. Inilah merupakan salah satu cabaran proses enkulturasi hari ini.
Isu dan Cabaran: Pendidikan Kebudayaan dan Kaitannya dengan Islam

Sifat dan hakikat tamadun dan kebudayaan Melayu itu adalah sifat dan hakikat Islam, dan tiada dapat dipisahkan keduanya ini dalam pandangan ilmiah yang tulen.
(Syed Muhammad Naguib Al-Attas, 1990)

Islam dan budaya Melayu seperti aur dengan tebing, seperti isi dengan kuku, tidak dapat dipisahkan. Dasar Kebudayan Kebangsaan menetapkan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Oleh itu, institusi pendidikan adalah agen berpengaruh dalam pembentukan budaya. Di sini, penulis akan menyentuh isu pendidikan budaya dan kaitannya dengan Islam di alam Melayu.

Kepentingan pendidikan budaya tidak dapat dinafikan. Dalam Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan (1985) membuktikan,

Pendidikan dipandang sebagai satu-satunya agen dan proses yang menyambung dan mengekalkan pewarisan budaya, di samping menggalakkan pengembangan ilmu yang boleh menggiatkan lagi daya cipta bagi memperkaya budaya bangsa berkenaan.
(Asiah Abu Samah, 1985: 117)

Cabaran yang dihadapi ialah peminggiran Islam dalam pendidikan budaya pada anak-anak muda Melayu. Syed Naquib Al-Attas merupakan sarjana yang mengungkapkan gagasan menyatukan Islam dalam pendidikan budaya. Beliau menyarankan metodologi baru untuk penelitian bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dengan menjadikan Islam sebagai asas penafsirannya. Beliau juga mempersoalkan peminggiran Islam dalam membentuk sejarah dan kebudayaan Melayu.

Sistem nilai Islam bukan sahaja terbatas pada konsep sembahyang, zakat dan haji, akan tetapi Islam merupakan sistem yang menekankan kesejahteraan dan kebajikan dunia dan akhirat. Tujuan yang jelas seperti ini yang dapat melahirkan masyarakat sejahtera dan mempunyai kualiti tinggi dalam segala aspek, politik, ekonomi, kehidupan sosio-budaya, pembangunan fizikal dan segala aspek kemajuan. Islam tidak mengasingkan persoalan kehidupan dengan nilai-nilai moral dan adab, bahkan disatukan. Islam juga menggalakkan kemajuan dan kemenangan dalam kehidupan, bukan sahaja di akhirat akan tetapi di kehidupan dunia.

Selain cabaran pendidikan kebudayaan berteraskan Islam, pendidikan kebudayaan sendiri sering disalahertikan dengan mengaitkan kebudayaan dengan kesenian. Oleh kerana itu pendidikan budaya di sekolah-sekolah hanya merujuk kepada kesenian Melayu termasuk tarian Melayu, teater Melayu, drama Melayu, senilukis, seniukir dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, Pusat Perkembangan Kurikulum (PKK) ditubuhkan sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam perancangan dan penggubalam kurikulum. Penubuhan institusi ini amat penting untuk memastikan kurikulum yang dihasilkan memenuhi kehendak pendidikan budaya sepenuhnya.

Rumusannya, institusi pendidikan merupakan agen yang paling berkesan dalam menerapkan nilai-nilai budaya dalam diri individu. Cabaran yang dihadapi ialah untuk memastikan institusi pendidikan dapat menghasilkan kurikulum yang berkesan dalam mendidik nilai budaya dan kaitannya dengan Islam.

Kesimpulan
Dengan keterangan di atas, jelas proses enkulturasi serta cara-cara seseorang individu dapat diterima sebagai anggota masyarakat Melayu. Ini dijelaskan penulis dengan menggunakan pendekatan kalender Islam. Anak-anak dididik dari aspek pergaulan, adat-resam orang Melayu, mencintai perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam, mengangkat nilai-nilai murni budaya Melayu dan memberi penghormatan kepada yang tua.
Sememangnya, budaya Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Oleh itu, benarlah kata-kata Wertheim di bawah,
Agama Islam telah memainkan peranan yang penting bagi mencetuskan satu revolusi bagi memodenkan masyarakat Melayu tradisional.

(Ismail Hamid: 1991, 72)

















Bibliografi

Abdul Aziz Deraman, 1994(a). Masyarakat dan kebudayaan Malaysia.Edisi ke-2.
Cahaya pantai (M) Sdn.Bhd : Malaysia.

A.Aziz Deraman, 1994(b). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (Suatu
Pengenalan Latar Belakang dan Sejarah Ringkas). Kuala Lumpur: DBP.


Ali Esa.(1972, Januari). Keluarga Proses Sosialisasi dan Perubahan Sikap.
Kertaskerja dibentangkan dalam Seminar Memperbaiki Semangat, Sikap dan Dedikasi, Shah Alam, Kuala Lumpur

Herskovits J. Melville, 1969. Cultural Anthropology. Oxford & IBH Publishing Co.:
New Delhi

Ismail Hamid, 1991. Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur: DBP.

Lembaga peyelidikan undang-undang, 1999. Perlembagaan Persekutuan. Kuala
Lumpur: International law Book Services.

Mohtar Bin Md.Dom, 1979. Traditions and Taboos. Selangor Darul Ehsan:
Federal Publictions

Mohd Ali Omar. (1978). Proses Sosialisasi ke atas anak-anak masyarakat
setinggan Kampung Selamat Pantai Dalam. Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Noresah Baharom (ed), 2003. Kamus Dewan. Kuala Lumpur: DBP.

Siti Razmah Hj. Idris & Fatimah Azzahra, 1996. Perayaan, dlm Sulaiman Zakaria
(e.d)., Orang Melayu. Selangor Darul Ehsan: Penerbit Pinang.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1992. Tujuan dan Objektif Pendidikan Islam.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tham Seong Chee, 1979. “Social Change and the Malay Family”, dlm Kou Eddie
C.Y & Wong A.K (e.d)., The Contemporary Family in Singapore, Singapore University Press, hlm 88-114.

Wan Abdul Kadir Yusoff, Zainal Abdin Borhan (ed), 1985. Ideologi dan
Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya.


Zainal Kling. 1985. Konsep kebudayaan kebangsaan Malaysia, dlm. Wan Abdul
Kadir & Zainal Abidin Borhan (e.d)s. Ideologi dan Kebudayaan
Kebangsaan. Agensi Penerbitan Nusantara: Malaysia


Rujukan lelaman web:
http://anthro.palomar.edu/social/soc_1.htm
http://kccesl.tripod.com/spring2003/studentessays/sociology.html
http://www.delmar.edu/socsci/rlong/intro/social.htm


[1] S.Husin Ali, 1979. Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya, Kuala Lumpur: Penerbit Adabi, hlm
1-3.
[2] Ismail Hamid, 1991. Masyarakat dan Budaya Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustakan, hlm 4.
[3] Dipetik dari Zainal Kling. 1985. Konsep kebudayaan kebangsaan Malaysia. Dlm. Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan. Eds.Wan Abdul Kadir & Zainal Abidin Borhan. Agensi Penerbitan Nusantara: Malaysia